Oleh: Shaza Al Muzayen | Editor: Sakina Mohamed | Pereka Grafik: Ummul Syuhaida Othman
KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Krisis pelarian Syria, yang dianggap antara paling serius dalam sejarah moden, mendapat perhatian sekali lagi apabila negara itu diambil alih pemerintahan baharu.
Jutaan rakyat Syria telah kehilangan tempat tinggal sejak 13 tahun lalu. Kejatuhan kerajaan Assad pada 8 Disember 2024 tidak banyak merubah keadaan ini – malah ia terus menyumbang kepada ketidaktentuan masa depan mereka.
Walau ada yang melihat perubahan ini sebagai peluang untuk pulang, ramai yang masih ragu-ragu. Mereka bimbang akan ketidakstabilan, masalah ekonomi, dan ancaman keselamatan yang seperti tiada penyelesaian.
Bagi enam juta pelarian Syria, ini persoalan utama di benak fikiran: Adakah mereka benar-benar boleh pulang dengan selamat?
Perang di Syria, yang terhenti sekian lama, kembali meletus pada 27 November 2024.
Ini berlaku apabila gabungan kumpulan pembangkang, dikenali sebagai Hayat Tahrir al-Sham, berjaya menawan bandar Aleppo yang ketika itu di bawah kawalan kerajaan semasa.
Kejatuhan Aleppo disusuli Hama. Hayat Tahrir al-Sham kemudiannya dengan pantas menyerbu ibu negara Syria, Damsyik.
Pada 8 Disember, tersebar berita bahawa Presiden Syria, Bashar al-Assad, telah melarikan diri dari negara itu – sekaligus menandakan tamatnya pemerintahan 61 tahun Parti Ba’ath.
Kejatuhan pemerintahan Assad seolah memberi sinar baharu kepada rakyat Syria. Selepas melalui pelbagai kesengsaraan sehingga lebih sedekad, mereka mula merasakan bahawa ada kemungkinan perang yang telah memporak-perandakan kehidupan mereka selama ini telah sampai ke penghujungnya.
Perang saudara di Syria yang bermula pada tahun 2011 telah menyebabkan jumlah perpindahan terpaksa dan kematian yang tinggi dalam kalangan penduduknya.
Menurut Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), terdapat 6.25 juta pelarian Syria berdaftar di seluruh dunia pada tahun 2024. Ini selain 7.41 juta orang pelarian dalaman (IDP) di dalam Syria sendiri.
UNHCR turut melaporkan bahawa sehingga 2024, seramai 163,175 pencari suaka Syria berdaftar dengan mereka, dengan kebanyakannya masih menunggu keputusan permohonan ke negara lain, terutamanya di Eropah. (Dahulu, kebanyakan pelarian memohon untuk ke Eropah kerana dasar negara di rantau itu yang memudahkan akses kepada perubatan, pelajaran, tempat tinggal dan pekerjaan berbanding negara-negara jiran.).
Pada masa yang sama, populasi Syria turut terjejas teruk. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan populasi Syria yang di tahap 22.9 juta pada 2011 telah jatuh kepada 19.2 juta pada 2016 akibat perang yang membawa kepada kematian dan perpindahan penduduk.
Menjelang 2024, angka ini kembali meningkat kepada 24.7 juta, mencerminkan pergerakan populasi dan kelahiran baharu.
Ratusan ribu rakyat Syria terbunuh sepanjang perang ini. Pada 2021, UNHCR menganggarkan bahawa dekad perang telah meragut 306,887 nyawa. Menjelang 2024, Balai Cerap Hak Asasi Manusia Syria melaporkan angka kematian telah meningkat kepada 617,910 orang.
Pertempuran yang kembali meletus pada akhir 2024 menyebabkan gelombang perpindahan baharu di Syria.
