TLDM Kemudi Cabaran Maritim Semasa Dengan Armada Yang Semakin Berusia

Maritime • Defence

Laporan oleh: Sakina Mohamed

Visualisasi data: Shaza Al Muzayen

Reka laman: Ummul Syuhaida Othman

May 8, 2026

Laporan oleh: Sakina Mohamed

Visualisasi data: Shaza Al Muzayen

Reka laman: Ummul Syuhaida Othman

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) baru sahaja menyambut ulang tahunnya yang ke-92. Namun sebahagian besar armadanya kini menghampiri separuh usia itu. 

“Lebih separuh kapal kami berusia lebih 40 tahun. Tetapi disebabkan budaya penyelenggaraan dalam TLDM, kami masih mampu beroperasi,” kata Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain.

Namun teknologi pada aset-aset tersebut semakin lapuk.

“Ia semakin sukar untuk diselenggara. Pada ketika ini, kos penyelenggaraan pembaikan lebih tinggi berbanding penyelenggaraan pencegahan,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual eksklusif.

Bagi sebuah angkatan laut yang dipertanggungjawabkan menjaga antara domain maritim paling strategik di Asia Tenggara, tekanan itu kini semakin sukar untuk ditanggung.

“Dari sudut geografi, Malaysia ini unik. Kita mempunyai dua daratan besar yang dipisahkan kawasan laut yang luas. Sempadan maritim kita pula dua kali ganda lebih besar daripada sempadan darat,” kata Zulhelmy.

Hakikat itu meletakkan TLDM di barisan hadapan keselamatan negara.

“Sebagai sebuah negara maritim, TLDM memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan domain maritim negara dilindungi dan kedaulatan dipertahankan. Untuk itu, kita perlukan sebuah angkatan laut yang kredibel.”

Seiring masa, keupayaan armada itu juga semakin berkembang. TLDM kini telah berevolusi daripada sebuah angkatan laut brown-water yang tertumpu di perairan serantau kepada angkatan dengan keupayaan blue-water yang lebih meluas.

KD Lekir ditauliahkan pada Ogos 1984 dan kini berusia 42 tahun. Namun, kapal itu menjalani proses pemodenan menyeluruh pada 2011. Kapal berkenaan masih beroperasi dan terus menyertai latihan ketenteraan, yang terbaharu pada Mac 2026.

Setakat ini, TLDM masih mampu memastikan kapal-kapal lamanya terus beroperasi dan bersedia untuk misi hasil disiplin, pengalaman serta budaya penyelenggaraan yang rapi. Namun Zulhelmy menjelaskan bahawa pendekatan itu bukan penyelesaian jangka panjang.

“Kerajaan perlu melengkapkan kami dengan aset dan keupayaan yang diperlukan bagi melaksanakan tugas ini,” katanya. 

Kerajaan dilihat menyedari cabaran yang dihadapi TLDM apabila kira-kira 80 peratus daripada perolehan Angkatan Tentera Malaysia yang dimeterai semasa Defence Services Asia (DSA) dan Natsec Asia 2026 baru-baru ini melibatkan angkatan itu. 

Namun usaha memodenkan armada itu masih dilaksanakan secara berperingkat berikutan kekangan kewangan serta komitmen perbelanjaan negara yang lain. 

Meniti Pemodenan Walaupun Dengan Kekangan

Menurut Zulhelmy, perbelanjaan pertahanan hanyalah satu daripada pelbagai komitmen kewangan yang perlu ditanggung kerajaan.  Usaha memodenkan armada pula berlaku dalam keadaan peruntukan pertahanan yang terhad.

Peruntukan pertahanan Malaysia sejak sekian lama kekal sederhana, sekitar satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kami faham kerajaan perlu pertimbangkan banyak perkara lain. Pertahanan mungkin berada dalam kelompok ketiga atau keempat terbesar dalam agihan belanjawan negara setiap tahun. Tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia hampir tidak pernah melebihi satu peratus daripada KDNK.

“Jumlah itu kecil berbanding negara lain. Ada negara membelanjakan 2.5 peratus (daripada KDNK). Kami hanya meminta 1.5 peratus,” katanya.

Walaupun berdepan kekangan peruntukan, Zulhelmy berkata Angkatan Tentera Malaysia masih mampu memperkukuh keupayaan pertahanan utama.

“Kita masih mampu memperoleh jet pejuang dan kapal selam. Kita masih mampu mendapatkan pelbagai peralatan, walaupun dengan peruntukan yang sangat kecil.

“Namun tuntutan tugas yang sedang dihadapi kini semakin sukar, terutama dengan apa yang sedang berlaku,” katanya merujuk kepada krisis rantaian bekalan global. “Jadi saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula permintaan kami untuk meningkatkan peruntukan, agar kami dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan lebih baik.”

Pada masa sama, Zulhelmy memahami bahawa isu kos sara hidup lebih dekat dengan kebimbangan rakyat berbanding soal aset dan sistem pertahanan. 

“Dalam keadaan sekarang, rakyat lebih bimbang tentang kos sara hidup dan keperluan harian,” katanya. 

Namun beliau mengingatkan supaya pelaburan dalam pertahanan tidak terus ditangguhkan.

“Jika kita tidak bersedia mempertahankan apa yang kita miliki hari ini, mungkin suatu hari nanti kita tidak lagi mampu berbuat demikian.” 

Mengemudi Ketidaktentuan Landskap Pertahanan Global 

Kebergantungan terhadap sistem asing turut mendedahkan TLDM kepada cabaran landskap pertahanan global yang semakin dipengaruhi ketegangan geopolitik. 

Perkembangan melibatkan program Kapal Tempur Pesisir (LCS) baru-baru ini, termasuk isu bekalan peluru berpandu daripada pengeluar peralatan asal (OEM) asing, memperlihatkan bagaimana ketidaktentuan geopolitik serta gangguan rantaian bekalan boleh menjejaskan rancangan pemodenan ketenteraan Malaysia. 

Pada masa sama, program maritim baharu turut menyaksikan Malaysia memperluas kerjasama pertahanan, termasuk penggunaan sistem pertahanan dari Turkiye. Langkah itu mencerminkan usaha untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pembekal tradisional Barat. 

Namun bagi Zulhelmy, pendekatan berkecuali Malaysia kekal menjadi asas dalam cara TLDM berdepan realiti tersebut.

“Pendirian kerajaan sentiasa untuk meredakan keadaan dan mengelakkan ketegangan daripada terus memuncak. Itulah pendekatan kita,” katanya. 

Pendekatan itu bukan sahaja membentuk diplomasi negara, malah turut mempengaruhi cara Malaysia menguruskan hubungan pertahanannya. 

Menurut Zulhelmy, kerjasama dengan rakan antarabangsa juga penting memandangkan Malaysia sebagai sebuah negara kecil mempunyai sumber yang terhad.

Kerjasama itu merangkumi pelbagai negara, termasuk kuasa-kuasa besar yang mempunyai kepentingan strategik berbeza.

“Kita bekerjasama dengan banyak negara lain, termasuk China, kerana kita tidak berpihak. Kita berkawan dengan semua,” tambahnya.

Namun Zulhelmy menegaskan bahawa pendekatan berhemah kekal menjadi prinsip utama.

“Perang adalah pilihan terakhir. Jika kita sampai ke tahap itu, bermakna semua usaha lain telah gagal.

“Angkatan tentera ini seperti polisi insurans. Kita membayar untuk sesuatu yang kita harap tidak perlu digunakan.”

-- BERNAMA