Kuih Raya Tradisional:

Yang Mana Masih Dicari Pada 2025?


Laporan & visualisasi data: Shaza Al Muzayen
Editor & terjemahan: Sakina Mohamed
Designer: Ummul Syuhaida Othman

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) – Rakyat Malaysia gemar berseloroh: “Kalau puasa sebulan, raya pun kena sebulan”. Namun itulah yang diamalkan di Malaysia, dengan aktiviti kunjung-mengunjung serta sambutan rumah terbuka lazimnya diadakan sepanjang Syawal sempena Hari Raya Aidilfitri.

Dan, bukan namanya Hari Raya tanpa kuih raya.

Carian Google berkaitan kuih raya sememangnya melonjak setiap kali menjelang Aidilfitri. Seminggu sebelum sambutan Aidilfitri tahun ini (23 hingga 29 Mac), carian untuk istilah “Kuih Raya” meningkat dengan mendadak berbanding minggu-minggu lain. Corak yang sama turut dilihat pada minggu sebelum Hari Raya pada 2023 dan 2024.

Namun, kebelakangan ini, kebanyakan kuih raya yang dijual, dihidang dan dihadiahkan semuanya seperti memenuhi selera moden. Biskut raya seperti “sea salt Belgian chocolate chip cookies” dan “cappuccino cream cookies” laku keras, walaupun dijual pada harga ‘kayangan’.

Bagaimana pula kisahnya dengan kuih raya tradisional? Mungkin ada yang bernasib baik dapat merasa kuih raya tradisional seperti biskut semperit dan kuih bangkit, yang dibuat ibu atau nenek sendiri. Namun, adakah lagi yang rindukan rasa kuih raya yang menggamit nostalgia zaman kanak-kanak dahulu?

Berdasarkan data Google Trends dari 1 Januari hingga 31 Mac 2025, Garasi Bernama meneliti lapan kuih raya tradisional Malaysia – Almond London, Batang Buruk, Biskut Makmur, Biskut Cornflakes, Kuih Semperit, Kuih Bangkit, Mama Carey dan Tart Nanas – untuk melihat yang mana masih menambat selera, yang mana semakin dilupakan, dan sejauh mana pengaruh media sosial mencorak cita rasa generasi baharu.

Yang Mana Masih Malar Segar Pada

2025

?

Data Google Trends dari Januari hingga Mac 2025 menunjukkan bahawa “Biskut Cornflakes” merupakan kuih raya tradisional paling banyak dicari. “Kuih Semperit” (kadang kala dieja “Kue Semprit”)  dan “Tart Nanas” pula berada di tangga kedua dan ketiga sebagai kuih raya tradisional paling popular.

“Kuih semperit dan tart nanas memang antara kuih raya kegemaran saya,” kata Fatiha Ramdzan, 35. “Kuih raya tradisional masih wajib ada di rumah saya. Versi moden selalunya orang beri sebagai hadiah, atau ibu mertua yang rajin buatkan.

”Sebaliknya, kuih raya tradisional lain seperti “Biskut Makmur”, “Almond London”, “Kuih Bangkit”, dan “Mama Carey” mencatatkan kadar carian yang paling rendah tahun ini.

Fatiha turut menyedari bahawa biskut makmur semakin jarang dihidang.

“Sekarang memang sudah jarang nampak, macam makin hilang,” katanya.

Tinjauan lebih dekat terhadap minat carian bagi setiap kuih raya tradisional menunjukkan bahawa bulan Mac mencatatkan jumlah carian tertinggi. Ini tidak mengejutkan, memandangkan ia bertepatan dengan bulan Ramadan dan persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri. Ramai mula mencari kuih raya dalam tempoh ini kerana jika dibeli terlalu awal, ia berkemungkinan menjadi sedikit lemau menjelang Aidilfitri.

