MENDAKAP WARISAN HUTAN

YANG SEMAKIN PUPUS

Oleh: WAN MUHAMMAD ASLAH WAN RAZALI
&
SAKINA MOHAMED
Pelukis digital: UMMUL SYUHAIDA OTHMAN
Juru Gambar: SHAHRIZAN JEFFRI AZIZ
Video: WAN MUHAMMAD ASLAH WAN RAZALI
& SHAHRIZAN JEFFRI AZIZ
Terjemahan: SAKINA MOHAMED

Ini adalah bahagian terakhir daripada tiga siri mengenai Orang Asli Temiar Gua Musang yang gigih berjuang untuk mempertahankan kebudayaan, kepercayaan serta kewujudan mereka yang diancam kegiatan pembalakan yang semakin berleluasa.

Okt 15,  2022 (Bernama) -- Bukan sahaja rumah musnah, banyak tanaman turut rosak apabila seekor gajah masuk dan mengamuk di Kampung Serber, Gua Musang, pada awal tahun 2017.

Turut terkesan dengan amukan ‘Pak Belalai’ atau ‘Orang Besar’ ini ialah Salim Tegiau, 45,yang kebetulan ketika kejadian berada di hospital untuk menjaga isterinya yang sakit selepas melahirkan anak bongsu mereka. Empat orang anaknya pula terselamat kerana ditinggalkan dengan datuk mereka di Kampung Bering, sebuah lagi perkampungan Orang Asli Temiar dalam daerah Gua Musang.

“Dekat rumah saya dulu tu saya banyak tanam pisang. Saya balik, habis semua pokok pisang rumah saya, dekat dalam pula dapur saya, semua habis musnah.

“Yang pelik satu sahaja gitar saya masih elok lagi. Itu pelik dan lucu, tapi saya fikir gajah itu mungkin terlanggar gitar saya lepas tu terdengar petikan dari gitar sebab itu dia lari,” kongsi Salim dengan Bernama.

Walaupun sudah bertahun kejadian itu berlaku, Salim masih diburu rasa risau dan cemas kejadian buruk itu mungkin berulang .

Selepas peristiwa gajah mengamuk di Kampung Serber, Salim membawa isteri dan anak-anaknya berpindah ke Kampung Bering (kampung isterinya). Mereka kini tinggal bersama bapa mentuanya untuk memulakan penghidupan baharu.

Malahan, cara kehidupan yang berpindah randah ini juga bertujuan untuk membolehkan persekitaran yang mereka diami kembali 'pulih dan subur kembali' selepas diterokai bagi tujuan bercucuk tanam.
Kampung Bering yang terletak sekitar 72 km dari Gua Musang dibina di atas permukaan tanah yang rata dikelilingi bukit batu kapur dan hutan dara luas saujana mata memandang.

Kisah gajah mengamuk di Kampung Serber juga pernah berlaku di kampung Orang Asli yang lain di Gua Musang termasuk Kampung Bering. Terdapat 27 buah keluarga Orang Asli Temiar tinggal di kampung ini.

Salim adalah dari suku kaum Orang Asli Temiar dan masyarakat Orang Asli ini tidak tinggal kekal di satu-satu tempat, sebaliknya mengamalkan kehidupan nomad yakni berpindah randah. Mereka percaya kepada semangat hutan, bumi dan sungai. Kepada elemen inilah mereka bergantung hidup.

Untuk kelangsungan hidup, mereka menanam padi bukit di samping tanaman ubi kayu, pisang dan pelbagai jenis tanaman lain. Semuanya setakat cukup keperluan dan sedikit untuk dijual sebagai pendapatan sampingan. Mereka juga berpegang kuat kepada kepercayaan nenek moyang untuk tidak mengambil lebih daripada apa yang diberikan oleh persekitaran yang mereka diami dan bercucuk tanam.

Penduduk Kampung Bering percaya kampung itu wujud di tapak yang sedia ada sejak seratus tahun lalu, tetapi hanya melihat haiwan liar masuk ke dalam perkampungan manusia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Perbezaan dari era zaman kecil saya pada tahun 80an dan waktu sekarang ialah kalau dulu dalam kampung ini kita nak nampak gajah lalu dekat kawasan kampung ini hanya seekor sahaja.

