Oleh: Sakina Mohamed & Shaza Al Muzayen
Suntingan & Terjemahan: Sakina Mohamed
Data Visualisasi: Shaza Al Muzayen
Pereka Grafik: Ummul Syuhaida Othman
Drone Footage: Hafzi Mohamed
KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Ramai sudah maklum pusat data sentiasa kehausan air.
Yang masih kurang jelas ialah bagaimana keperluan ini bakal memberi impak kepada bekalan air di kawasan itu. Ini khususnya bagi negeri seperti Selangor, yang margin rizab air di beberapa daerah sudah pun pada tahap genting.
Persoalan ini perlu segera diselesaikan negeri itu, memandangkan kini satu projek pusat data sedang dibangunkan di kawasan seluas 51 hektar di Elmina Business Park.
Pusat data milik Google ini dijangka siap awal 2026. Namun, maklumat tentang keperluan air dan tenaganya masih belum diketahui umum.
Menerusi nota penyelidikan RHB Investment Bank, Garasi Bernama mendapat tahu Fasa 1 projek itu melibatkan pusat data berkapasiti 100 MW, manakala Fasa 2 melibatkan pusat data berkapasiti antara 200-250 MW. Ini bermaksud kedua-dua pusat data tersebut merupakan pusat data hiperskala.
Purata penggunaan elektrik per kapita di Semenanjung Malaysia ialah kira-kira 4,800 kWh setahun. Populasi Kuantan pada 2025 ialah 559,000 orang.
Angka itu kedengaran cukup besar, namun tuntutan tahap tenaga sedemikian perlu untuk menggerakkan puluhan ribu server di pusat data hiperskala.
Dunia hari ini berpacukan proses kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan (cloud computing) dan keterhubungan masa nyata (real-time connectivity).
Data yang menggerakkan semua ini disimpan dalam berjuta-juta server di seluruh dunia. Pusat-pusat data ini beroperasi tanpa henti, kerana gangguan walau beberapa saat sahaja boleh menjejaskan perkhidmatan digital di seluruh dunia dan menyebabkan kerugian berbilion dolar.
Namun untuk memastikan tulang belakang maya ini terus hidup, ada harganya. Kemudahan ini menelan tenaga elektrik dan air pada kadar yang luar biasa.
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit. Suspendisse varius enim in eros elementum tristique. Duis cursus, mi quis viverra ornare, eros dolor interdum nulla, ut commodo diam libero vitae erat. Aenean faucibus nibh et justo cursus id rutrum lorem imperdiet. Nunc ut sem vitae risus tristique posuere.
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit. Suspendisse varius enim in eros elementum tristique. Duis cursus, mi quis viverra ornare, eros dolor interdum nulla, ut commodo diam libero vitae erat. Aenean faucibus nibh et justo cursus id rutrum lorem imperdiet. Nunc ut sem vitae risus tristique posuere.
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit. Suspendisse varius enim in eros elementum tristique. Duis cursus, mi quis viverra ornare, eros dolor interdum nulla, ut commodo diam libero vitae erat. Aenean faucibus nibh et justo cursus id rutrum lorem imperdiet. Nunc ut sem vitae risus tristique posuere.
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit. Suspendisse varius enim in eros elementum tristique. Duis cursus, mi quis viverra ornare, eros dolor interdum nulla, ut commodo diam libero vitae erat. Aenean faucibus nibh et justo cursus id rutrum lorem imperdiet. Nunc ut sem vitae risus tristique posuere.
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit. Suspendisse varius enim in eros elementum tristique. Duis cursus, mi quis viverra ornare, eros dolor interdum nulla, ut commodo diam libero vitae erat. Aenean faucibus nibh et justo cursus id rutrum lorem imperdiet. Nunc ut sem vitae risus tristique posuere.
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit. Suspendisse varius enim in eros elementum tristique. Duis cursus, mi quis viverra ornare, eros dolor interdum nulla, ut commodo diam libero vitae erat. Aenean faucibus nibh et justo cursus id rutrum lorem imperdiet. Nunc ut sem vitae risus tristique posuere.
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit. Suspendisse varius enim in eros elementum tristique. Duis cursus, mi quis viverra ornare, eros dolor interdum nulla, ut commodo diam libero vitae erat. Aenean faucibus nibh et justo cursus id rutrum lorem imperdiet. Nunc ut sem vitae risus tristique posuere.
Sebahagian besar tenaga yang digunakan pusat data adalah untuk penyejukan – satu proses kritikal yang intensif tenaga dan air.
