Simbol-simbol Palestin:
Kisah Kehilangan, Kenegaraan & Kebangkitan
Editor: Sakina Mohamed
Pereka Grafik: Ummul Syuhaida Othman
KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Bumi Palestin nan subur kaya dengan kepelbagaian tumbuhan dan hidupan liar, yang kebanyakannya tersimpul erat dalam budaya dan sejarah masyarakatnya.
Daripada pokok zaitun yang teguh berdiri, gagah bertahan berabad lamanya sehinggalah buah tembikai yang menjadi simbol maruah dan perjuangan penduduknya, warisan alam Palestin bukan setakat sumber rezeki bagi penduduknya. Semua simbol ini merupakan lambang identiti dan semangat perjuangan yang tidak pernah pudar.
Dalam laporan khas ini, Garasi Bernama menyelami maksud di sebalik tujuh simbol yang diilhamkan daripada alam semula jadi di Palestin, dan signifikannya bagi penduduk bumi itu.
Editor: Sakina Mohamed
Pereka Grafik: Ummul Syuhaida Othman

Bahagian 1: Tembikai

Ikon buah tembikai hari ini merupakan salah satu lambang perjuangan Palestin yang paling dikenali.
Pokok tembikai telah ditanam di seluruh Palestin sejak bergenerasi dahulu. Menurut kumpulan pemikir Amerika Syarikat The Oakland Institute, varieti pusaka (heirloom varieties) seperti tembikai Jadu’i dari Jenin pernah diusahakan secara meluas oleh petani Palestin sebelum pendudukan Israel. Ketika itu ia dieksport ke Jordan, Lebanon, dan Syria.
Dengan isi yang merah, kulit hijau, lapisan dalam berwarna putih, dan biji yang hitam, warna tembikai ini bagai cerminan warna bendera Palestin. Persamaan ini menjadikannya simbol perjuangan rakyat Palestin dan penyokong mereka, terutamanya ketika pengibaran bendera mereka dilarang.
Selepas Perang Arab-Israel 1967, Israel menguasai Gaza dan Tebing Barat dan menduduki Baitulmuqaddis Timur. Mereka kemudian mengeluarkan Arahan Ketenteraan 101 yang mengharamkan sebarang paparan "bendera atau lambang politik", termasuk bendera Palestin, di Wilayah Palestin yang dijajah. Sebagai tanda bantahan, para aktivis mula menggunakan simbol gantian bendera seperti tembikai dalam karya seni dan protes.
Imej tembikai kini kembali menjadi simbol popular bagi menyuarakan solidariti dengan Palestin, seiring dengan keganasan berterusan di Gaza. Buah itu diangkat sebagai lambang perjuangan dan kerap menghiasi pelbagai medium protes termasuk poster, sepanduk, kemeja serta menjadi elemen utama dalam perhimpunan menyokong Palestin.
Imej tembikai turut digunakan secara meluas dalam kalangan penyokong Palestin di ruang siber sebagai tanda solidariti.
Platform media sosial seperti Facebook dan Instagram didapati menyekat serta mengenakan ‘shadowban’ terhadap kandungan Palestin berikutan tragedi pembunuhan beramai-ramai di Gaza. Sebagai tindak balas, rakyat Palestin dan penyokong mereka mula membanjiri profil masing-masing dengan gambar dan karya seni hirisan tembikai. Emoji tembikai juga kerap digunakan dalam tanda pagar dan di ruangan komen sebagai simbol sokongan dan kebangkitan.
(‘Shadowban’ merujuk situasi apabila kandungan pengguna disekat secara senyap di media sosial tanpa notifikasi rasmi, menjadikannya tidak kelihatan kepada pengguna lain.)
Bahagian 2: Kaktus Saber

