Kekeliruan Yang
Mencetuskan Perpecahan

Ini bahagian kedua daripada tiga siri mengenai perjuangan masyarakat Orang Asli Temiar Gua Musang untuk mempertahankan kebudayaan, kepercayaan serta kewujudan mereka yang diancam kegiatan pembalakan yang semakin berleluasa.

Oleh: WAN MUHAMMAD ASLAH WAN RAZALI & SAKINA MOHAMED
Pereka Grafik: UMMUL SYUHAIDA OTHMAN
Juru Gambar: SHAHRIZAN JEFFRI AZIZ

Sept 22, 2022 (Bernama) -- Sikap rakus syarikat pembalak yang dibimbangi boleh mengancam kelangsungan hidup mereka, tidaklah menghairankan apabila penduduk Kampung Kaloi di Gua Musang bahu-membahu mempertahankan kawasan hutan di persekitaran mereka daripada dimusnahkan.

Salah seorang yang bersuara lantang ialah Jimi s/o Angah, 48, adik ipar  Along Busu, 75, Tok Halak Kampung Kaloi.

Jimi secara aktif memprotes tindakan perbadanan pembalakan yang berterusan menggondol kawasan hutan sejak beliau tinggal di Kampung Kuala Wok sekitar tahun 2010. Beliau memang antara orang asal Kampung Kaloi dan antara Orang Asli yang membuka Kampung Kaloi.

Salah satu cara memprotes beliau ialah dengan mengemukakan banyak memorandum kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta kerajaan negeri.

Antara isu yang dibangkitkan dalam memorandum berkenaan ialah bagaimana pegawai kerajaan meminggirkan pandangan orang tua kampung apabila membincangkan perkara yang melibatkan kampung mereka sendiri.

Beliau mendakwa pegawai kerajaan hanya mendengar apa yang dinyatakan oleh perwakilan Orang Asli yang dilantik oleh JAKOA atau berpihak kepada mereka dan itulah sebab mengapa memorandum yang dihantar, diabaikan.

Semua isu ini menjadi 'duri dalam daging’ dalam kalangan bekas penduduk Kampung Kuala Wok. Ada yang menyokong kerajaan serta inisiatif JAKOA, dan menganggap semuanya itu perlu dibuat demi pembangunan, sementara yang lain menyifatkan sebagai kemusnahan alam sekitar yang tiada galang ganti.

Hakikatnya, perpindahan ke Kaloi sebahagiannya kerana percanggahan pandangan. Seperti kata Jimi, “Kami ini terdiri daripada penduduk Orang Asli Kampung Kuala Wok yang ingin mempertahankan hak Orang Asli. Kita tidak bersetuju dengan kerja pembalakan di hutan kami ini, jadi kami ada hantar macam-macam surat bantahan.

“Namun begitu kami dilihat seolah-olah melawan pihak kerajaan kerana Kampung Kuala Wok di bawah pentadbiran pihak JAKOA. Jadi berlakulah perpecahan dalam kalangan penduduk Kampung Kuala Wok kerana tidak semua orang kampung bersependapat.

“Ada dalam kalangan Orang Asli memilih untuk tidak ingin melibatkan diri dalam perjuangan kami kerana takut tidak dapat bantuan daripada pihak kerajaan, jadi kami diusir keluar dari Kampung Kuala Wok. Jadi itulah sebab kami pindah ke Kampung Kaloi ini, ” jelasnya.  

Nenggiri adalah salah sebuah tanah hutan terbesar yang rakus ditebang untuk balak dan dijadikan ladang kelapa sawit. Kawasan seluas sekitar 2,224 ekar (900 hektar) atau kira-kira 900 buah stadium bolasepak ini terletak hanya 8km ke tenggara Kampung Kaloi. Gif di atas menunjukkan tangkapan gambar imej satelit Nenggiri, diambil jarak setahun dari Jun 2020 sehingga Jun 2022. Ia mendedahkan meskipun sewaktu pandemic COVID-19, kegiatan memotong pokok di Kawasan berkenaan masih diteruskan.

TIDAK BOLEH MENUAI HASIL HUTAN

Masyarakat Orang Asli dan hutan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Keluar masuk hutan adalah amalan mereka sejak zaman nenek moyang mereka lagi.

Namun menurut Jimi, amalan menuai hasil hutan seperti buah-buahan serta kayu-kayan untuk kehidupan harian dipantau ketat oleh Jabatan Perhutanan, sehingga penduduk Kampung Kaloi tidak dibenarkan membawa keluar apa-apa daripada hutan kerana ia milik kerajaan.

