Keanggotaan BRICS Semakin Berkembang: Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu
Penulis & Data Visualisasi: Shaza Al Muzayen | Editor: Sakina Mohamed | Pereka Web: Ummul Syuhaida Othman
Tarikh dikemaskini: 9 Jan 2025
KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- BRICS Plus kini melangkah ke era baharu pertumbuhan pesat, mengukuhkan peranannya dalam membentuk semula landskap ekonomi global. Dengan semakin banyak negara menyertai blok ini, BRICS terus memperluas pengaruhnya dalam tadbir urus global dan kerjasama ekonomi.
Malaysia, yang telah mengemukakan permohonan untuk menyertai blok ini pada 28 Julai tahun ini, menyambut baik status perkongsiannya dalam pada negara ini bersiap sedia untuk mempengerusikan ASEAN pada tahun 2025.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam Kenyataan Malaysia di Sidang Kemuncak BRICS Outreach/BRICS Plus di Kazan, Russia berkata bahawa beliau melihat “sinergi yang besar” antara ASEAN dan BRICS, dan menyifatkan permohonan menyertai blok itu sebagai usaha membina perkongsian ekonomi dan memperkukuhkan hubungan perdagangan.
“Kami berhasrat memperlihatkan kepimpinan serantau negara dalam semikonduktor, peralihan tenaga dan kewangan Islam.,” katanya ketika sidang itu pada 24 Okt.
Asal-usul BRICS
Blok yang pada mulanya dikenali sebagai BRIC ini ditubuhkan selepas Brazil, Rusia, India, dan China menyuarakan minat memperluas kerjasama multilateral.
Perbincangan untuk membentuk blok ini bermula pada tahun 2006 atas inisiatif Presiden Rusia Vladimir Putin. Mesyuarat Menteri BRIC yang pertama diadakan di sela-sela Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York dan dihadiri Menteri Luar Brazil, Rusia, dan China, serta Menteri Pertahanan India.
Blok ini secara rasmi dibentuk pada tahun 2009 dengan keanggotaan Brazil, Rusia, India, dan China. Akronim keempat-empat negara ini dijadikan nama blok itu, namun panggilan BRIC itu telah digunakan sejak 2001 lagi oleh bekas Ketua Ekonomi Goldman Sachs, Jim O’Neill.
O’Neill dalam satu laporan pada 2001 telah membuat unjuran bahawa empat negara (Brazil, Rusia, India, dan China) berpotensi menguasai ekonomi global menjelang tahun 2050, sekiranya pertumbuhan mereka berterusan.
Pada tahun 2010, BRIC menjadi BRICS apabila Afrika Selatan menyertai blok ini.
Pertambahan Anggota
Pada awalnya, BRICS merupakan sebuah perikatan tidak formal yang terdiri daripada negara-negara dengan ekonomi yang sedang pesat membangun. Namun sejak kebelakangan ini, BRICS telah mula mengembangkan keanggotaannya ke lebih banyak negara bagi menguatkan usaha -kerjasama ekonomi dan politik.
Pada Sidang Kemuncak BRICS ke-15 di Johannesburg, Afrika Selatan tahun lepas, blok ini mengumumkan bahawa mereka telah menjemput Argentina, Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menjadi ahli. Kesemua negara kecuali Argentina dan Arab Saudi menerima jemputan dan menjadi ahli penuh pada 1 Jan, 2024.
Argentina menolak keahlian BRICS selepas Javier Milei dipilih sebagai Presiden, manakala Arab Saudi masih belum secara rasmi menerima jemputan tersebut.
BRICS baru-baru ini menambah 13 negara rakan pada 2024 - Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Malaysia, Nigeria, Thailand, Türkiye, Uganda, Uzbekistan, dan Vietnam.
Pada 6 Jan 2025, negara rakan Indonesia secara rasmi menyertai BRICS sebagai ahli penuh. Ini menjadikan Indonesia negara Asia Tenggara pertama yang menyertai blok tersebut dan ahli ke-10 BRICS.
Dengan keanggotaan yang semakin berkembang, blok ini juga sering disebut sebagai BRICS+ atau BRICS Plus. Tiada proses permohonan rasmi untuk menyertai BRICS, tetapi keanggotaan baharu perlu dipersetujui sebulat suara oleh anggota sedia ada.
Inisiatif BRICS
Sejak penubuhan lagi, BRICS telah mendapat sokongan penuh daripada para anggotanya bagi pelbagai inisiatif yang dijalankan di bawah blok ini.
Antara inisiatif awal utama blok itu ialah penubuhan Bank Pembangunan Baru (NDB).
Ditubuhkan pada tahun 2015, matlamat utama NDB adalah untuk mengumpul sumber bagi projek-projek infrastruktur dan pembangunan mampan dalam kalangan negara BRICS dan pasaran memuncul serta negara-negara membangun.
Ia juga dianggap oleh sesetengah pihak sebagai alternatif kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Sehingga kini, NDB telah meluluskan 96 projek bernilai US$32.8 bilion untuk anggotanya.
