Malaysia di

This is some text inside of a div block.
Laporan, Terjemahan & Visualisasi Data: Shaza Al Muzayen | Pereka Web: Ummul Syuhaida Othman | Editor: Sakina Mohamed

Pertama Sejak Pandemik

Sukan Olimpik tahun ini berlangsung di Paris, Perancis, mulai 26 Julai hingga 11 Ogos 2024. Olimpik Paris 2024 menyaksikan hampir 10,500 atlet bersaing dalam 329 acara merangkumi 32 sukan. Ini adalah Olimpik pertama yang diadakan selepas pandemik COVID-19.

Paris 2024 menyaksikan penambahan empat acara sukan. Sukan mendaki, luncur papan selaju, dan luncur air kembali setelah  diperkenalkan pertama kali di Sukan Olimpik Tokyo 2020. Breaking (juga dikenali sebagai Breakdancing) akan membuat penampilan sulungnya dalam Olimpik tahun ini.

Semasa bertanding, atlet Olimpik akan mewakili National Olympic Committees (NOC) dan bukannya negara masing-masing. NOC adalah organisasi kebangsaan yang diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk mengurus, menyokong, dan membangunkan sukan Olimpik di negara mereka. Atlet dari 206 NOC, bersama dengan Pasukan Olimpik Pelarian bersaing di Paris 2024.

Pertama kali diperkenalkan dalam Sukan Olimpik Rio 2016, Pasukan Olimpik Pelarian menurunkan pasukan terbesar mereka di Paris 2024, dengan 37 atlet berasal dari negara seperti Afghanistan, Iran, Sudan, dan Syria.

Disebabkan penglibatan mereka dalam perang Ukraine, Belarus dan Rusia dilarang daripada menyertai Paris 2024. Bagaimanapun, 32 atlet dari Belarus dan Rusia akan bersaing di Paris 2024 sebagai atlet neutral (Individual Neutral Athletes).

Walaupun terdapat bantahan keras terhadap kehadiran Israel di Paris 2024 atas genosid yang dilakukan negara itu ke atas Gaza, IOC tetap mengambil keputusan mengekalkan Israel dalam pertandingan itu.

Atlet Olimpik Malaysia

Malaysia menghantar 26 atlet (13 lelaki dan 13 wanita) untuk bersaing dalam 11 acara di Paris 2024. Ini merupakan penampilan Olimpik pertama bagi 15  (57.7 peratus) daripada mereka.

Atlet Gen Z (lahir antara 1997 dan 2012) membentuk sebahagian besar kontinjen Olimpik Malaysia kali ini. Daripada 26 atlet yang bersaing, 21 (80.8 peratus) adalah Gen Z. Pemain badminton beregu lelaki, Aaron Chia (27) merupakan yang paling berusia antara mereka
manakala atlet termuda adalah perenang Tan Ruoxin (18).

Atlet selebihnya (19.2 peratus) terdiri daripada golongan milenial (lahir antara 1981 dan 1996). Datuk Mohd Azizulhasni Awang, 36, merupakan atlet milenial tertua antara mereka.

Minat Terhadap
Paris 2024

Minat terhadap Sukan Olimpik tahun ini amat tinggi dalam kalangan negara Asia, terutamanya di China dan Asia Tenggara.

Ini menurut tinjauan syarikat penyelidikan pasaran Ipsos di 33 negara.

Di Malaysia, minat terhadap Sukan Olimpik Paris 2024 (64 peratus) jauh lebih tinggi daripada purata negara lain yang terlibat dalam dapatan tersebut.

Ini berbeza dengan tahap minat yang agak rendah ditunjukkan oleh tuan rumah Olimpik terdahulu iaitu Jepun dan tuan rumah Olimpik tahun ini, Perancis. Jepun, yang sebelum ini menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Tokyo 2020, mencatat tahap minat 40 peratus manakala Perancis mencatat tahap minat 46 peratus.

Tinjauan ini juga menunjukkan bahawa sebilangan besar rakyat Malaysia (88 peratus) menganggap Olimpik tahun ini sebagai inspirasi bagi generasi masa hadapan untuk menceburi bidang sukan. Kira-kira lapan daripada 10 rakyat Malaysia juga menganggap Paris 2024 akan mempunyai kesan positif dalam menyatukan negara dan juga dunia.

Apabila ditanya tentang pasukan kebangsaan, 88 peratus rakyat Malaysia memberi reaksi positif dengan mengatakan bahawa Team Malaysia sumber kebanggaan negara.

Dalam Fokus

Bola sepak adalah acara sukan yang paling dinanti-nantikan pada Sukan Olimpik tahun ini.

Responden global dalam tinjauan Olimpik yang sama oleh Ipsos menunjukkan 28 peratus minat terhadap sukan itu. Ini diikuti sukan olahraga (26 peratus), gimnastik (20 peratus), akuatik (19 peratus), dan bola tampar (17 peratus).

Walau bagaimanapun, scenario ini sedikit berbeza di Malaysia.

Badminton adalah sukan yang paling dinanti-nantikan rakyat Malaysia, dengan 58 peratus responden memilihnya berbanding bola sepak (35 peratus), olahraga (25 peratus), acara akuatik (18 peratus) dan acara berbasikal (17 peratus).

Indonesia mempunyai tahap minat tertinggi terhadap badminton (68 peratus), diikuti Malaysia di tempat kedua (58 peratus), dan Singapura di tempat ketiga (29 peratus).

Kecintaan rakyat Malaysia yang mendalam terhadap badminton bukanlah sesuatu yang aneh, memandangkan sejarah Malaysia dengan sukan ini.

Wakil Malaysia di kejuaraan badminton antarabangsa kebiasaannya bukan calang-calang pemain dan sering mengharumkan nama negara. Mereka telah menjuarai pelbagai kejohanan badminton termasuk di Piala Thomas & Piala Uber, Sukan Komanwel dan Kejohanan Badminton Terbuka All England.

Malaysia juga merupakan tempat kelahiran wira badminton seperti Datuk Lee Chong Wei, adik-beradik Sidek, dan Datuk Punch Gunalan.

Badminton juga merupakan sukan paling berprestasi Malaysia di Olimpik.

Malaysia memenangi pingat Olimpik pertama mereka di Sukan Olimpik Barcelona 1992 apabila adik-beradik Datuk Razif dan Datuk Seri Jalani Sidek memenangi gangsa dalam acara beregu lelaki badminton.

Sehingga kini, badminton menyumbang pingat terbanyak kepada jumlah pingat Olimpik Malaysia. Daripada 15 pingat Olimpik yang dimenangi oleh Malaysia, 11 adalah daripada badminton (enam pingat perak dan lima pingat gangsa).

Seramai 172 atlet mengambil bahagian dalam kejohanan badminton pada Sukan Olimpik kali ini. Mereka akan bertanding dalam acara perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita, serta beregu campuran.

Jumlah Pingat Dikumpul Negara SEA

Setakat 12 Ogos 2024, negara-negara Asia Tenggara (SEA) yang bertanding di Paris 2024 telah memenangi sebanyak 16 pingat. Filipina mendahului jumlah pingat keseluruhan dengan dua emas dan dua gangsa, diikuti dua emas dan satu gangsa dari Indonesia, satu emas, tiga perak dan dua gangsa dari Thailand, dua gangsa dari Malaysia, dan satu gangsa dari Singapura.

Dikemas kini pada 12 Ogos 2024