Haba daripada server yang beroperasi 24 jam sehari menyebabkan suhu meningkat dengan ketara. Jika tidak diturunkan, ia boleh mengganggu operasi atau menghentikannya sama sekali.
Tidak hairanlah penyejukan menjadi antara beban tenaga terbesar pusat data, iaitu sekitar 45 peratus daripada keseluruhan penggunaan tenaga.
Untuk kekal stabil, pusat data biasanya menggunakan sistem penyejukan berasaskan air. Haba diserap daripada server sebelum dialir keluar dalam bentuk cecair atau wap.
Penggantian air yang hilang berlaku tanpa henti, sekaligus menyumbang kepada jumlah penggunaan air harian yang amat tinggi.
Bagi pusat data hiperskala dengan puluhan ribu atau jutaan unit server, keperluan ini sememangnya akan jauh lebih tinggi.
Ada kaedah lain tanpa air, seperti penyejukan berasaskan udara. Bagaimanapun, kebanyakan pusat data masih memilih penyejukan berasaskan air kerana ia lebih efisien.
“Penyejukan berasaskan air biasanya lebih cekap tenaga kerana ia boleh capai suhu lebih rendah,” kata C.K. Tang, Pengerusi Jawatankuasa Green Building Index Data Centre Tool Development.
“Bagi pusat data, kos tenaga adalah perbelanjaan utama. Jadi walaupun penjimatan dalam kecekapan tenaga itu dilihat kecil, dari segi penjimatan nilainya tetap besar.”
Namun, berapakah jumlah air yang diperlukan untuk penyejukan sebuah pusat data hiperskala seperti projek Google di Elmina Business Park?
Bagi mendapatkan angka itu, kami menghubungi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) untuk mengetahui sama ada pihak Google telah mengemukakan permohonan bekalan air bagi projek itu.
(Air Selangor adalah operator tunggal perkhidmatan air negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.)
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adam Saffian Ghazali, mengesahkan bahawa permohonan telah dibuat, namun enggan mendedahkan angkanya.
“Maklumat itu adalah sulit, tetapi apa yang boleh dikatakan ialah keperluan bekalan air harian mereka agak besar,” katanya kepada Bernama.
Namun, berapa sebenarnya jumlah kegunaan air harian yang dianggap “agak besar” ini?
Laporan 2025 oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mendedahkan bahawa di Amerika Syarikat, sebuah pusat data berkapasiti 100 MW lazimnya menggunakan sekitar 2 juta liter air sehari (MLD).
Ini bermakna keperluan bekalan air bagi dua pusat data hiperskala dengan jumlah kapasiti 350 MW boleh mencecah 7 MLD.
Namun, jika dihitung kegunaan setahun, kedua-dua pusat data Google yang bakal beroperasi di Selangor ini akan menelan kira-kira 2.56 bilion liter air.
Dalam garis panduan Sustainable Development of Data Centres yang dikeluarkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), operator pusat data digalakkan mengelak daripada membina di kawasan berisiko hadapi stres air. Ini boleh dilakukan dengan memilih tapak yang mempunyai Indeks Kekurangan Air (WSI) di bawah 0.8.
WSI membandingkan jumlah penggunaan air dengan jumlah ketersediaan air secara semula jadi. Bacaan melebihi 0.5 menandakan stres air yang tinggi – iaitu apabila permintaan air hampir atau sudah melebihi apa yang mampu ditampung alam sekitar secara lestari.
Bagi memahami dengan lebih jelas bagaimana perkembangan pesat industri pusat data boleh menjejaskan tahap stres air di Selangor, Bernama merujuk kepada Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).
NAHRIM menggunakan unjuran berdasarkan senario iklim global yang digariskan dalam Fourth Assessment Report of the Intergovernmental Panel on Climate Change untuk meramal perubahan tahap stres air dari masa ke masa.
Senario ini mengambil kira kadar berlainan pertumbuhan ekonomi, perubahan populasi dan tekanan alam sekitar – termasuk daripada industri intensif tenaga dan air seperti pusat data.
Berdasarkan unjuran ini, NAHRIM memetakan permintaan dan bekalan air masa depan di seluruh Semenanjung Malaysia bagi tahun 2015, 2020, 2030, 2040 dan 2050.
Memandangkan terdapat pelbagai jenis ketidakpastian dalam unjuran iklim, laporan Bernama merujuk kepada senario komposit NAHRIM yang dikenali sebagai AVG 14, iaitu unjuran pertengahan yang lahir daripada gabungan beberapa kemungkinan masa depan.
