PANEL SOLAR:

PERLU STRATEGI MANTAP
TANGANI GELOMBANG SISA

Oleh: Fahmi Abdul Aziz, Shaza Al Muzayen & Sakina Mohamed
Editor: Sakina Mohamed | Pereka Web: Ummul Syuhaida Othman

Tenaga solar dijangka menjadi sumber tenaga utama memacu negara menjelang 2050. Meskipun ia perkembangan positif dalam usaha mentransisi ke arah penggunaan tenaga bersih sepenuhnya, dasar negara bagi pengendalian sisa solar masih belum jelas. Artikel terakhir daripada tiga siri ini melihat kepada penyelesaian yang mungkin bagi masalah ini.

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Dalam Malaysia mengorak langkah menjadikan tenaga solar sebagai sumber tenaga utamanya, usaha mencari penyelesaian kepada isu yang bakal timbul iaitu lambakan sisa panel solar perlu juga dimulakan.

Pada masa yang sama, Malaysia antara pengeksport utama

panel solar fotovoltaik (PV)

 di dunia. Sekiranya negara memutuskan untuk mula meneroka bidang kitar semula panel PV, ia berpotensi merubah satu masalah menjadi peluang ekonomi baharu.

Namun, ketika ini Malaysia masih dalam usaha membuat kerangka kerja bagi pengendalian  sisa panel PV. Ia telah menetapkan sasaran tenaga solar menguasai 58 peratus daripada campuran tenaga negara menjelang tahun 2050. Ini akan dilakukan dengan menyasarkan 59 GW kapasiti solar PV menjelang tahun itu.

Berapakah unit panel PV yang akan terlibat bagi merealisasikan sasaran itu? Bernama membuat anggaran kasar dan jumlahnya sekitar 164 juta unit. 

Namun, angka sebenar mungkin lebih tinggi.

Malaysia mula menggunakan tenaga solar dalam campuran tenaga negara pada awal tahun 2000. Oleh yang demikian, panel PV yang digunakan selama ini kemungkinan sudah perlu ‘dibersarakan’.

Meskipun panel PV lazimnya bertahan 25 hingga 30 tahun, namun tempoh hayatnya boleh memendek dalam cuaca panas seperti di Malaysia.

Tanpa kerangka kerja yang lengkap dan relevan bagi menguruskan sisa solar, ke manakah nanti panel-panel itu akhirnya akan tersadai?

Besar kemungkinan di tapak pelupusan sampah,  kata Ute Collier, pemangku pengarah Pusat Pengetahuan, Dasar dan Kewangan Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa (IRENA). IRENA adalah agensi antara kerajaan untuk transformasi tenaga.

“Prinsip ekonomi kitaran bagi mengguna semula atau mengitar semula solar PV akhir hayat, tidak diikuti. Antara halangan utama ialah pihak pengitar semua kurang jelas tentang nilai keuntungan yang bakal diperolehi, terutama sekali apabila kos mengumpul dan mengangkut sisa panel solar dipertimbangkan.

“Halangan lain pula ialah kekurangan maklumat mengenai komponen dan teknologi kitar semula PV yang sedia ada, di samping teknologi kitar semula yang masih lagi belum dibangunkan,” beliau memberitahu Bernama.

Ute Collier, Pemangku Pengarah Pusat Pengetahuan, Dasar dan Kewangan Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa (IRENA)


Dilema ini disahkan ERS Energy Sdn Bhd, antara penyedia solusi tenaga solar terbesar di Malaysia. 

Syarikat itu menyimpan panel PV yang sudah tidak lagi digunakan di dalam gudangnya sendiri sejak beberapa tahun lepas. Ini untuk mengelakkannya dibuang di tapak pelupusan sampah. Bagaimanapun, jumlah sisa panel yang menimbun menyebabkan mereka terpaksa menyewa gudang lain untuk menyimpan panel yang sudah ‘mati’.

“Kekurangan fasiliti tempatan serta logistik antarabangsa yang mahal ternyata cabaran besar bagi pelupusan panel solar secara bertanggungjawab,” kata Angeline Teoh, Pengarah Bersekutu Komunikasi dan Pelestarian ERS Energy.