Daripada lapan kuih raya tradisional yang dianalisis, “Biskut Cornflakes” mencatat minat carian yang paling konsisten, dengan jumlah carian yang meningkat secara beransur-ansur. Carian untuk kuih raya ini memuncak sehari sebelum Aidilfitri iaitu pada 29 Mac, dengan minat carian tertinggi iaitu 100.

(Minat carian merujuk tahap populariti sesuatu istilah carian dan bukan jumlahnya. Google menggunakan nilai 100 untuk menunjukkan kemuncak populariti istilah tersebut. Nilai 50 bermaksud istilah itu separuh popular.)

Dr Muhammad Rezza Zainal Abidin, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan dan Perkhidmatan Makanan, Universiti Putra Malaysia

“Senang dan cepat untuk dibuat” adalah antara faktor utama yang mempengaruhi trend setiap tahun, kata Dr Muhammad Rezza Zainal Abidin, Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan dan Perkhidmatan Makanan, Universiti Putra Malaysia.

“Praktikal atau tidak ialah faktor penting dalam pertimbangan. Dengan gaya hidup yang semakin sibuk, resipi kuih raya yang mudah, tidak perlu dibakar atau cepat disediakan semakin menjadi pilihan,” katanya kepada Bernama.

“Senang dan cepat untuk dibuat” adalah antara faktor utama yang mempengaruhi trend setiap tahun, kata Dr Muhammad Rezza Zainal Abidin, Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan dan Perkhidmatan Makanan, Universiti Putra Malaysia.“

Praktikal atau tidak ialah faktor penting dalam pertimbangan. Dengan gaya hidup yang semakin sibuk, resipi kuih raya yang mudah, tidak perlu dibakar atau cepat disediakan semakin menjadi pilihan,” katanya kepada Bernama.

Faktor lain seperti perubahan cita rasa pengguna, pengaruh media sosial, pengaruh antarabangsa dan elemen estetik turut memainkan peranan penting dalam membentuk trend kuih raya, tambah Muhammad Rezza, yang juga merupakan penulis bersama kertas kajian Modern Malaysian Cuisine: Identity, Culture, or Modern-day Fad.

Faktor lain seperti perubahan cita rasa pengguna, pengaruh media sosial, pengaruh antarabangsa dan elemen estetik turut memainkan peranan penting dalam membentuk trend kuih raya, tambah Muhammad Rezza, yang juga merupakan penulis bersama kertas kajian Modern Malaysian Cuisine: Identity, Culture, or Modern-day Fad.

Ciri ringkas dan praktikal inilah yang menggambarkan “Biskut Cornflakes” dengan sempurna. Ia mudah disediakan, diminati kanak-kanak, dan hanya memerlukan bahan asas yang minimal seperti mentega, madu dan cornflakes (emping jagung). Gabungan kesederhanaan, nilai nostalgia dan mudahnya mendapatkan bahan ini mungkin menjelaskan mengapa ia muncul sebagai kuih raya tradisional paling popular dalam carian pada tahun 2025.

Kos Main Peranan

Satu lagi faktor utama yang membentuk trend ialah kemampuan membeli. Semakin ramai yang membuat dan membeli kuih raya berdasarkan kenaikan kos bahan mentah.

Bagi pengasas Brown Butter Bakes, Nurulhuda Qamaruz Zaman, kenaikan harga bahan mentah memerlukan pelarasan yang teliti untuk mengekalkan kualiti dan kelangsungan perniagaan.

"Memang tidak dapat dielakkan. Biskut raya kami yang paling laris iaitu Korova Sable menggunakan coklat premium yang diimport, yang harganya telah meningkat dua kali ganda sejak 2022. Harga bahan lain seperti mentega dan kekacang juga naik dengan ketara," katanya.

Nurulhuda Qamaruz Zaman, Pengasas Brown Butter Bakes

Satu lagi faktor utama yang membentuk trend ialah kemampuan membeli. Semakin ramai yang membuat dan membeli kuih raya berdasarkan kenaikan kos bahan mentah.

