Sukar Mengandung?

PCOS Mungkin Puncanya

Oleh: Shaza Al Muzayen
Editor: Sakina Mohamed
Pereka Grafik: Ummul Syuhaida Othman
Juru Gambar: Hafzi Mohamed

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- “Awak mungkin tak boleh mengandung”.

“Ada kemungkinan awak tak dapat jadi ibu”.

Kata-kata yang menghiris perasaan itulah yang sering diucapkan kepada Deena Marzuki dan Ili Sulaiman sehingga menghantui pemikiran mereka bertahun-tahun lamanya.

Kedua-dua mereka merupakan penghidap Sindrom Ovari Polisistik (PCOS). Sindrom ini menyebabkan ketidakseimbangan hormon dan metabolisme dalam tubuh wanita.

Simptomnya pelbagai tetapi boleh melibatkan kitaran haid yang tidak teratur, obesiti dan jerawat yang teruk.

Malangnya, salah satu simptom yang paling lazim dialami penghidap PCOS ialah kesukaran untuk hamil atau kemandulan.

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- “Awak mungkin tak boleh mengandung”.

“Ada kemungkinan awak tak dapat jadi ibu”.

Kata-kata yang menghiris perasaan itulah yang sering diucapkan kepada Deena Marzuki dan Ili Sulaiman sehingga menghantui pemikiran mereka bertahun-tahun lamanya.

Kedua-dua mereka merupakan penghidap Sindrom Ovari Polisistik (PCOS). Sindrom ini menyebabkan ketidakseimbangan hormon dan metabolisme dalam tubuh wanita.

Simptomnya pelbagai tetapi boleh melibatkan kitaran haid yang tidak teratur, obesiti dan jerawat yang teruk.

Malangnya, salah satu simptom yang paling lazim dialami penghidap PCOS ialah kesukaran untuk hamil atau kemandulan.

Apa itu Kemandulan atau Ketidaksuburan?

P

ertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menakrifkan kemandulan/ketidaksuburan sebagai “penyakit yang melibatkan sistem pembiakan lelaki atau wanita, dengan kegagalan mengandung selepas 12 bulan atau lebih walaupun setelah mengadakan hubungan seksual yang kerap tanpa perlindungan”.

Menurut WHO, satu dalam enam orang dalam usia reproduktif akan menghadapi isu kemandulan dalam hidup mereka.

Menurutnya lagi, wanita yang mandul kemungkinan mengalami ketaknormalan dalam sistem reproduktif (pembiakan) dan endokrin. Ini termasuk PCOS.

Adakah PCOS Punca Kemandulan?

Dr Habibah Abdul Hamid, Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Universiti Putra Malaysia (UPM). Kredit: Dr Habibah Abdul Hamid

M

enurut Dr Habibah Abdul Hamid, Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Universiti Putra Malaysia (UPM), PCOS salah satu sindrom paling kerap dikesan dalam wanita yang berdepan dengan isu kemandulan atau ketidaksuburan.

“PCOS adalah kondisi yang sangat kompleks yang melibatkan pelbagai sistem, termasuk sistem kardiovaskular, endokrin dan metabolik. Ia juga mempunyai kesan jangka panjang terhadap kualiti kehidupan mereka yang menghidapnya.

“Daripada pengalaman peribadi saya, ramai wanita yang datang ke klinik kesuburan saya mempunyai PCOS. Bilangan mereka juga meningkat sejak tahun-tahun kebelakangan ini,” katanya.

Kenyataan beliau turut disokong pelbagai penyelidikan di luar dan dalam negara yang menunjukkan trend yang sama: PCOS lazimnya ada kaitan dengan ketidaksuburan.

Menurut artikel tahun 2022 diterbitkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS), PCOS dianggap antara punca utama kemandulan dalam kalangan wanita.

Dalam konteks AS, CDC menyatakan sehingga lima juta wanita (6 -12 peratus) dalam usia reproduktif mengalami ketidaksuburan yang ada kaitan dengan PCOS.


Kajian terkini berkenaan PCOS di Asia turut menunjukkan sejumlah besar wanita yang mempunyai PCOS turut mengalami ketidaksuburan.