Ia telah mengakibatkan lebih 800,000 orang kehilangan tempat tinggal, terutama yang di wilayah Idlib (345,375), Hama (160,100), dan Rural Damascus (115,190). Terdapat juga laporan pergerakan pelarian Syria yang kembali dari Lubnan dan Türkiye, manakala beribu-ribu lain melarikan diri ke Lubnan.
Krisis itu semakin parah apabila Israel mengebom Lubnan, sekaligus menyebabkan lebih ramai mangsa memerlukan bantuan kemanusiaan yang pada asalnya memang agak terhad.
Lebih setengah juta orang melarikan diri dari Lubnan ke Syria pada hujung September hingga November bagi mengelakkan serangan udara Israel, menurut UNHCR. Daripada jumlah ini, 60 peratus adalah rakyat Syria yang telah pulang, manakala selebihnya rakyat Lubnan yang mencari perlindungan.
Susulan gencatan senjata antara Israel dan Lubnan pada 27 November, kira-kira 40,000 pelarian Lubnan pulang ke tempat tinggal masing-masing.
Menjelang 2024, hampir separuh daripada populasi pelarian Syria (3,112,683) berada di Türkiye. Ini diikuti Lubnan (774,697) dan Jerman (716,728).
Kebanyakan pelarian Syria yang lain pula mencari perlindungan Jordan (628,135), Iraq (286,099), Mesir (156,465), Austria (97,939), Sweden (86,956), Belanda (65,622), dan Greece (50,759).
Kejatuhan kerajaan Assad menyebabkan beberapa negara Eropah menghentikan atau menggantung permohonan suaka untuk pelarian Syria. Antara negara tersebut adalah Austria, Belgium, Croatia, Denmark, Perancis, Jerman, Greece, Itali, Norway, Sweden, dan United Kingdom.
Pegawai dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa negara-negara ini untuk terus melindungi hak pencari suaka Syria walaupun terdapat perubahan rejim secara tiba-tiba.
Jurucakap Global UNHCR, Shabia Mantoo, menegaskan bahawa pencari suaka Syria yang sedang menunggu keputusan permohonan mereka harus kekal mendapat hak yang sama seperti pencari suaka lain, terutamanya dari segi syarat penerimaan. Beliau memberi amaran bahawa pemulangan secara paksa akan melanggar prinsip non-refoulement.
(Non-refoulement ialah amalan tidak memaksa pelarian atau pencari suaka pulang ke negara asal kerana kemungkinan mereka menghadapi penyeksaan, perlakuan atau hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah, atau bahaya lain yang tidak dapat diselamatkan.)
Beberapa agensi hak asasi antarabangsa turut menyuarakan kebimbangan mereka.
Amnesty International menyeru supaya penggantungan suaka dihentikan serta-merta, dengan menekankan bahawa keselamatan pencari suaka tidak seharusnya dikorbankan demi kepentingan politik.
"Keselamatan dan hak mereka yang mencari suaka harus dijadikan tunjang dalam membuat sebarang keputusan berkaitan, bukan digadai bagi memenuhi politik dan sentimen anti-pelarian melampau yang sedang berleluasa di Eropah," kata Pengarah Pejabat Institusi Eropah agensi itu, Eve Geddie, dalam satu kenyataan.
Human Rights Watch juga memberi amaran terhadap pemulangan pelarian secara paksa. Pengarah Bahagian Hak Pelarian dan Migran mereka, Bill Frelick, menulis:
"Walaupun terdapat imej gembira pelarian Syria yang pulang ke tanah air, tiada kerajaan sepatutnya menghantar atau merancang untuk menghantar sesiapa pulang secara paksa.
"Setiap orang ada hak untuk pulang ke negara asal mereka, selamat atau tidak. Tetapi keputusan seorang pelarian untuk pulang tidak boleh dijadikan alasan untuk memaksa pelarian lain yang masih dalam ketakutan – seperti ramai pelarian Syria – untuk pulang ke negara mereka, lebih-lebih lagi dengan keadaan negara itu yang tidak stabil dan berbahaya."
-- BERNAMA