Bagi pengasas Brown Butter Bakes, Nurulhuda Qamaruz Zaman, kenaikan harga bahan mentah memerlukan pelarasan yang teliti untuk mengekalkan kualiti dan kelangsungan perniagaan.

"Memang tidak dapat dielakkan. Biskut raya kami yang paling laris iaitu Korova Sable menggunakan coklat premium yang diimport, yang harganya telah meningkat dua kali ganda sejak 2022. Harga bahan lain seperti mentega dan kekacang juga naik dengan ketara," katanya.

"Kami tiada pilihan selain menaikkan harga untuk mengekalkan kualiti yang pelanggan harapkan serta memastikan perniagaan terus bertahan," tambah Nurulhuda, yang telah menjual biskut raya secara komersial sejak November 2017.

Perubahan ekonomi ini mungkin menjelaskan populariti kuih raya berasaskan cornflakes yang lebih murah, berbanding yang menggunakan kekacang dan coklat import yang bukan sahaja lebih mahal, malah lebih rumit disediakan.

Yang Paling Popular Mengikut Negeri

Populariti kuih raya juga berbeza mengikut negeri.  

Di Kelantan, “Almond London” dan “Mama Carey” menjuarai carta carian, seolah menggambarkan kecenderungan terhadap biskut yang kaya rasa dan lemak-lemak. Di Sabah, kuih tradisional “Batang Buruk” kekal sebagai pilihan utama, manakala “Biskut Makmur” mendahului senarai di Kedah, membuktikan bahawa tekstur rapuh dan rasa kekacang masih digemari.

Di Terengganu, ramai yang lebih minat kuih raya yang ringkas dan mudah disediakan seperti “Biskut Cornflakes”. Di utara pula, rakyat Perlis lebih suka keenakan biskut yang kaya mentega seperti “Kuih Semperit”, manakala di Melaka, “Kuih Bangkit” dan “Tart Nanas” menjadi kegemaran ramai.

Kuih Raya Tradisional Kian Pupus?

Dengan cita rasa yang semakin berubah dan kemunculan kuih raya fusion, ada yang mula tertanya-tanya sama ada kuih raya tradisional semakin dilupakan.

Namun bagi Muhammad Rezza, situasinya tidaklah begitu serius.

“Resipi kuih raya tradisional memang berdepan cabaran, tetapi saya tidak anggap ia bakal lenyap. Sebaliknya, ia sedang melalui proses evolusi,” katanya.

Beliau menambah bahawa penyesuaian moden sebenarnya boleh membantu mengekalkan kelangsungan kuih tradisional ini, asalkan keasliannya tidak hilang dalam proses tersebut.

Pandangan ini turut disokong data carian Google. ‘Carian breakout’ berkaitan lapan kuih raya yang dianalisis Bernama menunjukkan kemunculan variasi baharu seperti “Salted Caramel Cornflakes”, “Semperit Cheese”, “Bangkit Cheese” dan “Tart Cadbury”.

(‘Carian breakout’ merujuk kepada carian yang lebih popular berbanding yang lain dan mengalami peningkatan mendadak di Google.)

Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia bukan sekadar mencari kuih raya klasik, tetapi turut meneroka versi moden dan profil rasa yang lebih menonjol. Trend ini mungkin mencerminkan bukan sahaja cita rasa yang semakin terbuka terhadap rasa baharu, malah keinginan untuk mengolah semula rasa tradisi secara kreatif.

Namun begitu, permintaan terhadap kuih tradisional kekal kukuh. Bagi Nurulhuda, walaupun rangkaian kuih raya Brown Butter Bakes lebih tertumpu kepada perisa moden, beliau tetap menawarkan satu kegemaran klasik – kuih semperit.

“Semperit klasik memang ada peminatnya tersendiri. Ia diminati semua lapisan umur dan menjadi simbol ikonik Hari Raya, seperti juga ketupat.

“Keputusan untuk menjual semperit sangat berbaloi, kerana ramai pelanggan memberitahu bahawa semperit kami setanding dengan hasil tangan orang lama,” katanya.