Menurut senario AVG 14, beberapa daerah di Selangor sudah pun dalam keadaan stres air yang serius. Keadaan ini dijangka kekal hingga 2050.
Antara yang paling terkesan ialah Gombak – tapak pusat data hiperskala Google yang sedang dibangunkan. Unjuran WSI di sini kekal ekstrem: 0.99 menjelang 2030 dan 0.96 pada 2040 serta 2050 – jauh mengatasi paras 0.8 yang ditetapkan MITI.
Persoalannya: dengan tekanan setinggi ini, mampukah Selangor menampung keperluan pusat data hiperskala tanpa mengorbankan keperluan awam dan industri lain?
Air Selangor berpendapat ia mampu.
“Pada masa ini, kami mengendalikan 34 loji rawatan dengan kapasiti gabungan 6,300 MLD, dan penggunaan semasa sekitar 5,300 MLD,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Adam Saffian. “Rizab 1,000 MLD ini dianggap memadai untuk memenuhi permintaan semasa pusat data.”
Namun, kebergantungan kepada rizab agak berisiko. Ini kerana ia sebenarnya bertujuan menampung bekalan air ketika senario kecemasan seperti penutupan loji secara tiba-tiba atau kegagalan paip utama.
Malaysia setakat ini menempatkan 108 tapak pusat data, termasuk yang beroperasi, sedang dibina atau masih dirancang. Daripada jumlah itu, 50 terletak di Selangor.
Keperluan air kesemua pusat data itu dijangka sekitar 250 MLD, kata Adam Saffian. Anggaran itu turut mengambil kira keperluan fasiliti Google yang sedang dibina.
“Matlamatnya ialah untuk meningkatkan margin rizab air negeri kepada 20 peratus menjelang 2030 bagi memenuhi permintaan awam dan industri, termasuk pusat data,” katanya.
Data Air Selangor menunjukkan margin rizab air negeri telah mencatatkan trend peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2018, margin itu hanya 5.87 peratus. Menjelang Disember 2024, ia meningkat kepada 18.6 peratus, hasil kapasiti rawatan yang ditambah dan perancangan bekalan air yang lebih tersusun di seluruh negeri.
Pada Januari 2025, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu sidang media bahawa pusat data lazimnya memerlukan air yang lebih tulen berbanding air minuman biasa.
Perkara itu disahkan oleh Adam Saffian, yang menjelaskan bahawa keberkesanan dan kebolehpercayaan sistem penyejukan pusat data amat bergantung pada kualiti bekalan airnya.
“Untuk memastikan prestasi optimum, air yang digunakan mesti menepati parameter tertentu, iaitu kandungan mineral rendah bagi mengelakkan kerak, kewujudan mikrob pada tahap minimum untuk mencegah biofouling, serta kestabilan kimia bagi melindungi peralatan daripada kakisan,” katanya.
Namun begitu, jenis bekalan air yang dimohon pusat data hiperskala Google untuk operasi mereka ialah air boleh diminum (potable water).
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyuarakan kebimbangan terhadap keperluan ini.
“Air boleh diminum sepatutnya diutamakan untuk kegunaan manusia.
“Apabila sebahagian besar daripadanya diperuntukkan bagi keperluan industri seperti pusat data, bekalan bagi keperluan awam berisiko terjejas, terutamanya di kawasan yang permintaannya sudah tinggi,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman kepada Bernama.
Seorang penduduk yang tinggal berhampiran tapak projek Google, Mohd Faris Mohd Razali, turut melahirkan kebimbangan serupa.
“Saya tahu pusat data memerlukan jumlah air yang besar untuk sistem penyejukannya.
“Berdasarkan pengalaman, Selangor kerap mengalami gangguan bekalan air. Saya khuatir keperluan projek mega ini akan diutamakan, mungkin kerana mereka telah dijanjikan bekalan air dan elektrik tanpa gangguan,” katanya yang tinggal di kejiranan Elmina 4 & 5.
Kerisauan Mohd Faris berasas. Rekod Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (kini dikenali sebagai Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam) menunjukkan antara 2014 hingga 2017, Selangor mencatatkan jumlah gangguan bekalan air tidak berjadual tertinggi di negara ini.
Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 558,188 gangguan tidak berjadual direkodkan di seluruh Malaysia, dengan Selangor sahaja menyumbang 265,951 kes.