Pada Sidang Kemuncak BRICS 2024 baru-baru ini, anggota BRICS mengakui kepentingan NDB dan berikrar untuk terus menyokong pembangunan dan peningkatan NDB dalam Deklarasi Kazan.
(Deklarasi Kazan ialah dokumen 32 muka surat yang menggariskan bidang utama perkongsian blok ini dan pendirian bersama mereka terhadap pelbagai isu global.)
Satu lagi inisiatif yang ditubuhkan BRICS pada tahun 2015 ialah pengaturan rizab luar jangka (CRA). Ia diwujudkan sebagai jaring keselamatan kewangan untuk menangani tekanan imbangan pembayaran jangka pendek, selain memberi sokongan bersama dan memperkukuhkan kestabilan kewangan. Sokongan untuk inisiatif CRA turut disahkan dalam deklarasi tersebut.
Rusia mengumumkan pada Sidang Kemuncak BRICS 2024 bahawa ia akan menerajui usaha mewujudkan platform pertukaran bijirin antarabangsa (international grain exchange) baharu dalam BRICS, yang dikenali sebagai Bursa Bijirin BRICS. Ini akan disusuli pembangunan platform serupa bagi sektor pertanian lain.
Inisiatif lain seperti sistem pembayaran BRICS atau BRICS Pay (sebagai alternatif kepada sistem SWIFT) dan mata wang bersama BRICS turut disebut sebelum ini, tetapi tiada rancangan tindakan khusus yang telah dikemukakan setakat ini.
Deklarasi di sidang kemuncak baru-baru ini menyeru agar kerjasama kewangan ditingkatkan dalam kalangan anggota dan rakan BRICS. Ini termasuk dalam penggunaan instrumen pembayaran rentas sempadan yang lebih komprehensif, penggunaan mata wang negara dalam transaksi kewangan antara negara BRICS dan rakan dagang mereka, serta sokongan untuk memperkukuh rangkaian perbankan koresponden dalam BRICS.
Pengaruh BRICS
Skala dan pengaruh ekonomi BRICS sering dibandingkan dengan G7 (Kumpulan 7). Ditubuhkan pada tahun 1975, G7 adalah kumpulan negara perindustrian utama (Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat) yang bermesyuarat setiap tahun untuk menangani isu-isu seperti pengurusan ekonomi global dan keselamatan antarabangsa.
Kedua-dua BRICS dan G7 mewakili blok berkuasa dalam ekonomi global. Kelebihan setiap blok boleh dilihat dari segi petunjuk utama prestasi berikut:
1. KDNK (dalam US$)
Menurut Bank Dunia, gabungan KDNK negara-negara BRICS pada tahun 2023 mencapai kira-kira $32.43 trilion, atau sekitar 30.8 peratus daripada KDNK global, dengan sumbangan utama daripada pertumbuhan China dan India.
Gabungan KDNK G7 pula sekitar $46.79 trilion, menjadikannya kira-kira 44.4 peratus daripada KDNK global, sekaligus mencerminkan statusnya sebagai kumpulan ekonomi berpendapatan tinggi.
2. Pengeluaran Minyak
Negara BRICS, terutamanya Rusia, China, dan Brazil, adalah pemain penting dalam pengeluaran minyak global. Perkembangan BRICS baru-baru ini yang merangkumi negara pengeluar minyak utama seperti Iran dan UAE mungkin dapat meningkatkan pengaruh blok ini dalam pasaran tenaga global. Menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga AS, negara BRICS menyumbang sekitar 32.86 juta tong minyak sehari pada tahun 2023.
Negara-negara G7, yang diketuai oleh Amerika Syarikat dan Kanada, mencatatkan pengeluaran yang lebih rendah pada tahun tersebut iaitu sebanyak 19.06 juta tong minyak sehari.
3. Populasi
Berdasarkan data populasi daripada Tabung Penduduk PBB, penduduk negara BRICS dianggarkan dalam 4.62 bilion orang. Ini mewakili 56.9 peratus daripada populasi dunia pada tahun 2024, sekaligus menyediakan pasaran pengguna dan tenaga kerja yang besar.
Sebaliknya, negara-negara G7 mempunyai gabungan populasi kira-kira 778.4 juta, iaitu hanya sekitar 9.6 peratus daripada populasi global. Perbezaan demografi ini menonjolkan potensi pengaruh BRICS sebagai pasaran dan sumber tenaga kerja bagi industri global.
4. Eksport Global (perdagangan barangan)
Berdasarkan angka dari Pertubuhan Perdagangan Dunia, negara-negara BRICS menyumbang sekitar $7.07 trilion, atau sekitar 29.7 peratus daripada eksport barangan global pada tahun 2023, dipacu terutamanya oleh keupayaan pembuatan dan eksport China yang kukuh ($3.4 trillion).
Negara-negara G7 berada tidak jauh di belakang, dengan sumbangan sekitar $6.83 trillion, atau sekitar 28.7 peratus daripada eksport barangan global.
-- BERNAMA