Kaktus saber (atau kaktus pir berduri) sering menghiasi lanskap Palestin.
Kaktus yang namanya berakar daripada perkataan Arab sabr (sabar), dahulunya dijadikan sebagai tanaman pagar yang memisahkan sempadan harta dan kebun di Palestin.
Pada musim panas, kaktus itu menghasilkan “pir berduri”, buah manis dan sukulen yang sangat digemari penduduk tempatan.
Kemampuannya bertahan dalam keadaan gersang dan menyesuaikan diri melalui kemarau panjang menjadikannya lambang kecekalan rakyat Palestin - cerminan jiwa yang tak mudah patah.
“Bagi rakyat Palestin, kaktus saber melambangkan ketabahan dan kesabaran,” demikian dapatan ahli antropologi Dr Nasser Abufarha dalam kajiannya, Land of Symbols: Cactus, Poppies, Orange and Olive Trees in Palestine.
“Ketika berdepan kesulitan, mereka mengungkap peribahasa Palestin: ‘sabar as-sabbar’ (sabarlah ibarat kaktus saber).”
Dalam satu temubual eksklusif dengan Garasi Bernama, Nasser berkata kaktus ini beroleh signifikan baharu pada zaman 1980-an dan 1990-an, iaitu sebagai lambang penentangan, kecekalan jiwa, dan ketekadan.
Ketika itu, penyelidik Palestin yang mendokumentasikan Nakba mendapati terdapat rimbunan kaktus yang tumbuh di puing perkampungan luar bandar yang telah ranap dimusnahkan.
“Selepas tahun 1948, Israel memusnahkan lebih 500 perkampungan di seluruh Palestin. Setelah merampas tanah, kota, dan desa Palestin, mereka menghapuskan sebahagian besar ladang dan kebun.
“Namun, tanah itu dahulunya dikelilingi kaktus yang ditanam petani. Lama-kelamaan, kaktus saber tumbuh semula dan menjadi ‘penunjuk arah’ bagi penyelidik untuk mengenal pasti tapak kampung yang telah dimusnahkan,” katanya.
Kini, kaktus saber kekal sebagai peringatan nyeri sejarah pahit bumi itu. Bagi warga Palestin yang hidup melalui Nakba dan anak cucu mereka, inilah cara mereka menjejaki tanah dan harta yang telah dirampas.
“Apabila ternampak sahaja kaktus saber di perbukitan Galilee atau Palestin, kami tahu bahawa dahulunya ada sebuah perkampungan di situ. Bagi keturunan penduduk kampung tersebut pula, selagi hidup kaktus saber di situ, selagi itulah kami punya harapan untuk hidup di tanah itu,” kata Nasser.
“Ia bagaikan motivasi bagi kami kerana merupakan bayangan kehidupan lama kami - kehidupan komuniti dan nenek moyang kami. Walaupun sekelumit cuma, ia tetap memberi gambaran kehidupan yang mungkin dapat dinikmati kalaulah kami tidak diusir.”
Bahagian 3: Zaitun

Pohon zaitun, antara penghuni paling purba di bumi Palestin, adalah tunjang pertanian wilayah itu sejak berabad lamanya. Pohon ini bukan sahaja merupakan nadi ekonomi dan identiti budaya Palestin, malah ia lambang kemakmuran, ketabahan, dan hubungan mendalam rakyat Palestin dengan tanah warisan mereka.
Pohon zaitun mampu hidup hingga 600 tahun, namun ada yang usianya mencecah ribuan tahun. Di Galilee, dianggarkan terdapat hampir 200,000 pohon zaitun yang berusia ribuan tahun ini.
(Galilee ialah satu wilayah di Levant yang merangkumi sebahagian Palestin utara yang diduduki Israel. Wilayah itu menjangkau ke selatan Lubnan dan kawasan Bukit Golan di Syria yang turut diduduki Israel).
Salah satunya ialah pohon zaitun al-Badawi, yang dilaporkan sebagai pohon zaitun tertua di Palestin dan boleh ditemui di kampung al-Walaja di Bethlehem. Penyelidik dari Jepun dan Eropah menganggarkan pokok itu berusia sekitar 4000-5000 tahun.
Menurut Nasser Abufarha, ini kerana amalan penanaman makanan merupakan tradisi pertanian penduduk Palestin sejak dahulu lagi.
“Sebahagian daripada warisan ini ialah tanaman zaitun yang sehingga hari ini kekal sebagai tanaman pertanian paling penting di Palestin.
“Pohon zaitun kini sudah menjadi lambang jati diri Palestin - suatu identiti yang berakar umbi di tanah ini. Ia simbol kewujudan kami dan penyambung warisan nenek moyang kepada generasi hari ini dan yang akan datang,” kata Nasser yang juga pengasas dan pengarah Canaan Palestine, sebuah syarikat minyak zaitun yang berpangkalan di Jenin, Tebing Barat, Palestin.