Menyentuh isu gangguan bekalan air lampau, Ahmad Faizal berkata pencemaran daripada kilang haram di sepanjang sungai menjadi punca utama yang memaksa penutupan loji rawatan. Turut menyumbang kepada permasalahan itu ialah rangkaian paip usang yang kini sedang dalam proses penggantian secara berperingkat.
Walaupun pindaan kepada Seksyen 121 Akta 655 menjadikan perbuatan mencemari sumber air sebagai kesalahan jenayah, kebimbangan utama kekal: adakah keperluan pusat data akan mengatasi kepentingan awam?
Ahmad Faizal mengakui manfaat ekonomi yang dibawa oleh pusat data dalam menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi hab digital serantau.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pengendali pusat data juga perlu meneroka teknologi penyejukan alternatif bagi mengurangkan kebergantungan terhadap air terawat.
“Mungkin mereka boleh laksanakan sistem kitaran tertutup (closed-loop cooling system) atau kaedah penyejukan berasaskan udara.
“SPAN juga akan mewajibkan industri berpermintaan tinggi seperti pusat data untuk mengutamakan penggunaan sumber air bukan untuk diminum sejauh mungkin, termasuk efluen terawat daripada loji rawatan kumbahan atau air hujan yang ditadah,” katanya.
SPAN kini sedang merangka dasar dan garis panduan yang bertujuan mengurangkan kebergantungan pusat data terhadap air boleh diminum.
“Dasar dan garis panduan yang bakal diperkenalkan ini akan menjadi rujukan dalam menilai serta meluluskan projek pusat data oleh pengendali perkhidmatan air,” kata Ahmad Faizal.
Beliau menjelaskan bahawa SPAN tidak meluluskan secara langsung keperluan air bagi pusat data. Sebaliknya, sebarang pembangunan yang memerlukan air terawat perlu mendapatkan kelulusan daripada pengendali perkhidmatan air negeri, yang telah diberi kuasa oleh SPAN untuk bertindak sebagai agensi pensijilan.
“Jadi, jika projek itu telah diluluskan Air Selangor, maknanya bekalan air mencukupi. Mereka tidak akan meluluskan sembarangan,” tegasnya.
Air Selangor mengesahkan bahawa pihaknya telah merangka pelan bagi menyokong peningkatan permintaan air yang berpunca daripada pertumbuhan pesat industri pusat data di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif, Adam Saffian, berkata loji rawatan air (LRA) utama, kompak serta loji rawatan air boleh diminum akan dibangunkan di lokasi strategik bagi meningkatkan kecekapan agihan, selain berfungsi sebagai sokongan semasa kerja penyelenggaraan atau kecemasan.
Air Selangor juga sedang meneliti sumber bekalan air lain buat sementara waktu, antaranya:
Titik bekalan sementara yang dikenal pasti oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), termasuk kawasan tadahan bukan grid dan sumber air mentah.
Sumber alternatif dan air kitar semula melalui kerjasama dengan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), yang akan dilaksanakan oleh Central Water Reclamation Sdn Bhd (Central Water).
Pada masa ini, Central Water menghasilkan 4 juta liter air terawat tidak boleh diminum setiap hari. Menurut Adam Saffian, kapasiti loji tersebut akan ditingkatkan kepada 7.5 MLD khusus untuk kegunaan pusat data.
“Air Selangor juga menyokong Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) negeri, yang menggalakkan penggunaan air secara mampan melalui kitar semula dan guna semula, terutamanya dalam industri seperti pusat data,” katanya.
ZDP merupakan peraturan negeri yang dikuatkuasakan LUAS bagi mendorong industri mengitar dan menggunakan semula air buangan. Ini bagi mengurangkan pelepasan efluen ke sungai dan longkang.
Bagi pelepasan yang tidak dapat dielakkan, pemohon perlu mendapatkan lesen dan akan dikenakan bayaran di bawah prinsip ‘Polluter Pays’ (pencemar membayar) bagi setiap pelepasan air atau efluen.
Diwartakan pada 20 Jun 2024, ZDP menggantikan peraturan pelepasan negeri tahun 2012.
Menjawab kebimbangan tentang kebergantungan pusat data kepada air terawat yang boleh diminum, Adam Saffian berkata Air Selangor mengiktiraf keperluan teknikal tersebut tetapi menyokong penggunaan air kumbahan terawat semula. Apabila diproses mengikut piawaian industri, sumber ini sesuai untuk kegunaan bukan minuman seperti penyejukan, lebih-lebih lagi jika pusat data terletak berhampiran loji rawatan air sisa.