Peranan Media Sosial dan Pempengaruh

Dunia digital kini menjadi ramuan utama dalam mencorakkan trend kuih raya.

Carian seperti “Almond London Che Nom”, “Resepi Biskut Makmur Che Nom” dan “Cornflakes Madu Che Nom” menunjukkan betapa besar pengaruh pempengaruh makanan tempatan seperti Che Nom terhadap pilihan pengguna Malaysia.

“Pempengaruh seperti Khairul Aming dan Che Nom bukan sekadar pencipta kandungan, mereka juga pencetus trend.

“Apabila mereka kongsikan sesuatu resipi kuih, ia bukan sekadar resipi. Ia menjadi satu pengalaman yang ingin ditiru beribu-ribu orang di dapur mereka sendiri,” kata Muhammad Rezza.

Bagi Nur Aina Alimin, 31, pengaruh media sosial bukan sahaja menentukan apa yang akan dimasak, malah apa yang bakal membangkitkan selera juga.

“Memang. Bukan kuih raya sahaja, apa-apa resipi makanan pun sebenarnya. Saya akan simpan dalam folder ‘saved’ di Instagram yang mungkin akan dirujuk kemudian hari, atau pun tidak,”  katanya.

Beliau mengakui pempengaruh tertentu sememangnya dapat mempengaruhi pilihannya lebih-lebih lagi jika mereka dianggap ikhlas.

“Saya follow mereka sebab mereka konsisten kongsi resipi yang terbukti menjadi,” katanya. “Lagi satu, video yang mereka kongsi sangat membantu.”

Dan Aina bukan sekadar menonton, dia turut bereksperimen. 

“Tahun ini saya cuba buat ‘cornflakes karamel’ yang viral, tapi saya tambah ‘twist’ sendiri. Saya masukkan badam, dan satu lagi versi dengan biji-bijian,” katanya.

Walaupun pempengaruh media sosial banyak membantu menghidupkan semula minat terhadap resipi tradisional, Muhammad Rezza mengingatkan bahawa risiko resipi asli dilupakan tetap ada.

“Ada pempengaruh mungkin membantu memelihara kerelevanan kuih raya tradisional dengan memodenkan resipi tersebut. Bayangkan kuih semperit dengan perisa matcha atau kuih kapit berintikan ‘biscoff’. Variasi kreatif ini menarik minat generasi muda dan menjadikan kuih raya tradisional kekal relevan.

“Tetapi pada masa sama, sesetengah kuih raya tradisional mungkin semakin dilupakan apabila adaptasi moden menjadi tumpuan. Perisa klasik seperti kuih bangkit dan halwa maskat mungkin sukar bersaing dengan pencuci mulut yang tular dan lebih menarik dari segi visual,” katanya.

Keseimbangan antara inovasi dan pemeliharaan tradisi ini menunjukkan betapa besarnya pengaruh pempengaruh digital dalam mencorak cita rasa dan tabiat pengguna sempena musim perayaan.

“Natijahnya, pempengaruh ini memainkan peranan penting. Mereka ibarat penjaga budaya makanan dalam dunia digital. 

“Sama ada dalam usaha mengekalkan warisan atau mendorong inovasi, mereka menjadikan juadah perayaan Malaysia lebih menarik, mudah diakses dan dihargai,” kata Muhammad Rezza.

-- BERNAMA

Mengenai Data
Data yang dikumpulkan dalam artikel ialah melalui Google Trends dan ianya tepat setakat 9 April 2025. Google Trends menyepadankan data carian untuk memudahkan perbandingan antara istilah. Keputusan carian disepadankan dengan waktu dan lokasi pertanyaan. Data Google Trends mencerminkan carian yang dilakukan di Google setiap hari, tetapi juga boleh mencerminkan aktiviti carian yang tidak teratur, seperti carian automatik atau pertanyaan yang mungkin berkaitan dengan percubaan untuk spam hasil carian Google.