Pohon zaitun Palestin menghadapi ancaman berterusan sejak bermulanya pendudukan Israel, dengan hampir sejuta pohon dicabut dan dimusnahkan.
Menurut laporan Kementerian Ekonomi Negara Palestin dan Applied Research Institute-Jerusalem, Israel telah mencabut kira-kira 800,000 pohon zaitun di Palestin sejak 1967. Kerugian ekonomi Palestin akibat kemusnahan ini dianggarkan mencecah USD55 juta (≈RM237 juta).
Pada 2020, Pengarah Jabatan Pendokumentasian Kerosakan Pertanian Palestin, Nazeh Fkhaida mendedahkan bahawa peneroka haram Israel telah "mencabut, membakar dan meracuni secara kimia sebanyak 101,988 pokok zaitun sejak 2010". Serangan ini mengakibatkan kerugian USD47 juta (≈RM203 juta) kepada petani Palestin.
Namun, kata Nasser, jumlah kemusnahan pohon zaitun serta kerugian sebenarnya jauh lebih besar.
“Angka sebenarnya jauh lebih tinggi kerana program penempatan haram jelas telah meningkat secara mendadak sejak 10 tahun lalu.
"Setiap kali penempatan ini berkembang, lebih banyak kebun zaitun musnah dan petani kehilangan sumber pencarian," jelasnya.
Namun, di sebalik kemusnahan ini, pohon zaitun terus dilihat sebagai simbol ketahanan yang menyatukan rakyat Palestin dengan tanah tumpah darah mereka.
"Pohon zaitun tahan kemarau dan persekitaran yang sukar.
“Ia bagaikan pengajaran kepada kami, mendidik kami untuk hidup dengan sumber terbatas. Ketahanan yang membentuk pohon zaitun, juga membentuk kami,” kata Nasser.
Bahagian 4: Oren Yaffa

Sebelum tragedi Nakba, Palestin dikenali dengan kemakmuran industri sitrusnya.
Oren Yaffa dinilai tinggi kerana kulitnya yang tebal, rasa yang manis dan aroma yang menyegarkan. Ia pernah menjadi lambang Palestin dan merupakan eksport utama wilayah itu pada awal 1900-an.
Menjelang tahun 1913, eksport oren menyumbang kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan barangan yang dieksport dari Pelabuhan Yaffa dan wilayah Palestin di ketika zaman Uthmaniyyah. Menjelang akhir 1930-an, hasil sitrus merangkumi 77 peratus daripada nilai keseluruhan eksport Palestin dan kebanyakannya ialah buah oren.
Sepanjang tempoh Mandat British, dianggarkan hampir separuh daripada penduduk Yaffa bekerja dalam industri sitrus atau sektor berkaitan.
Kejayaan ekonomi oren Yaffa menjadikannya lambang kemakmuran Palestin dan warisan pertaniannya yang subur. Namun, simbol ini lenyap apabila sebahagian besar ladang oren Palestin dirampas semasa Nakba.
“Sebahagian besar ladang sitrus Palestin terletak di kawasan pantai antara Gaza dan Haifa. Kebanyakan kawasan tanah pamah pesisir ini, termasuk ladang sitrusnya, dirampas Israel pada tahun 1948. Kami telah menanam kawasan pesisiran ini dengan oren Yaffa, yang dahulunya dieksport dalam jumlah yang tinggi ke Eropah, namun semuanya telah dirampas Israel,” kata Nasser.
Buah oren kini tidak lagi memainkan peranan penting dalam ekonomi Palestin. Masih terdapat kebun-kebun oren yang diusahakan petani Palestin - di Jericho, wilayah Tubas, Tulkarem dan Gaza - tetapi jumlahnya hanya tinggal sisa berbanding zaman kegemilangannya dahulu.
"Kini ia simbol kerugian dan identiti kami yang dicuri kerana oren Yaffa kami yang dijual di Eropah kini dilihat sebagai produk Israel. Malah jenama ‘Jaffa orange’ sendiri telah dirampas dan dijadikan jenama Israel,” kata Nasser.
Menurutnya tindakan itu ibarat rompakan budaya yang memberi kesan mendalam kepada rakyat Palestin, dan menjadi sumber ilham pelbagai karya seni dan sastera berbentuk peringatan getir akan warisan yang hilang.
Salah satu daripada karya ini ialah The Land of Sad Oranges, cerita pendek terkenal karangan penulis Palestin Ghassan Kanafani. Diceritakan daripada sudut pandangan kanak-kanak, kisah ini mengisahkan pelarian paksa sebuah keluarga dari kampung halaman mereka di Yaffa, Palestin semasa Nakba.
Oren menjadi imej berulang dalam cerita ini. Pada awalnya, ia melambangkan kemakmuran dan kedamaian Palestin. Namun, secara beransur-ansur ia bertukar menjadi metafora penderitaan keluarga tersebut - menggambarkan keruntuhan harapan mereka ketika berdepan kehilangan tanah air dan realiti baru sebagai pelarian.
Bahagian 5: Bunga Popi

