Pahit maung hidup dengan PCOS bukanlah sesuatu yang asing bagi Deena Marzuki, 34. Didiagnos dengan PCOS ketika berusia 17 tahun, beliau terpaksa bergelut dengan banyak gejala sehinggakan kesihatannya terjejas teruk.
Antara gejala pertama dihadapinya muncul ketika beliau berusia 13 tahun iaitu sering berasa letih, pertambahan berat badan serta kembung perut.
“Saya tidak sedar semua gejala itu ada kaitan dengan PCOS. Ketika membesar, tak banyak yang diketahui tentang PCOS dan tak ramai yang bercakap tentangnya,” beliau memberitahu Bernama.
Meskipun Deena aktif dalam bidang sukan, berat badannya terus meningkat. Beliau menjelang usia 17 tahun, bulu badannya menjadi lebat manakala kitaran haid tetap belum bermula.
Akhirnya Deena membuat keputusan bertemu dengan OB/GYN (Pakar Obstetrik/Pakar Sakit Puan), yang mendiagnosnya dengan PCOS.
“Saya memang rasa gelisah ketika itu. Doktor lakukan ujian darah yang menunjukkan paras hormon lelaki dalam tubuh saya tinggi. Ujian ultrasound mengesan untaian seakan mutiara di dalam ovari saya. Saya diberitahu kemudian ia adalah sista.
“Selepas ujian, doktor memberitahu bahawa saya menghidapi PCOS tetapi tidak menjelaskan dengan terperinci. Doktor kata saya perlu turunkan berat badan dan kemungkinan juga saya tidak subur,” katanya.
Berita itu meruntun perasaannya kerana Deena sememangnya memasang impian menjadi seorang ibu suatu hari nanti.
Sedih dan bingung dengan diagnosis yang diterima, beliau setuju sahaja dengan preskripsi doktor untuk mengambil pil perancang bagi membantu mengawal kitaran haid dan simptom PCOS.
Beliau mengambil pil perancang keluarga selama enam bulan sebelum berhenti.
“Saya ada didatangi haid semasa mengambil pil perancang itu tetapi ia tidak mengurangkan simptom yang saya alami. Gejala rasa perut kembung, berat badan bertambah dan bulu badan yang lebat tidak berkurangan. Saya juga mengalami migrain setiap hari,” kongsi Deena.
Tanggapan negatif terhadap tubuhnya turut menjejaskan kesihatan mental Deena sehingga terjerumus dengan pengambilan dadah selama tujuh tahun. Sepanjang tempoh itu, berat badannya turun mendadak sehingga pada suatu masa beratnya hanya 49kg. Gejala PCOS pula semakin teruk.
Apabila penagihan dadah menjejaskan terus mental serta fizikalnya, Deena membuat keputusan untuk berhenti secara mendadak.
“Saya berhenti mengambil dadah pada tahun 2012. Dalam masa hanya beberapa bulan sahaja berat badan saya melonjak sehingga 110kg. Pertambahan berat badan itu juga membuatkan saya mengalami rintangan insulin dan gejala PCOS saya bertambah teruk.
“Kesihatan mental saya yang sememangnya tak berapa bagus turut terjejas. Meletihkan bagi saya untuk menangani dismorfia tubuh, kemurungan dan rasa keresahan yang teruk,” kata Deena.
Keluarga dan rakannya pula tiada simpati dengan keadaan yang dialaminya. Telinganya berdesing dengan lontaran kata-kata “gemuk”, “malas” dan “lemah”. Ada juga rakan yang menjauhkan diri dan memutuskan persahabatan mereka.
Deena menghabiskan tahun-tahun berikutnya mencari kaedah terbaik menangani gejala PCOS yang masih membelenggu dirinya.
“Saya cuba amalkan pelbagai jenis diet tapi tak berkesan. Saya jumpa pakar neurologi untuk migrain yang dialami, cuba juga hipnoterapi untuk mengawal ketagihan gula. Saya juga mendapatkan rawatan pakar akupunktur dan wellness doctor.
“Saya sertai kelas CrossFit. Tapi bila nampak sahaja penurunan berat badan, mulalah saya overdo (buat berlebihan). Saya bersenam dua kali sehari, hadkan pengambilan makanan sehingga 400 kalori sahaja sehari, atau pun puasa terus. Kaedah itu tak berhasil, sebaliknya berat badan saya naik. Ini berlaku kerana saya begitu membebani badan saya sehingga paras kortisol meningkat,” katanya.
Beliau membuat keputusan menghentikan segalanya buat sementara.
Sebelum mencuba semula, beliau memperuntukkan lebih masa untuk mengkaji lebih lanjut tentang PCOS dan kesannya ke atas tubuh. Beliau merujuk komuniti antarabangsa PCOS untuk mendapatkan bantuan sambil mengumpul maklumat daripada para pakar yang ditemuinya.
Senaman intensif diganti dengan latihan ringan. Deena juga mula makan apa yang dimahukan tetapi secara bersederhana.
Pada tahun 2019, Deena mendirikan rumah tangga dengan Reza Ramli. Deena menyifatkan suaminya sebagai “tonggak kekuatannya” sehingga ke hari ini. Kehadiran beliau dalam hidup Deena sedikit sebanyak membantu mengubati trauma yang dihadapinya selama ini.
Pertemuannya dengan Ili Sulaiman dan Stephanie Yang disifatkan sebagai takdir. Persahabatan mereka semakin erat atas minat bersama untuk meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan wanita di Malaysia, sehinggakan tertubuhnya organisasi sokongan, My PCOS I Love You.
Kefahaman lebih mendalam tentang PCOS membolehkan Deena memberi penjelasan mengenai sindrom itu kepada yang rapat dengannya.
Malah, perkongsiannya jugalah yang menggalakkan ibunya berjumpa dengan doktor dan pada tahun 2020, ibunya didiagnos menghidapi PCOS.
“Suami, keluarga saya dan rakan karib saya adalah penyokong kuat dalam perjuangan saya menghadapi PCOS. Mereka mengharungi segalanya bersama-sama saya, terutama selepas kehamilan pertama saya berakhir dengan keguguran. Alhamdulillah, pada tahun 2022, kami dikurniakan seorang anak perempuan selepas mencuba kaedah IVF,” katanya sambil mengukir senyuman.
Apabila ditanya sama ada beliau ada mengimpikan kehidupan tanpa PCOS, Deena tidak terus menjawab.
“Ada kalanya saya masih berasa terbeban dengan PCOS, namun saya tidak biarkan perasaan itu menguasai diri saya. Memang ada ketika saya membayangkan hidup tanpa penderitaan akibat PCOS, tapi saya sedar saya tidak akan mencapai kedudukan saya hari ini tanpanya,” kata Deena.