“Mengitar semula panel solar ada cabarannya ekoran kerumitan komposisi bahan yang digunakan. Cabarannya termasuk mengasing dan mendapatkan semula komponen berharga di samping keperluan mewujudkan fasiliti kitar semula yang khusus, selain mematuhi regulasi alam sekitar.”

POTENSI INDUSTRI KITAR SEMULa

Di sebalik cabaran yang dibangkitkan, kitar semula panel PV kekal sebagai antara solusi yang signifikan bagi menangani masalah sisa solar.

Enam daripada 10
syarikat solar PV terbesar dunia beroperasi di luar Malaysia. Memandangkan Malaysia antara pengeksport utama panel PV, ia mempunyai peluang keemasan membangunkan serta memupuk industri kitar semula panel solar yang berpotensi untuk berkembang pesat.

Melihat kepada kedudukan negara dalam pasaran PV, IRENA yakin Malaysia akan beroleh manfaat dengan mendokong ekonomi kitaran bagi pengendalian panel PV.

“Sebagai salah sebuah negara yang terlibat dalam penghasilan panel PV, Malaysia dalam kedudukan baik meraih pelbagai peluang dengan mengamalkan prinsip ‘kurangkan’(reduce) dan ‘guna semula’(reuse) dalam rantaian bekalan sedia ada,” kata Collier.

Laporan IRENA pada 2016 menekankan kepada pengitaran semula panel PV di akhir hayat. Panel yang dikitar semula mampu menyediakan bekalan bahan mentah dalam jumlah yang banyak serta elemen lain yang amat bernilai. Kesemua ini dapat disalurkan semula ke dalam ekonomi menerusi pengeluaran panel PV baharu atau dijual terus kepada pasaran komoditi global.

Menurut IRENA, ini akan membantu memperkukuhkan lagi keselamatan bekalan bahan mentah Malaysia pada masa hadapan.

Malaysia mempunyai kelebihan berbanding negara-negara lain di rantau ini sekiranya ia terlebih dahulu memulakan langkah pengitaran semula panel PV. 

“Mengitar semula panel solar mahal, terutamanya di luar negara. Di Amerika Syarikat (AS), kosnya sehingga AS$40 (≈RM189) untuk kitar semula sekeping panel, dengan nilai AS$7 (≈RM33) nilai bahan yang diekstrak,” kata Rajen Mohan, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas CREPS Sdn Bhd.

Syarikat itu komited dalam mengurangkan sisa dan memanjangkan hayat panel PV dengan menyediakan perkhidmatan membaik pulih atau mengguna semula panel PV.Menurut Rajen, kos kitar semula panel PV dapat dikurangkan jika dilakukan di Malaysia.

“Kos kitar semula panel dapat dikurangkan sehingga ke separuh (kepada AS$20 /≈RM95) sekiranya kita lakukan di Malaysia, cumanya kita perlu teroka kaedah paling sesuai bagi pemisahan dan perolehan semula (recovery) komponen berharga dalam panel PV akhir hayat.

“Kita juga perlu pastikan sudah ada dasar dan regulasi yang komprehensif sebelum memulakan sebarang usaha kitar semula di negara ini,” katanya.

Rajen Mohan, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas CREPS Sdn Bhd

NILAI PANEL YANG TELAH ‘MATI’

Pada 2016, IRENA meramalkan bahawa nilai bahan mentah yang diperoleh semula (recovered) daripada panel yang dikitar semula menjelang tahun 2030 mampu mencecah AS$450 juta (≈RM1.9 bilion). 

Jumlah bahan mentah yang dikumpul adalah mencukupi bagi menghasilkan 60 juta panel baharu dengan kapasiti penjanaan kuasa 18 GW. Menjelang tahun 2050, nilai bahan mentah yang diperoleh semula boleh mencapai AS$15 bilion (≈RM62.1 bilion) dan boleh digunakan untuk menghasilkan dua bilion panel baharu (bersamaan 630 GW).