Bunga popi Palestin (Anemone coronaria) antara bunga paling ikonik di negara itu.
Setiap musim bunga, ladang-ladang Palestin pasti dihiasi bunga ini. Varieti paling terkenal, popi merah, menyerlah dengan kelopak merah darahnya yang kontras dengan lanskap hijau dan herba liar di kawasan desa.
Gabungan warnanya iaitu merah menyala, pusat hitam dikelilingi lingkaran putih, dengan tangkai hijau terang, sering dikaitkan dengan warna bendera Palestin.
Bagi rakyat Palestin, popi merah membawa makna simbolik lebih mendalam: kesyahidan dan pengorbanan.
"Simbol popi ini mula digunakan pada akhir 1960-an dan awal 1970-an apabila gerakan penentangan Palestin memilih perjuangan bersenjata menentang Israel setelah kehilangan baki wilayah Palestin pada 1967," jelas Nasser. "Mereka beranggapan tidak ada gunanya lagi menunggu rejim-rejim Arab memulihkan tanah air mereka, lalu memilih jalan penentangan."
Gerakan penentangan ketika itu memperkenalkan konsep Fida'i, iaitu pengorbanan nyawa demi tanah air.
Menurut Nasser, konsep inilah yang menjadikan popi sebagai simbol pengorbanan tersebut.
"Maka popi merah menjadi tanda nyawa yang dikorbankan para syuhada demi tanah air, sekaligus sebagai penghormatan bagi mereka yang gugur. Ia menjadi sebahagian daripada perjuangan menentang penjajahan," katanya.
Bahagian 6: Za’atar