Meskipun fokus penyelidikan yang dipetik dalam artikel itu bukan mengenai kesan PCOS terhadap kesuburan wanita, ia tetap mengambil kira jumlah wanita yang mempunyai PCOS dan mengalami masalah ketidaksuburan.

Satu kajian tahun 2019 di Pakistan yang menilai simptom klinikal, risiko kesihatan serta kualiti hidup penghidap PCOS dalam kalangan wanita tempatan pula menunjukan 146 kes (33.2 peratus) daripada 440 orang wanita yang menghidap PCOS mengalami ketidaksuburan.

Sebuah lagi kajian pada 2019, kali ini di Vietnam, mengenalpasti kemandulan dalam 74.1 peratus daripada 479 orang penghidap PCOS.

Paling terkini pada tahun 2022, kajian kelaziman PCOS di China mendapati 76 orang wanita (9.2 peratus) daripada 826 wanita yang mempunyai PCOS mengalami kemandulan.


Di Malaysia, hasil kajian pada tahun 2012 ke atas kelaziman Sindrom Metabolik dalam kalangan wanita yang mempunyai PCOS menunjukkan 82 orang wanita (82.8 peratus) daripada 99 wanita dikenalpasti sebagai mandul.

Paling terbaharu, kajian pada 2022 bagi penghasilan Soal Selidik Sindrom Ovari Polisistik versi Bahasa Melayu mendapati 109 orang wanita (79 peratus) daripada 138 orang wanita mempunyai masalah ketidaksuburan.

Apa Kaitan PCOS Dengan Kemandulan?

Dr Ashley Chung Soo Bee, Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV). (Hafzi Mohamed / BERNAMA)

S

alah satu punca kemandulan dalam kalangan wanita yang mempunyai PCOS ialah ‘anovulasi’, kata Dr Ashley Chung Soo Bee, Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV).

“Anovulasi ialah apabila seseorang wanita itu tidak ovulasi. Ovari wanita itu tidak mengeluarkan telur matang setiap bulan kerana telur itu tidak berkembang dengan baik. Apabila tiada telur dilepaskan, dia akan kerugian tempoh subur untuk hamil,” jelasnya.

Tanpa ovulasi, folikel yang mengandungi telur yang tidak berkembang akan bertukar menjadi kantung berisi cecair yang merupakan ciri polisistik. Ini yang dilihat dalam PCOS.

Menurut Dr Ashley, wanita yang mempunyai PCOS juga mengalami gangguan pada hormon metabolik dan reproduktif, seterusnya menyumbang kepada kemandulan.

“Ketidakseimbangan hormon metabolik seperti paras insulin tinggi boleh menyebabkan wanita mendapat rintangan insulin. Ketidakseimbangan dalam hormon reproduktif termasuk paras hormon lelaki yang tinggi (androgen) seperti testosteron dan hormon luteinisasi (LH), dan pengurangan paras hormon perangsang folikel (FSH).

“Ketidakteraturan ini secara negatifnya menjejaskan ovulasi dan memberi kesan kepada perkembangan serta kematangan telur, merumitkan lagi penghamilan,” katanya.

Tambah mencabar, penghidap PCOS juga menghadapi risiko tinggi komplikasi mengandung.

“Ini termasuk keguguran di awal kehamilan. Wanita dengan PCOS hampir tiga kali ganda berisiko mengalami keguguran pada bulan-bulan awal kehamilan berbanding wanita tanpa PCOS,” kata Dr Habibah yang juga Pakar Perunding dan Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, UPM.

Antara Punca Kadar Kelahiran Menurun


S

tatistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2022 menunjukkan

mencapai rekod terendah baharu iaitu 1.7 kelahiran bagi seorang wanita setakat tahun 2021.



Perbandingan 40 tahun (1980 - 2021) antara TFR Malaysia dan purata TFR global yang dipetik daripada World Bank menunjukkan trend penurunan bagi kedua-duanya.

Bagaimanapun, purata TFR global masih tinggi berbanding Malaysia dengan 2.3 kelahiran bagi seorang wanita untuk tahun 2021. Untuk membetulkan keadaan ini, TFR Malaysia perlu ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya

Apakah itu Kadar Gantian Paras Kesuburan?