“Zaman sekarang ini, kita tak tahu dari mana datang gajah-gajah ini dalam ratusan telah lalu di kawasan kampung kami ini,” kata Salim.

Gajah dikatakan haiwan liar yang pemalu dan secara umumnya mengelakkan pertembungan dengan manusia, Namun peningkatan kegiatan pembalakan sejak tahun kebelakangan ini dipercayai merubah kelakuan haiwan berkenaan.

Rakaman udara menunjukkan ibu gajah dan anaknya merayau-rayau mencari makanan di lokasi gua batu kapur berhampiran Kampung Bering. Bila hujan, haiwan liar yang kehilangan habitatnya akan mencari perlindungan di dalam gua. (Hafizudin Nasrudin / KUASA)

Kemusnahan habitat serta sumber makanan juga dipercayai memaksa gajah-gajah ini mencari makanan berhampiran penempatan manusia. Ini sudah tentunya mencetuskan konflik antara manusia dan haiwan berkenaan yang semakin menjadi tajuk berita sejak kebelakangan ini.

Menurut Salim, kegiatan pembalakan bermula di daerah Gua Musang sekitar tahun 1990an tetapi kemusnahan yang berlaku tidaklah seteruk sekarang. Haiwan liar dan gajah masih boleh mencari banyak makanan kerana masih terdapat banyak tumbuhan liar seperti pokok pisang dan pokok ubi kayu.

Bagaimanapun, penebangan hutan untuk pembangunan dan projek tanaman menyebabkan banyak kawasan hutan semula jadi digondolkan di daerah Gua musang dan Hulu Kelantan.

Seorang lagi penduduk kampung, Along Roslan, 33, memberitahu Bernama, haiwan liar semakin terdesak untuk mencari makanan menyebabkan haiwan berkenaan masuk ke dalam kampung dan bersembunyi di dalam semak sebelum masuk ke dalam rumah manusia.

“Kita kalau biarkan semak samun ni naik nanti mula Orang Besar (gajah) akan tinggal dalam semak ini bagi memperhatikan orang kampung, kadang-kala berminggu-minggu, ” katanya.

Meskipun menjadi kepercayaan Orang Asli Temiar untuk tidak mencederakan haiwan, namun penduduk kampung itu semakin hilang sabar kerana bagi kebanyakan mereka, tanaman mereka adalah satu-satunya punca kelangsungan kehidupan mereka, terutama ketika berlakunya pandemik COVID-19.

“Kita  tahu gajah ini pun lapar dia datang nak makan sahaja. Tapi dalam keadaan sekarang kami pun perlu makan juga,” kata seorang lagi penduduk kampung, Angah Pandak, 62.

The Google Earth timelapse shows the extent of clear-felling in the Gua Musang district, around where Kampung Bering is located, from 1984 to 2020. (Click the play button to view timelapse)

Selang masa Google Earth menunjukkan kesan penebangan pokok di daerah Gua Musang (sekitar lokasi Kampung Bering) dari tahun 1984 hingga 2020. (Klik butang play untuk melihat selang masa).

"Kebun Mandiri Orang Asli" 

Kehidupan penduduk Kampung Bering semakin terhimpit sepanjang pandemik COVID-19 yang melanda negara dari 25 Januari 2020 hingga Mac 2022. Malaysia memasuki fasa peralihan endemik pada 1 April 2022.

Mereka bergantung kepada jualan hasil hutan seperti getah, kayu gaharu (Aquilaria malaccensis) dan buah-buahan. Pendapatan mereka tidaklah seberapa namun apabila Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama meliputi seluruh negara pada 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020, mereka tidak dapat masuk ke dalam hutan untuk mengumpul hasil bagi jualan.

Sekatan pergerakan turut menyekat perjalanan melibatkan pembeli biasa mereka - pemborong dari negeri lain. Dengan haiwan liar memusnahkan tanaman mereka, komuniti Orang Asli Temiar akhirnya berdepan dengan krisis makanan

Kesempitan hidup penduduk Kampung Bering akhirnya sampai kepada pengetahuan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), sebuah badan bukan kerajaan yang sentiasa mengambil berat akan kebajikan Orang Asli di rantau ini.

KUASA berganding bahu dengan Yayasan Hasanah dan Global Environment Facility untuk membantu penduduk kampung mengusahakan projek pertanian mandiri dipanggil #KebunMandiriOA (Kebun Mandiri Orang Asli).

