'Raja Jalanan'

Myvi Tewas Kepada Bezza Pada 2023

Selama lima tahun berturut-turut Perodua Myvi dinobatkan kereta paling popular di Malaysia. Namun pada 2023, ‘Raja Jalanan’ Malaysia ini tewas kepada Perodua Bezza. Adakah ini bermakna Myvi hilang tempatnya di hati rakyat Malaysia?
Oleh:  Shaza Al Muzayen | Editor: Sakina Mohamed
Pereka Web: Ummul Syuhaida Othman | Visualisasi Data: Shaza Al Muzayen

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Meskipun sering kali viral kerana “lagak samseng” segelintir pemandunya di jalan raya, Perodua Myvi tetap popular dalam kalangan rakyat Malaysia sejak diluncurkan pada 2005.

Daripada kelab peminat rasmi sehinggalah ke halaman media sosial khas, peminat Myvi telah mewujudkan komuniti tersendiri bagi meraikan dan berkongsi minat terhadap kereta kesayangan mereka itu.

Populariti Perodua Myvi terbukti apabila ia dinobatkan kereta paling laris di Malaysia selama lima tahun berturut-turut sejak 2018.

Namun, pada 2023, kedudukan ‘Raja Jalanan’ itu diambil alih pesaing yang tidak dijangka - Perodua Bezza.

Menurut data yang diterbitkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebanyak 56,735 unit Bezza telah didaftarkan pada tahun 2023. Ini jauh mengatasi jumlah Myvi yang didaftarkan pada tahun sama, iaitu 45,014 unit.

Ramai mungkin tertanya: apa agaknya faktor yang mempengaruhi peralihan permintaan kepada Bezza?

Faktor Yang Mungkin Mem‘Bezza’kan

Ada tiga faktor yang mungkin mempengaruhi keputusan pengguna: harga, penggunaan minyak dan kapasiti bagasi.

Dari segi harga, Bezza menang. Keempat-empat model Bezza lebih murah jika dibandingkan dengan kesemua lima model Myvi. Ini menjadikannya pilihan yang mesra dompet bagi pemandu.

Harga Bezza (tanpa insurans) antara RM35,580 hingga RM49,980, manakala harga Myvi bermula dari RM46,500 hingga RM59,900 (tanpa insurans).

Kecekapan minyak bagi Bezza juga dikatakan lebih baik berbanding Myvi, walaupun hanya sedikit.

Menurut laman web Perodua, model Bezza yang paling jimat minyak mampu mencapai 22.8km/l berbanding model Myvi paling cekap minyak, iaitu 22.2km/l.

Perbezaan kecekapan minyak ini mungkin disebabkan berat Bezza yang lebih ringan iaitu 902.5kg, berbanding purata berat model Myvi iaitu 1,005kg.

Kapasiti bagasi Bezza juga jauh melebihi Myvi. Semua model Bezza mempunyai kapasiti bagasi 508 liter, berbanding hanya 277 liter pada kesemua model Myvi.

Memandangkan saiz median isi rumah di Malaysia ialah 3.8 orang, tidak hairanlah jika ramai melihat Bezza sebagai pilihan lebih sesuai untuk membawa keluarga keluar bersiar-siar atau balik kampung.

Walaupun kelebihan Myvi mungkin terletak pada faktor lain yang tidak dinyatakan di atas,  ia nampaknya tidak berjaya mempengaruhi kebanyakan pembeli yang mungkin membuat pemilihan berdasarkan faktor lain seperti keadaan ekonomi semasa.

Namun, adakah ini bermakna Myvi telah hilang tempatnya di hati rakyat Malaysia?

Masih 'Raja' di Google

Data carian di Google Trends menunjukkan Myvi tetap menjadi topik trending di Malaysia.

Dari Januari hingga Disember 2023, Myvi secara konsisten menjana minat carian (search interest) lebih tinggi di Google berbanding Bezza. Istilah 'Perodua Myvi' mempunyai nilai minat carian purata 82, manakala 'Perodua Bezza' mempunyai nilai purata 38.