Nilai ini menunjukkan purata jumlah anak seorang wanita yang perlu dikandunginya dengan melahirkan seorang anak perempuan yang hidup sehingga usia boleh mengandungkan anak. Jika paras gantian kesuburan dapat dikekalkan untuk tempoh panjang yang mencukupi, setiap generasi dengan sendirinya boleh menggantikan generasi itu dengan ketiadaan migrasi.

- The United Nations Department of Economic and Social Affairs (DESA), 2007)



‍Pada 2022, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Maziah Che Yusoff berkata lambat berkahwin antara penyumbang utama kepada penurunan TFR.

“Perkahwinan yang lewat menyebabkan tempoh reproduktif menjadi pendek. Selain itu, kecenderungan mempunyai keluarga kecil atas pelbagai sebab seperti kemampuan kewangan dan masalah kemandulan akibat punca kesihatan juga menjadi faktor.

“Kemerosotan dalam kadar kesuburan turut mempercepatkan proses penuaan penduduk Malaysia. Dijangkakan 15 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia akan berusia 60 tahun dan ke atas pada 2030,” ulas beliau ketika Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2022, seperti yang dilaporkan Bernama.

Apa itu TFR?

Bilangan anak yang mungkin dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang usia reproduktifnya.
- The United Nations Population Fund (UNFPA), 2023)

Apakah itu Kadar Gantian Paras Kesuburan?

Nilai ini menunjukkan purata jumlah anak seorang wanita yang perlu dikandunginya dengan melahirkan seorang anak perempuan yang hidup sehingga usia boleh mengandungkan anak. Jika paras gantian kesuburan dapat dikekalkan untuk tempoh panjang yang mencukupi, setiap generasi dengan sendirinya boleh menggantikan generasi itu dengan ketiadaan migrasi.
- The United Nations Department of Economic and Social Affairs (DESA), 2007)

Ada PCOS, Tak Boleh Hamil: Fakta atau Mitos?

P

COS sering dikaitkan dengan kesuburan wanita dan tidak hairanlah ramai yang percaya wanita yang mempunyai PCOS tidak akan dapat melahirkan zuriat.

Bagaimanapun, Dr Ashley tidak bersetuju dengan tanggapan itu.

“Kira-kira 70 peratus daripada mereka memang mengalami kesukaran untuk mengandung, tetapi ini bukan bermakna mereka langsung tidak boleh dapat anak.  Peluang untuk hamil bergantung kepada individu. Wanita dengan PCOS mungkin akan mengambil masa lebih lama sedikit untuk hamil, sementara yang lain mungkin memerlukan bantuan perubatan.

“Ada juga faktor lain yang perlu dipertimbangkan. Usia, perubahan semasa, pembedahan lampau ke atas rahim atau ovari, dan kualiti serta kuantiti sperma pasangan semuanya memainkan peranan penting,” katanya.

Dalam situasi Deena dan Ili, kedua-duanya kini mampu tersenyum kerana telah dikurniakan cahaya mata - walaupun terpaksa melalui perjalanan berbeza untuk hamil.


Kehamilan Deena yang pertama pada Ogos 2020 ialah secara semula jadi setelah setahun mencuba. Ketika itu dia baharu mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Reza.

“Bertahun lamanya saya berasa tertekan apabila doktor memberitahu yang saya tidak subur. Sukar juga untuk menentukan bila saya ovulasi kerana haid yang tidak menentu.

“Berbulan sebelum saya hamil, saya dan Reza sering bertengkar sehingga dia mengalami kemurungan teruk kerana tertekan,” kongsinya dengan Bernama.

Malangnya kehamilannya itu berakhir dengan keguguran ketika kandungannya berusia lapan minggu kerana ‘telur yang tidak sihat’.

Deena dan Reza mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih daripada kesedihan mereka dan berbincang tentang masa depan perkahwinan mereka.