Lima buah kampung yang dikenalpasti dalam keadaan paling kritikal dipilih untuk perlaksanaan projek ini termasuk Kampung Bering.

“Kami buat keputusan untuk menangani isu kekurangan makanan yang dihadapi Orang Asli pada waktu itu. Anak-anak mereka menanggung risiko kekurangan zat makanan kerana hanya makan apa yang ada ditanam di sekeliling rumah mereka - seperti pisang dan ubi kayu,”

- Pengurusi KUASA Hafizudin Nasarudin

Pengerusi KUASA Hafizudin Nasarudin berkata, sebelum pelancaran projek berkenaan, pihaknya mengadakan perbincangan dengan komuniti Orang Asli dalam lingkungan rantau ini bagi memastikan masalah utama yang mereka hadapi.

Tiga masalah utama yang diutarakan komuniti Orang Asli adalah kekurangan bekalan makanan, kehilangan pendapatan dan haiwan yang memasuki rumah mereka.

Menurut Hafizudin, 34, pasukannya perlu segera membuat pelan bagi menangani dua masalah pertama kerana ia amat penting untuk kelangsungan hidup penduduk kampung.

“Yang pertama kami buat adalah untuk menangani isu kekurangan makanan yang dihadapi Orang Asli pada waktu itu. Anak-anak mereka menanggung risiko kekurangan zat makanan kerana hanya makan apa yang ada ditanam di sekeliling rumah mereka - seperti pisang dan ubi kayu,” katanya.

Meskipun KUASA dapat menghantar makanan dibungkus dan makanan kering kepada komuniti Orang Asli yang terjejas, mereka tahu itu bukan penyelesaian yang mampan.

“Kami perlu mengajar mereka cara memastikan sumber makanan sentiasa ada dan memaksimumkan pengeluaran makanan, supaya mereka mampu terus menyediakan makanan untuk keluarga dan memperolehi sedikit pendapatan sampingan,” katanya.

Salah sebuah gua batu kapur di mana penduduk kampung mencari tahi burung laut (guano) untuk dijadikan baja. (BERNAMA)

AMALKAN TANAMAN ORGANIK

Hafizudin menjelaskan bahawa matlamat awal projek #KebunMandiriOA (Kebun Mandiri Orang Asli).adalah untuk menangani krisis makanan dengan mengajar penduduk Orang Asli cara memaksimumkan hasil ladang, dapat meraih pendapatan dan dalam masa yang sama dapat menjauhkan haiwan liar daripada mengganggu mereka,

Usaha ini menjadi mudah kerana Kampung Bering mempunyai sebidang tanah yang diwariskan oleh generasi terdahulu yang dijadikan ladang seluas kira-kira 0.4 hektar.

“Bagaimanapun ladang mereka terhad kepada beberapa jenis tanaman sahaja, jadi kami beri mereka benih untuk mereka tanam serta teknologi yang dapat memaksimumkan hasil.

“Kami gunakan pendekatan organik untuk projek pertanian ini. Kami ajar kaedah menanam secara organik serta cara mengawal serangga serta haiwan liar tanpa mengancam keselamatan haiwan berkenaan,” katanya.

Ini termasuk penggunaan baja asli untuk tanaman mereka seperti najis kelawar yang boleh dikumpulkan daripada gua berhampiran dan tidak menggunakan baja kimia.

Sebagai langkah perlindungan daripada haiwan liar dan tanpa membahayakan haiwan berkenaan, pagar setinggi kira-kira 1.8meter didirikan di sekeliling ladang. Lampu LED biru dipasang di sekeliling pagar berkenaan.

“Ada setengah binatang seperti gajah atau babi hutan sensitif apabila melihat lampu biru yang berkelip-kelip ini dan akan elak dari datang dekat. Jadi kami pasang lampu LED biru ini di sekeliling kebun. Pada waktu malam sahaja lampu itu akan berfungsi secara automatik.

“Kanvas hitam ini kami gunakan untuk menutup pandangan binatang liar dari melihat apa yang ada di dalam kebun ini,” kata Hafizudin.

Ladang ini terletak tidak jauh dari Kampung Bering dan dikendalikan oleh 47 penduduk kampung dan mempunyai sistem keselamatan berpagar. Bekalan air diperolehi daripada Sungai Kenong yang berhampiran  untuk memastikan keperluan air sentiasa ada bagi tanaman seperti peria, jagong, timun, kacang panjang dan sawi.