“Pendekatan ini selari dengan kecekapan operasi serta matlamat kelestarian,” katanya. “Walau bagaimanapun, pemilihan sumber air yang sesuai bergantung kepada keseimbangan antara keperluan teknikal, pertimbangan alam sekitar, dan ketersediaan infrastruktur sokongan.”
Bernama turut menghubungi Google bagi mendapatkan komen. Walaupun kebanyakan soalan yang diajukan tidak dijawab, syarikat gergasi itu menyenaraikan beberapa usaha yang diambil bagi memastikan pusat datanya tidak membebankan sumber air setempat.
Ketua Tenaga Bersih dan Kuasa bagi Google Asia-Pasifik, Giorgio Fortunato dalam satu jawapan melalui e-mel berkata syarikat itu menilai pilihan penyejukan setiap pusat data berdasarkan keadaan setempat. Ia menggunakan apa yang digelar sebagai “metodologi pelbagai dimensi.”
“Google menggunakan kerangka risiko air pusat data, iaitu satu alat berpandukan data yang kami gunakan di seluruh dunia untuk menilai risiko khusus berkaitan kekurangan dan penyusutan air di lembangan sungai tempat kami beroperasi. Kerangka ini membimbing pilihan teknologi yang bakal digunakan sebelum pembinaan dimulakan.
“Kami tidak menggunakan pendekatan seragam. Sebaliknya, kami menggunakan data untuk memahami konteks alam sekitar setempat,” katanya.
Apabila penggunaan air diperlukan, tambahnya, Google akan meneliti alternatif kepada air tawar seperti air kumbahan, air sisa industri atau air laut bagi mengurangkan beban permintaan tempatan.
“Kami menggunakan air terawat semula atau air tidak boleh diminum di lebih 25 peratus kampus pusat data kami.”
Sejak tahun 2021, gergasi teknologi seperti Google telah menyalurkan lebih RM144 bilion ke Malaysia bagi merancakkan pertumbuhan industri pusat data.
Manfaat ekonominya tidak dapat dinafikan. Namun cabarannya ialah bagaimana Malaysia boleh menarik pelaburan besar ini tanpa menekan sumber yang menjadi tunjang kehidupan komuniti dan perniagaan tempatan.
Sebaiknya, garis panduan berkembang seiring dengan ledakan pusat data. Namun setakat ini garis panduan yang ada masih belum benar-benar menangani soal kelestarian sumber penting seperti tenaga dan air.
Permasalahan ini turut dikenal pasti oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selepas beberapa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan.
Isu-isu berkenaan dibangkitkan dalam garis panduan perancangan pusat data KPKT menerusi agensinya PLANMalaysia. Antaranya:
a)
Pemilihan lokasi yang sesuai untuk pembangunan pusat data, memandangkan ia melibatkan penggunaan tanah yang luas serta sumber tenaga dan air yang besar serta berterusan.
b)
Keperluan pihak berkuasa tempatan dan negeri mendapatkan garis panduan perancangan yang jelas untuk mengenal pasti tapak sesuai serta mengawal pembangunan pusat data. Sehingga kini, pembangunan pusat data masih belum dimasukkan dalam zon guna tanah dan klasifikasi guna tanah dalam rancangan pembangunan.
c)
Risiko penggunaan sumber tidak efisien jika pembangunan pusat data kurang terancang, selain penggunaan tenaga elektrik yang tinggi turut menyumbang kepada pelepasan karbon dioksida.
d)
Reka bentuk bangunan pusat data yang lazimnya besar, tanpa tingkap, dan dengan pelandskapan minimum juga berpotensi menjejaskan nilai estetika setempat. Ini memandangkan operasinya berterusan untuk jangka masa panjang.
Kesemua isu ini dijangka akan ditangani pada Oktober nanti, seiring dengan pelancaran kerangka kerja pusat data mampan.
Bagi penduduk Elmina Green 4 & 5, Mohd Faris, kemampanan pembangunan projek mega itu amatlah penting.
“Ini kediaman kami. Ramai antara kami membeli rumah di sini dengan harapan dapat menetap lama, untuk habiskan usia persaraan di sini.
“Harapan saya, pihak kerajaan dan pemaju telah mengambil segala langkah perlu untuk memastikan kemampanan projek sebesar ini di kejiranan kami.”
– BERNAMA
This story is part of the Macaranga Environmental Reporting Mentorship supported by a grant from the Youth Environmental Living Labs (YELL) administered by Justice for Wildlife Malaysia.