Beliau mendakwa bahawa kerajaan negeri menerusi JAKOA memperuntukkan tanah seluas kira-kira 81 hektar kepada setiap perkampungan Orang Asli untuk tujuan pertanian, bergantung kepada saiz kampung. Setiap keluarga di kampung berkenaan akan dibenarkan menerima sehingga 2.4 hektar tanah berhampiran kediaman mereka. Bagaimanapun, memandangkan Kampung Kaloi tidak diiktiraf, ia dikecualikan daripada mendapat keistimewaan ini.

Mustafa, anak lelaki Along berkata, kebanyakan bantuan JAKOA yang dikeluarkan oleh JAKOA hanya diberi kepada pusat pentadbiran kampung Orang Asli dalam setiap kawasan Orang Asli di satu-satu daerah.

“Kampung seperti Kampung Kaloi atau yang terletak di kawasan terpencil sering dikecualikan daripada menerima sebarang bantuan atau hak tanah untuk bercucuk tanam walaupun kampung itu diiktiraf atau tidak diiktiraf pihak berkuasa,” katanya.

Akta Perhutanan Negara 1984 melarang penuaian sebagai hasil hutan dari hutan simpan kekal atau tanah kerajaan negeri kecuali diberi lesen atau permit. Hanya kerajaan negeri atau pihak berkuasa mempunyai kuasa memberi kebenaran untuk menuai hasil hutan.

Mustafa kemudiannya merujuk kepada Akta Orang Asli 1954, yang kandungannya bertentangan dengan Akta Perhutanan Negara 1984. Beliau mendakwa pihak berkuasa negeri hanya menggunakan undang-undang yang berpihak kepada mereka.

“Sebagai penghuni di dalam hutan, Orang Asli mempunyai hak untuk mengaut sumber dari hutan secara bebas tanpa perlu memohon lesen atau permit,” katanya, sambil merujuk kepada peruntukan dalam Akta berkenaan.

Sebuah kajian mendedahkan bahawa kes-kes mahkamah terdahulu membuat penghakiman menyokong prinsip common law berhubung hak penghuni yang ada berdasarkan adat mereka, yang mengiktiraf penggunaan serta menduduki tanah oleh Orang Asli.

Bernama menghubungi ibu pejabat JAKOA untuk mendapatkan sesi temu bual bagi membincangkan perkara ini. Kami berhasrat untuk mendapatkan maklumat sama ada kampung Orang Asli seperti Kampung Kaloi lambat-laun akan diiktiraf oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun, permintaan kami ditolak. Kami diberitahu pihak berkenaan tidak akan melayan temu bual seperti itu kerana “isu penebangan hutan, bukan isu JAKOA”.

Tambahan, mereka menambah, mereka bukanlah pihak yang layak bercakap mengenai pembalakan di atas tanah Orang Asli kerana “ia isu sensitif”.

Bernama kemudiannya dapat menghubungi seorang petugas JAKOA, Farid (bukan nama sebenar) yang bersedia bercakap dengan kami dengan syarat nama sebenar beliau tidak didedahkan.

Farid bekerja dengan JAKOA lebih 10 tahun dan bertanggungjawab terhadap isu kebajikan Orang Asli di seluruh Malaysia, terutamanya di negeri Perak.

Beliau mendedahkan, tidak ada undang-undang negeri yang membenarkan Orang Asli seperti yang di Kampung Kaloi untuk membuka kampung di kawasan yang mereka anggap tanah leluhur, kecuali tanah berkenaan diiktiraf oleh kerajaan negeri.

Beliau menambah, Orang Asli perlu tinggal di tanah yang diiktiraf oleh pihak berkuasa, jika tidak, mereka akan dianggap sebagai menceroboh.

“Isu berkenaan Orang Asli ni berlarutan lama di seluruh negara bukan di Kelantan sahaja. Kami tahu kebanyakan Orang Asli adalah orang susah, jadi kami sedang melakukan sebaiknya untuk mengagihkan bantuan kepada kampung Orang Asli yang diiktiraf oleh kerajaan negeri,” jelas Farid.

Menurut beliau, peruntukan bantuan kepada setiap kampung Orang Asli mengambil kira saiz serta jumlah penduduk kampung.

Bagaimanapun, JAKOA tidak akan dapat membantu kampung yang menceroboh di atas tanah kerajaan.

Di daerah Gua Musang terdapat 10 wilayah Orang Asli yang diketahui iaitu Pasik, Angkek, Bihai, Tohai, Simpor, Angkek, Gob, Depak, Pulat dan Wias. Wilayah ini didiami pelbagai suku kaum/keluarga Orang Asli Temiar tetapi malangnya pihak berkuasa secara rasminya tidak mengiktiraf semua wilayah ini.