Namun mereka mengambil keputusan untuk tidak berputus asa. Setahun kemudiannya, mereka memutuskan untuk menjalani persenyawaan in vitro atau IVF.“

Kami melakukan prosedur IVF pada bulan Julai 2021 dan memperolehi 10 telur. Implantasi telur dilakukan pada Disember 2021 dan 10 hari kemudian, kami dimaklumkan prosedur itu berjaya. Kami menyambut kelahiran puteri kami pada Ogos 2022.

“Saya tidak mengambil mudah keputusan menggunakan kaedah IVF ini. Sebelum mencuba, saya pastikan mental dan fizikal saya sihat. Alhamdulillah, saya hamil tanpa sebarang masalah,” kata Deena.

Situasi Ili pula berbeza. Beliau hampir menerima hakikat tidak akan dapat menimang cahaya mata sendiri sepanjang hidupnya.

Selepas didiagnos dengan PCOS, endometriosis dan kekurangan hormon tiroid, Ili mengambil keputusan untuk fokus kepada kesihatan dan kebahagian diri.

“Selepas pembedahan endometriosis pada tahun 2020, saya belajar untuk memahami isu kesihatan tubuh badan saya serta fokus pada ketenangan diri,” kata Ili.

Beberapa bulan selepas itu, Ili dan suaminya menerima kejutan - Ili telah berbadan dua.

“Kehamilan itu tidak dirancang.Tidak terkata kegembiraan kami, namun pada masa yang sama ada juga rasa cemas memandangkan tahap kesihatan saya sebelum itu. Orang sekeliling banyak memberi sokongan. Kelahiran putera sulung pada tahun 2022 serta pengalaman menjadi seorang ibu sesuatu yang tiada tolok bandingnya, dan dalam masa yang sama meletihkan juga,” kata Ili sambil ketawa.

Menurut Ili, penting supaya penghidap PCOS tidak terbawa-bawa dengan tanggapan mereka tidak mampu melahirkan zuriat. Sebaliknya, mereka perlu fokus pada penjagaan kesihatan dan mendapatkan sokongan.

“Saya banyak mendengar kisah penghidap PCOS yang ditakut-takutkan dengan pemikiran bahawa mereka tidak boleh hamil dan semuanya salah mereka kerana mereka gemuk.

“Jangan hiraukan kata-kata sebegitu. Ya, memang lebih sukar bagi wanita seperti kita untuk hamil, tetapi ia bukanlah mustahil. Ada banyak kaedah untuk uruskan kesihatan kita agar dapat mengandung,” katanya.

Rawatan Kesuburan untuk Wanita dengan PCOS

W

anita yang mempunyai PCOS dan berhasrat untuk hamil perlu memperbaiki pengurusan gaya hidup mereka, kata Dr Habibah.

“Kami menggalakkan mereka untuk lebih aktif dan menjaga diet. Ini boleh membantu meningkatkan peluang untuk ovulasi serta hamil,” katanya.

Bantuan perubatan juga satu lagi cara bagi penghidap PCOS.

Menurut Dr Ashley, terdapat pelbagai rawatan untuk kemandulan yang boleh diterokai.

“Selepas membuat penilaian, saya akan bentangkan pilihan yang ada yang boleh membantu ovulasi. Kita boleh mulakan dengan pengambilan ubat secara oral  dan jika ini gagal, kita boleh cuba suntikan yang membantu merangsang ovari untuk ovulasi.

“IVF juga satu pilihan tetapi hanya sebilangan kecil wanita sebenarnya perlu melakukannya. Lazimnya, kaedah oral dan ubat suntikan sudah cukup untuk meningkatkan kesuburan sehingga mereka berjaya mengandung dan melahirkan anak,” katanya.

Sila ambil perhatian maklumat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan dan maklumat semata-mata dan bukan untuk nasihat perubatan. Sekiranya anda syaki anda menghidap Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) atau didiagnos dengan PCOS, sila dapatkan nasihat profesional perubatan yang berkelayakan untuk diagnosis, rawatan dan nasihat perubatan peribadi. Penulis serta penerbit artikel ini tidak bertanggungjawab untuk sebarang kesan buruk atau akibat daripada penggunaan maklumat yang disampaikan di sini.