Za’atar ialah tumbuhan herba yang berasal dari Palestin yang tumbuh meliar di bumi itu, hinggakan mampu hidup di celah rekahan batu dan runtuhan bangunan.
Penduduk Palestin sejak bergenerasi menggunakan za’atar dalam penyediaan makanan dan ubatan herba, menjadikannya ramuan penting dalam kehidupan mereka.
Malah, herba ini paling kerap digunakan di dapur suku Arab Levant, termasuk dalam campuran herba kering yang turut dikenali dengan nama sama.
Campuran tradisionalnya mengandungi za’atar dan oregano kering, bijan panggang, sumac, dan garam. Campuran za’atar lazimnya dimakan dengan roti yang dicicah dalam minyak zaitun atau dijadikan taburan bagi manaeesh, sejenis roti leper ala pizza yang popular di negara Levant.
Za’atar mendapat tempat istimewa dalam identiti Palestin, seperti yang dihuraikan Kate Reynolds dalam kajiannya, Conserving the Spice of Life: An Analysis of the 1977 Za’atar Regulation in Israel and Occupied Territories of the West Bank.
“Kepentingan za’atar dalam rumah, sebagai tradisi komuniti, serta sebagai simbol identiti dan kebangkitan, menjadikannya sesuatu yang amat bernilai buat rakyat Palestin.
“Za’atar adalah sebahagian daripada kehidupan seharian orang Palestin, yang menjadikannya lambang yang diangkat dalam seni, muzik, puisi, dan aspek budaya yang lain,” tulis Reynolds.
Namun, signifikan herba itulah yang menjadikannya sasaran kerajaan Israel.
Pada tahun 1977, Kementerian Pertanian Israel (di bawah kepimpinan bakal Perdana Menteri Ariel Sharon) meluluskan undang-undang yang mengisytiharkan za’atar liar sebagai spesies terlindung, sekaligus menjadikannya tumbuhan larangan untuk dipetik dan digunakan.
Alasan yang diberi ialah kajian Israel mendakwa tumbuhan itu berisiko pupus akibat pemetikan berlebihan.
Namun, analisis Reynolds pada tahun 2023 mendapati bahawa penguatkuasaan peraturan ini oleh Pihak Berkuasa Alam Semula Jadi dan Taman Israel telah menyebabkan rakyat Palestin dipenjarakan, dikenakan denda, malah dibicarakan di mahkamah.
Analisis itu juga memetik penyelidikan peguam hak asasi manusia Rabea Eghbariah, yang mendedahkan bahawa dari tahun 1977 hingga 2017, 100 peratus individu yang dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan ini adalah rakyat Palestin. Para penentang turut membangkitkan isu denda berat yang dikenakan terhadap pemetik za’atar di pos pemeriksaan Tebing Barat, ada yang mencecah 5,000 shekel baharu Israel (≈RM6,000).
Namun pada masa yang sama, Israel menggalakkan usaha pembiakan dan pengkomersialan za’atar, dengan menjadikan syarikat swasta Israel pemain utama dalam proses ini.
Bahagian 7: Kelicap Palestin

Burung kelicap Palestin merupakan salah satu spesies burung endemik yang penting dan dilihat sebagai simbol kebebasan dan keindahan alam di bumi itu. Burung ini bukan sahaja menyandang nama Palestin, malah telah diiktiraf sebagai burung kebangsaan Palestin pada tahun 2015.
Ia antara spesies burung terkecil di negara itu dah mudah ditemui terbang bebas di sekitar bandar dan desa-desa Palestin.
Dengan bulunya yang berkilauan berwarna-warni, paruh melengkung dan lidah yang panjang, burung kelicap Palestin sering dikelirukan dengan burung hummingbird.
Kelicap Palestin juga memakan serangga herbivor dan artropod, menjadikannya penting dalam mengawal perosak tanaman dan mengurangkan kerosakan hasil pertanian.
Keindahan dan simbolisme kelicap Palestin sering mengilhami karyawan bumi itu untuk memaparkannya dalam karya seni, terutamanya tentang kebangkitan terhadap pendudukan Israel.
Salah seorang daripada mereka ialah Khaled Jarrar.
Dari tahun 2011 hingga 2014, projek beliau bertajuk Live and Work in Palestine melibatkan perekaan cop visa Palestin tidak rasmi bagi pasport. Cop bulat ini memaparkan perkataan 'State of Palestine' dalam bahasa Inggeris dan Arab mengelilingi imej kelicap Palestin dengan sayap terkembang.
Khaled menggunakan cop ini untuk mengecap pasport sukarelawan dari pelbagai negara yang bersetuju menyertai projek ini.
Tujuan projek ini jelas: untuk mencipta kaedah seni yang “melawan ketiadaan Palestin”.
Kelicap Palestin juga menjadi elemen utama dalam siri setem pos rasmi Palestin hasil karya Khaled. Setem ini dihasilkan secara sah melalui kerjasama dengan pejabat pos di pelbagai negara termasuk Belgium, Jerman dan Norway, dan boleh digunakan untuk penghantaran mel biasa.
-- BERNAMA