Potensi Penghasilan Nilai
Global Pengurusan Sisa Solar PV pada 2030

Sumber: Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa (2016)
Diterbitkan: 12 Mac 2024

“Lebih daripada 90 peratus bahan yang digunakan dalam modul silikon kristal termasuk aluminium, tembaga, perak, kaca dan silikon, dapat diperoleh semula,” kata Collier.

“Dalam senario 1.5°C IRENA yang sejajar dengan matlamat 1.5°C iklim global, kami menganggarkan secara global, jutaan tan bahan berkenaan dapat diperoleh semula selepas tahun 2030. Ini mampu menjana berbilion dolar dalam nilai pasaran tahunan,” tambahnya.

(Senario 1.5°C merujuk kepada sasaran yang digariskan dalam Perjanjian Parisuntuk mengehadkan pemanasan global kepada 1.5°C di atas paras pra-perindustrian dengan mengurangkan secara signifikan pelepasan gas rumah hijau bagi semua sektor.)

Dr Norasikin Ahmad Ludin, Timbalan Pengarah SERI, UKM

Potensinya amat besar, kata Dr Norasikin Ahmad Ludin, Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Tenaga Solar Malaysia (SERI) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau berkongsi dengan Bernama hasil penyelidikannya dengan syarikat pengurusan sisa, Kualiti Alam, mengenai pengekstrakan bahan bernilai daripada sel solar kristal yang dikitar semula.

“Sekeping panel solar mempunyai sekitar 1kg sel solar. Daripada sel ini, kita dapat mengekstrak silika (0.9kg), aluminium (0.19kg) dan perak (0.02kg).

“Dari segi nilai, perak yang paling bernilai (AS$247 / ≈RM1,167 satu kg) tetapi jumlahnya kecil sahaja. Apabila kita hitung nilai keseluruhan bahan yang diekstrak daripada 1kg sel solar, kita boleh dapat bahan kitar semula bernilai AS$185 (≈RM875), iaitu kira-kira RM700 – RM800 satu kg,” katanya.


Di samping pembuatan panel PV yang baharu, bahan yang diekstrak boleh digunakan semula dalam industri seperti pembinaan dan elektronik.

Rajen berkongsi contoh ini: “Apabila panel solar kristal melalui proses pengitaran semula, bahan yang terhasil adalah dalam bentuk serbuk atau hancur. Salah satu bahan utama yang diperolehi ialah pasir silika, yang pada masa ini, mendapat permintaan tinggi. 

“Ia digunakan di padang golf sebagai gantian pasir di dalam pembinaan bunker dan bangunan,” katanya.

Penggunaan pasir diperbuat daripada panel PV bagimenggantikan pasir sebenar dalam pembuatan konkrit telah dikaji oleh penyelidik di India dalam satu kajian yang dikeluarkan tahun ini. Panel solar silikon kristal akhir hayat yang dibuang telah dikutip dan dikumpulkan. Bingkai aluminium ditanggalkan manakala bahagian panel dihancurkan sehingga sehalus pasir. Produk yang terhasil dipanggil pasir sisa solar (SWS).

Penyelidik mendapati sifat fizikal dan kimia SWS mematuhi kod bagi penggunaan pasir dalam konkrit. Menariknya, konkrit diperbuat daripada SWS juga didapati mencapai tahap kekuatan mampat (compressive strength).

BELUM ADA REGULASI

ERS Energy bersetuju potensi besar pengitaran semula panel PV tetapi menekankan bahawa semuanya itu tidak boleh dilaksanakan tanpa pembentukan dasar yang mantap. Setakat ini, belum ada regulasi atau garis panduan diwujudkan di Malaysia bagi menangani pengurusan sisa panel solar secara berhemat.

“Pengurusan pelupusan panel solar yang berkesan amat bergantung kepada penglibatan bersama pihak kerajaan, persatuan industri, dan pengilang. Kerajaan perlu mengenal pasti serta mengklasifikasikan sisa panel solar dan komponen berbeza di dalam setiap panel,” kata Teoh.