Projek yang dimulakan lebih setahun lalu ini berjaya menampung keperluan lima buah kampung Orang Asli di daerah Gua Musang ini.

“Kampung orang asli seperti Kampung Bering, antara kampung yang berjaya bukan sahaja menghasilkan makanan untuk seluruh warga kampung tapi juga dapat menjual hasil dari tanaman mereka kepada orang luar, ” katanya.

Kebun seluas kira-kira 0.4 hektar di Kampung Bering menghasilkan banyak tanaman – cukup untuk menampung keperluan seluruh penduduk kampung dan lebihan dijual untuk pendapatan sampingan. (Video: BERNAMA)

MENANAM UNTUK MASA DEPAN

Meskipun projek #KebunMandiriOA membantu menyelesaikan krisis makanan dalam lingkungan kampung  berkenaan, penduduknya masih bimbang dengan ancaman kegiatan pembalakan yang dibuat secara besar-besaran.

Apabila semakin banyak hutan setiap hari digondolkan, herba bernilai serta spesies pokok yang penting untuk kelangsungan hidup Orang Asli serta adat yang penting untuk dipelihara, semakin sukar diperolehi.

Salah seorang warga berusia Kampung Berin, Along Itam berkata, sebanyak 90 peratus daripada mata pencarian komuniti mereka adalah daripada hasil hutan.

Berusia 62 tahun, beliau mengambil inisiatif untuk menyimpan herba dan pokok daripada pupus dengan menanam benih dan mencambah tanaman berkenaan di satu kawasan kira-kira 200 meter jauh dari rumahnya.

Along Itam menunjukkan beberapa tumbuhan yang beliau berjsya beliau biakkan. (Image: BERNAMA)

“Dulu arwah atuk saya pesan, dia kata apabila masuk dalam hutan dan nampak pokok-pokok yang boleh buat ubat ini, ambil pokok itu dan tanam di kawasan kampung.  Katanya, takut esok hari nanti pokok dah susah nak jumpa kerana aktiviti pembalakan yang semakin giat dilakukan di daerah ini,” katanya.

Tanaman ini termasuk mangsian (Phyllanthus reticulatus), sejenis herba yang daunnya digunakan untuik mengubati sakit seperti sakit perut dan demam.

Salim bagaimanapun resah bagaimana penduduk Orang Asli dapat mengekalkan cara kehidupan mereka dan memastikan adat budaya mereka tidak pupus memandangkan semakin banyak hutan digondolkan.

Beliau mendakwa banyak pokok dan tanaman yang penting untuk upacara Orang Asli seperti Sewang dan pembinaan rumah, lenyap akibat pembalakan.

“Dulu rumah orang asli guna bumbung yang dibuat daripada daun pokok bertam (Eugeissona tristis). Sekarang pokok bertam ini dah susah nak cari, sudah nak dekat pupus kerana aktiviti pembalakan yang menghancurkan.

“Kebanyakan rumah di Kampung Bering ini pakai bumbung zink yang kami ambil dari bekas penempatan tukang-tukang balak, mereka tinggal sahaja zink ini, jadi kami pun ambil sebab mereka tak guna lagi.

“Nak buat macam mana? Banyak pokok dah pupus sekarang, habis semua, ” kata Salim dengan suara kecewa.

-- BERNAMA
Share This:
Ketua Projek & Editor: Sakina Mohamed

Penyelidik & penulis: Wan Muhammad Aslah Wan Razali & Sakina Mohamed

Pereka Grafik: Ummul Syuhaida Othman

Penyunting Video: Wan Muhammad Aslah Wan Razali

Rencana ini pertama kali diterbitkan di Bernama Garasi pada Oktober 15, 2022, sebagai projek susulan bengkel Masa Depan Kewartawanan, dengan sokongan kewangan daripada Centre for Governance  and Political Studies (Cent-GPS) menerusi Kedutaan Amerika Syarikat Kuala Lumpur. Kandungan rencana ini adalah tanggungjawab Bernama Garasi sepenuhnya dan tidak mencerminkan pandangan Cent-GPS atau Kedutaan Amerika Syarikat Kuala Lumpur.