Isu Berkaitan Subsidi Diesel Pengaruhi Trend Carian

Penulis & Data Visualisasi: Shaza Al Muzayen | Editor: Sakina Mohamed | Pereka Web: Ummul Syuhaida Othman

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kerajaan telah jimat lebih RM600 juta sebulan sejak pelaksanaan subsidi diesel bersasar pada 10 Jun. Namun, pada awalnya, ramai yang mempersoalkan langkah itu.

Langkah ini sebenarnya diambil bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan diesel yang berleluasa di negara ini, yang telah menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit.

Selain bagi penjimatan, ia juga satu langkah pengukuhan ekonomi. Perbelanjaan kerajaan ke atas subsidi diesel telah meningkat sebanyak 921 peratus dalam lima tahun, iaitu daripada RM1.4 bilion pada 2019 kepada RM14.3 bilion pada 2023.

Jualan runcit diesel di stesen minyak telah berkurang 30 peratus sejak langkah penyasaran subsidi bahan api itu dilaksanakan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Bajet 2025 pada 18 Okt.

Bernama meneliti data Google Trends sebelum dan selepas pelaksanaan subsidi diesel bersasar untuk melihat carian paling kerap berkaitan isu, yang mungkin merupakan cerminan kebimbangan rakyat.

Berikut hasil dapatan kami:

Pencarian Paling Banyak Dari Negeri Utara & Pantai Timur

Analisis data carian Google dari 1 Januari 2023 hingga 30 Jun 2024 menunjukkan lonjakan besar minat carian terhadap frasa carian ‘diesel fuel’ antara 9 hingga 15 Jun 2024.

Lonjakan mendadak dalam carian ini mungkin dipengaruhi pengumuman pelaksanaan subsidi bersasar bagi diesel oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada 9 Jun 2024.

Pada bulan sebelum pelaksanaan subsidi bersasar, negeri-negeri di utara dan pantai timur Malaysia seperti Pahang (100), Kelantan (94), Terengganu (90), Kedah (77), dan Perlis (76) menunjukkan minat carian tertinggi terhadap istilah ‘diesel fuel’ (minyak diesel).

Breakout queries paling tinggi ialah ‘Fuel’ (bahan api) di Pahang, ‘Toyota Hilux’ di Kelantan, ‘Oil’ (minyak) di Terengganu dan Kedah, dan ‘Subsidy’ (subsidi) di Perlis.

(Carian yang lebih popular berbanding yang lain dan mengalami peningkatan mendadak di Google dinamakan breakout queries.)

Trend ini berterusan hingga minggu selepas pelaksanaan subsidi bersasar, iaitu dari 10 hingga 16 Jun 2024.

Negeri yang mencatatkan minat carian tertinggi adalah Kelantan (100), Kedah (95), Pahang (95), Perak (85), dan Terengganu (76) menerajui minat carian. Istilah carian seperti ‘Petrol’ di Kelantan, ‘Fuel Card’ di Kedah, dan ‘Vehicle’ di Terengganu juga mencatat lonjakan minat yang ketara dalam tempoh ini.

Pada 9 Jun 2024, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mengumumkan bahawa pada 10 Jun 2024, harga diesel di Semenanjung Malaysia akan ditetapkan pada RM3.35 seliter (mengikut harga pasaran tanpa subsidi). Beliau juga mengumumkan bahawa bantuan tunai BUDI MADANI akan mula disalurkan pada tarikh yang sama.

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II
Kredit: Bernama


Bernama membandingkan minat carian Malaysia terhadap ‘diesel fuel’ sebulan sebelum penyasaran subsidi diesel dilaksanakan (9 Mei - 9 Jun 2024) dengan minggu selepas ia dilaksanakan (10-16 Jun 2024).

Bandar-bandar dari utara dan pantai timur turut mendominasi kedudukan carian.

Antara 9 Mei - 9 Jun 2024, tujuh daripada 10 bandar teratas bagi carian ‘diesel fuel’ ialah dari Pantai Remis (Perak), Ayer Hitam (Johor), Tanjong Sepat (Selangor), Daerah Raub (Pahang), dan Chukai (Terengganu).

Pada minggu berikutnya (10-16 Jun 2024), sembilan daripada 10 bandar teratas juga berasal dari kawasan yang sama, dengan Simpang (Perak), Batu Kurau (Perak), dan Brinchang (Pahang) mendahului minat carian.

Labuan tidak menunjukkan sebarang data bagi carian ‘diesel fuel’. Ini mungkin kerana minat carian yang sedikit atau tiada langsung.

Istilah itu juga tidak begitu popular di Sabah dan Sarawak, dengan kedua-dua negeri ini secara konsisten berada di bahagian bawah ranking minat carian bagi kedua-dua tempoh masa. Ini mungkin kerana subsidi diesel bersasar hanya dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.

Minat yang berterusan terhadap ‘diesel fuel’ di negeri-negeri utara dan pantai timur Malaysia mencerminkan kebimbangan awam terhadap kesan subsidi diesel bersasar ke atas rantau ini. Minyak diesel amat penting bagi operasi pengangkutan dan perniagaan, serta sektor pertanian dan perikanan yang menjadi industri utama di rantau ini.