Regulasi sedia ada seperti Akta Tenaga Boleh Baharui 2011 atau Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 boleh dirujuk sebagai penanda aras dalam penggubalan dasar baharu, kerana ia mengandungi pecahan terperinci bagi pengurusan sisa.

Bagaimanapun, kerajaan setakat ini masih belum memutuskan jenis kategori sisa bagi sisa solar. Oleh demikian, regulasi berkenaan tidak boleh digunakan dalam pengurusan sisa panel solar.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah memulakan usaha menangani isu ini tetapi proses itu mengambil masa kerana memerlukan penglibatan aktif pelbagai kementerian dan agensi.

“Kerajaan tidak bercadang mewajibkan pengguna mengitar semula panel solar  pada masa ini,” menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu Bernama.

“Bagaimanapun, sekiranya langkah itu dipertimbangkan, ia memerlukan kolaborasi rapat Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara. Ini memandangkan pengurusan sisa tertakluk di bawah bidang kuasa kedua-dua agensi.”

Fadillah, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan masih belum mewajibkan mana-mana pengilang solar secara besar-besaran untuk mewujudkan loji kitar semula bagi menangani isu panel solar akhir hayat.

Ini berikutan implikasi kos yang akhirnya akan memberi impak ke atas tarif elektrik pengguna.

Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air


“Kerajaan akan terus meninjau bentuk penyelesaian yang sesuai dilaksanakan serta berdaya maju daripada segi ekonomi,” tambahnya.

Ditanya tentang kemungkinan melaksanakan “dasar ambil kembali” (take-back policy) bagi memastikan pengeluar mengendalikan pengurusan panel solar akhir hayat, Fadillah berkata kerajaan mungkin akan mempertimbangkan pelaksanaan  “tanggungjawab pengeluar lanjutan” (extended producer responsibility).

“Skim itu mewajibkan pengilang mengambil balik dan mengurusakan sisa panel solar secara berhemat. Ini antara pilihan yang boleh kerajaan pertimbangkan bagi memastikan kebertanggungjawapan serta kelestarian dalam pengurusan sisa solar.

“Bagaimanapun, kami akan terus mencari penyelesaian terbaik yang merupakan jalan tengah di antara tarif elektrik yang berdaya mampu dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

MENGAPA LAMA SANGAT?

Pembentukan peruntukan undang-undang bagi pengurusan sisa solar akan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun, kata Norasikin.

Ini kerana ia akan melibatkan langkah mengenal pasti serta mengkategorikan bahagian panel solar yang boleh disenaraikan di bawah akta seperti Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Sisa Pepejal Berjadual) 2005.

Kaedah yang lebih baik, katanya, ialah dengan merujuk kepada kepakaran dan contoh sedia ada - iaitu negara-negara yang telah membentuk dan melaksana dasar pengurusan sisa solar PV.

“Mengapa kita perlu bangunkan sesuatu yang baharu sedangkan kita boleh belajar daripada negara-negara di Eropah atau Amerika Syarikat yang sudah lama mewujudkan regulasi sedemikian? 

“Kita boleh cuba laksanakan (regulasi) yang sama, cuma kena sesuaikan dengan negara kita. Perkara ini memang boleh dilakukan tetapi ia akan mengambil masa kerana pembentukan dasar memerlukan kerjasama tokoh penting,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu kewujudan pelbagai rancangan dan pelan hala tuju berkaitan tenaga yang kebanyakannya gagal mencapai matlamat yang ditetapkan akibat pertindanan dan lewahan (redundancy).

“Kita terlalu banyak pelan hala tuju. Ada yang diulang balik, ada juga yang sama tetapi tidak diintegrasikan.

“Setiap kementerian mahukan pelan hala tuju mereka sendiri. Ada banyak strategi, cuma kena fikir secara realistik - mampu tidak untuk dilaksanakan?” soal beliau.

Menyedari kelemahan sedia ada, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) mengambil pendekatan berhati-hati dalam mewujudkan garis panduan bagi pelupusan sisa panel PV.