“Masalah yang berlaku sekarang ini, ada tanah di mana terdapat kampung Orang Asli ini, dibina di atas tanah kepunyaan kerajaan negeri dan ada setengah yang membuka kampung sesuka hati tanpa sebarang dokumentasi atau permit daripada pihak berkuasa,” katanya.

Menurut beliau, kampung baharu itu menimbulkan masalah kepada JAKOA, terutama dalam menentukan saiz penduduk Orang Asli di dalam daerah berkenaan.

“Jadi pihak kami susah untuk mengenal pasti peruntukan sebenar yang diperlukan untuk kampung Orang Asli yang baru dibuka ini kerana penduduknya boleh berkurang atau bertambah dalam masa yang singkat,” katanya.

Farid mendakwa kebanyakan kampung Orang Asli terletak di dalam hutan simpan milik kerajaan negeri dan atas budi bicara kerajaan negeri mereka dibenarkan tinggal di situ.

Beliau juga percaya konfrontasi yang tercetus melibatkan Orang Asli yang mahu mempertahankan tanah mereka daripada pembalakan kerana mereka dimanipulasi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang didakwanya mempunyai agenda politik.

“Ada juga pihak di luar sana yang gemar membuat provokasi daripada isu berkenaan hak Orang Asli untuk menimbulkan kemarahan dari mereka. Saya sendiri pernah lihat di Perak apabila Orang Asli membuat sekatan bagi menghalang laluan  jentera balak daripada memasuki hutan.

“Kami cuba berunding dengan Orang Asli yang bertanggungjawab membuat sekatan berkenaan, dan apa yang kita dapat tahu ialah mereka ini bukan dari kampung Orang Asli yang berdekatan kawasan itu, bahkan mereka hanya datang mewakili NGO bagi membuat kekecohan, ” katanya.

“KAMI PUN JUGA MANUSIA”

Kami minta pandangan Along sama ada penduduk kampung bersetuju dengan inisiatif bersama JAKOA dan FELDA untuk memajukan tanah nenek moyang mereka.

“Kami setuju. Apa yang kita tak setuju ialah program yang mereka buat dulu yang kononnya nak menolong orang asli tapi sebenarnya untuk dia sahaja macam Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Orang Asli dulu tu.

“Kalau mereka ikhlas betul nak tolong Orang Asli, bagi tanah untuk buka kebun tentu kami setuju. Tapi banyak program yang dijanjikan untuk pembangunan Orang Asli hanya sekadar janji sahaja,” dakwa Along.

Beliau turut melahirkan kekecewaan mengenai denda yang dikenakan ke atas mereka, semata-mata kerana mereka mematuhi adat serta kepercayaan mereka.

“Orang Asli pun nak hidup juga, kami pun ada hak sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

Kampung Kaloi terletak di dalam wilayah Wias yang seluas 200 km persegi. Kawasan ini sebelumnya adalah hutan dara dengan biodiversity yang unik yang dikatakan berusia lebih sejuta tahun.
Bukti pembalakan jelas dapat dilihat di bukit berhampiran Kampung Kaloi. Kegiatan ini menyebabkan banyak tanah hutan yang menjadi nadi kehidupan penduduk kampung dimusnahkan.
Gambar tanah yang pokoknya ditebang di Nenggiri ini diambil oleh dron. Tanah ini adalah salah sebuah ladang kelapa sawit yang terbesar di Nenggiri dengan keluasan sekitar 900 hektar, terletak hanya 8km ke tenggara Kampung Kaloi.
Jengkaut di tapak pembalakan di Halor, kira-kira 4km ke barat daya Kampung Kaloi.
Share This:
Ketua Projek & Editor: Sakina Mohamed

Penyelidik & Penulis: Wan Muhammad Aslah Wan Razali & Sakina Mohamed

Pereka Grafik: Ummul Syuhaida Othman

Penyunting Video: Wan Muhammad Aslah Wan Razali

Rencana ini pertama kali diterbitkan di Bernama Garasi pada September 24, 2022, sebagai projek susulan bengkel Masa Depan Kewartawanan, dengan sokongan kewangan daripada Centre for Governance  and Political Studies (Cent-GPS) menerusi Kedutaan Amerika Syarikat Kuala Lumpur. Kandungan rencana ini adalah tanggungjawab Bernama Garasi sepenuhnya dan tidak mencerminkan pandangan Cent-GPS atau Kedutaan Amerika Syarikat Kuala Lumpur.