Pengguna web yang berminat dengan istilah 'Perodua Myvi' dan 'Perodua Bezza' juga membuat pelbagai carian berkaitan. Ada istilah carian yang lebih popular berbanding yang lain dan mengalami peningkatan mendadak di Google. Ini dinamakan breakout queries.

Negeri Mana Menunjukkan Minat Paling Tinggi?

Analisis lanjut data carian Google Trends mendapati setiap negeri mempunyai minat berbeza bagi model-model ini.

Istilah 'Perodua Myvi' paling popular di Terengganu (100), Kelantan (97), Kedah (86), Pahang (85), dan Perlis (82). Sementara itu, 'Perodua Bezza' lebih popular di negeri-negeri Sarawak (100), Sabah (81), Labuan (64), Melaka (54), dan Pahang (54).

Populariti 'Perodua Myvi' di negeri Terengganu terpusat di Cukai (100), Paka (95), dan Kerteh (90). Antara breakout queries teratas dari negeri tersebut termasuk carian bagi 'Harga Myvi 2023', 'Myvi advance 2023', 'Granite grey Myvi', 'Carsome', dan 'Harga Axia 2023'.

Sarawak menunjukkan minat yang signifikan dalam 'Perodua Bezza', terutamanya di Bau (100), Sri Aman (83) dan Simunjan (80). Breakout queries teratas dari Sarawak termasuk carian bagi 'Harga Bezza 2023', 'Myvi 2023', 'Bezza X 2023', 'Bezza advance 2023', dan 'Proton Saga 2023'.

Bandar dan Pekan Mana Pula Paling ‘Minat’ Myvi?

Minat terhadap istilah 'Perodua Myvi' lebih tersebar luas di bandar dan pekan yang terletak di pantai timur Malaysia. Sepuluh bandar dan pekan teratas (dengan tertib menurun) yang mencari istilah tersebut adalah Cukai (Terengganu), Paka (Terengganu), Ketereh (Kelantan), Tanah Merah (Kelantan), Pasir Mas (Kelantan), Langgar (Kedah), Wakaf Bharu (Kelantan), Balok (Pahang), Gua Musang (Kelantan), dan Marang (Terengganu).

'Perodua Bezza' merupakan carian utama bagi bandar dan pekan di Sabah dan Sarawak. Sepuluh bandar dan pekan teratas (dengan tertib menurun) adalah Bau (Sarawak), Sri Aman (Sarawak), Simunjan (Sarawak), Tanjung Kidurong (Sarawak), Beluran (Sabah), Siburan (Sarawak), Bintulu (Sarawak), Lutong (Sarawak), Kudat (Sabah) dan Sandakan (Sabah).

-- BERNAMA

'Perodua Bezza' merupakan carian utama bagi bandar dan pekan di Sabah dan Sarawak. Sepuluh bandar dan pekan teratas (dengan tertib menurun) adalah Bau (Sarawak), Sri Aman (Sarawak), Simunjan (Sarawak), Tanjung Kidurong (Sarawak), Beluran (Sabah), Siburan (Sarawak), Bintulu (Sarawak), Lutong (Sarawak), Kudat (Sabah) dan Sandakan (Sabah).


-- BERNAMA

Mengenai Data

Data yang dikumpulkan dalam artikel ialah melalui Google Trends dan ianya tepat setakat 5 April 2024. Google Trends menyepadankan data carian untuk memudahkan perbandingan antara istilah. Keputusan carian disepadankan dengan waktu dan lokasi pertanyaan. Data Google Trends mencerminkan carian yang dilakukan di Google setiap hari, tetapi juga boleh mencerminkan aktiviti carian yang tidak teratur, seperti carian automatik atau pertanyaan yang mungkin berkaitan dengan percubaan untuk spam hasil carian Google.