Saiful Hakim Abdul Rahman, Pengarah Perancangan Strategik, SEDA Malaysia

Pengarah Perancangan Strategik SEDA Saiful Hakim Abdul Rahman berkata, garis panduan itu hanyalah sebagai langkah sementara dan sebagai rujukan amalan terbaik bagi industri sementara regulasi dibentuk.

“Pihak berkuasa berkenaan memang sedang mengkaji isu ini. Lazimnya, ia mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun bagi sesuatu dasar itu disokong, diluluskan serta dilaksanakan. Tetapi jika ada tambahan klausa ke dalam akta berkenaan, ia akan mengambil masa yang lebih lama,” katanya.

Sementara itu, SEDA menyediakan insentif pengitaran semua panel PV agar sektor swasta berminat untuk melaksanakannya.

“Inisiatif yang kami ingin cadangkan ialah mengitar semula semua komponen yang boleh digunakan semula seperti aluminium, tembaga serta kaca,” kata Saiful Hakim.

KAJI APA YANG BOLEH DILAKSANA

IRENA juga berpandangan adalah lebih baik melihat kepada negara yang lebih awal melaksanakan penggunaan panel solar dan mencontohi kaedah menangani sisa panel PV.

“Pengurusan panel PV akhir hayat mula dimasukkan ke dalam Arahan Kesatuan Eropah (EU) untuk Sisa Perkakas Elektrik dan Elektronik pada 2012. Ini berdasarkan prinsip tanggungjawab pengeluar lanjutan yang menjadikan pengeluar panel PV  bertanggungjawab dari segi undang-undang ke atas pengutipan, pengurusan serta pengendalian sisa panel PV.

“Pada tahun 2021, negara anggota EU melaporkan lebih 31,000 tan sisa PV terkumpul, yang mana sekitar 90 peratus dikitar semula atau disediakan untuk penggunaan semula. Terdapat beberapa kerajaan negeri yang mendokong dasar yang sama dalam pengurusan solar PV akhir hayat seperti Washington (negeri di Amerika Syarikat),” kata Collier.

ERS Energy berharap akan menjadi sebahagian dari usaha penyelesaian ini. 

“Langkah yang sedang kami terokai ialah kemungkinan membina kemudahan kitar semula sendiri – dengan syarat manfaat sosioekonomi mengatasi kos peralatan. Alternatif lain ialah mendapatkan subsidi silang daripada pihak berkuasa berkenaan," kata Teoh.

Norasikin percaya adalah Malaysia perlu berlaku bijak dalam berurusan dengan industri solar.

“Pada masa ini (industri solar) bermula dari awal dan berakhir dengan akhirnya hayat panel solar,” katanya. “Apa kata kita cuba jadikan industri ini satu ekonomi kitaran.”

Cadangan beliau perlu diterokai tetapi pelaksanaannya bergantung kepada pembangunan dasar yang mantap dan menyeluruh.

Dasar yang holistik akan memberikan Malaysia masa untuk menangani isu yang berbangkit di peringkat permulaan pengurusan panel solar akhir hayat. Ini kerana kelemahan regulasi boleh menghalang pelabur dan menyekat Malaysia daripada memperoleh sepenuhnya manfaat ekonomi industri tenaga solar.

Bukan sahaja kuasa solar yang boleh dimanfaatkan bagi menjana ekonomi, malah sisa yang terhasil juga boleh menyumbang kepada pendapatan negara.

Jika Malaysia mengorak langkah lebih awal berbanding negara lain, ia mampu menjadi perintis pengitaran semula sisa solar di rantau ini. Namun peluang ini hanya hadir bagi masa yang terhad. Siapa cepat, dia yang dapat.

-- BERNAMA 


Penghasilan rencana ini disokong Macaranga dan Klima Action Malaysia.

Share This:
Ketua Projek & Editor: Sakina Mohamed

Penyelidik & Penulis: Fahmi Abdul Aziz, Shaza Al Muzayen & Sakina Mohamed

Ilustrator & Pereka Web: Ummul Syuhaida Othman

Visualisasi Data: Shaza Al Muzayen

Jurugambar: Hafzi Mohamed & Fahmi Abdul Aziz