Diesel juga merupakan bahan api yang menggerakkan sektor pertanian dan perikanan di Malaysia. Penggunaan jentera dan peralatan pertanian serta bot nelayan dan pukat tunda semuanya bergantung kepada ketersediaan minyak diesel.

Anggaran Jabatan Pertanian pada 2022 menunjukkan negeri dengan kepadatan populasi petani tertinggi di Semenanjung Malaysia adalah di utara dan pantai timur (68.2 peratus).

Kedah mempunyai bilangan petani terbanyak (66,886), diikuti Johor (64,501), Kelantan (50,765), Pahang (44,253), Perak (43,694), Selangor (20,966), Perlis (18,201), Terengganu (14,286), Pulau Pinang (8,741), Negeri Sembilan (8,474) dan Melaka (8,254).

Utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia juga mempunyai kepekatan nelayan tertinggi, menyumbang 65.7 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Berdasarkan Pendaftaran Persatuan Nelayan 2021, Perak mempunyai bilangan nelayan terbesar (13,194), diikuti oleh Johor (8,580), Kedah (8,022), Terengganu (6,586), Pulau Pinang (5,684), Kelantan (3,962), Selangor (3,732), Perlis (3,144), Pahang (2,638), Melaka (1,068) dan Negeri Sembilan (558).

Nelayan di kawasan ini juga merupakan sebahagian besar penerima diesel bersubsidi, iaitu 77.2 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Menurut Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), nelayan di Perak paling banyak menerima diesel bersubsidi pada 2021 (3,823). Ini diikuti Selangor (1,535), Kelantan (1,477), Kedah (1,121), Terengganu (1,008), Pahang (847), Perlis (616), Johor (571), Pulau Pinang (410), Melaka (81) dan Negeri Sembilan (24).

Hubungan antara kepadatan populasi nelayan dan peruntukan diesel menekankan peranan penting yang dimainkan oleh subsidi bahan api ini dalam menyokong komuniti pesisir pantai ini.

Lebih Banyak Carian Tentang Penyeludupan Diesel

Kebanyakan carian mengenai 'diesel fuel' (minyak diesel) sebulan sebelum pelaksanaan subsidi diesel bersasar turut meneroka pelbagai topik lain di Google.

Sepuluh topik yang menunjukkan peningkatan mendadak, atau “breakout” dalam carian ialah (mengikut tertib menurun) ‘Ministry of Domestic Trade and Cost of Living’, ‘Aid’ (bantuan), ‘Qualification’ (kelayakan), ‘Individual’, ‘Luxury Car’ (kereta mewah), ‘Peninsular Malaysia’ (semenanjung Malaysia), ‘KIA Sorento’, ‘Mechanic’ (mekanik), ‘Diesel Multiple Unit’ (diesel pelbagai unit) dan ‘Sulfur’.

Topik breakout teratas merujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia (KPDN). KPDN merupakan salah satu kementerian yang terlibat dalam pelaksanaan subsidi diesel bersasar. Selain tanggungjawab itu, KPDN turut menyelia sistem MySubsidi Diesel.

Terdapat perbezaan ketara dalam hasil carian Google dalam minggu-minggu sebelum dan selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Topik breakout teratas pada minggu sebelum pelaksanaan penyasaran subsidi diesel adalah ‘smuggling’ (penyeludupan). Malaysia telah lama berdepan dengan isu penyeludupan bahan api itu, terutamanya yang melibatkan negara jiran Thailand.

Sepuluh topik breakout ketika tempoh itu (ikut tertib menurun) ialah ‘Smuggling’ (penyeludupan), ‘Fuel Efficiency’ (kecekapan bahan api), ‘Anwar Ibrahim’, ‘Malaysian Islamic Party’ (Parti Islam Se-Malaysia (PAS)), ‘Permit’, ‘Ministry of Finance Malaysia’ (Kementerian Kewangan Malaysia), ‘Nissan Navara’, ‘BHP’, ‘Toyota Fortuner’ dan ‘Grant’ (geran).

These cities and towns (in descending order) that googled ‘diesel fuel’ the most were

Simpang (Perak)
Batu Kurau (Perak)
Parit Sulong (Johor)
Gerik (Perak)
Brinchang (Pahang)
Temerloh (Pahang)
Muadzam Shah (Pahang)
Tumpat (Kelantan)
Maran (Pahang)
Gua Musang (Kelantan)

Satu laporan pada 2017 mengenai kecurian produk minyak bertapis di seluruh dunia menyebut bahawa pihak berkuasa Thailand sejak pertengahan 1990-an telah mengenal pasti operasi penyeludupan diesel dan petrol yang besar di negara itu, terutamanya di wilayah selatannya yang bersempadan dengan Malaysia.

Dianggarkan sehingga 3.0 juta liter bahan api diseludup setiap hari melalui darat dari Malaysia ke Thailand, dengan nilai tahunan AS$1.2 bilion (≈RM5.2 bilion) di Thailand dan AS$0.54 bilion (≈RM2.3 bilion) di Malaysia.

Selain penyeludupan, ketirisan diesel juga menjadi kebimbangan. Kerajaan sebelum ini pernah menyatakan ketirisan yang disebabkan penyalahgunaan diesel bersubsidi secara berterusan oleh pihak komersial yang tidak layak, seperti syarikat pembinaan, telah menyumbang kepada peningkatan penggunaan diesel bersubsidi di negara ini.

Dari 2019 hingga 2023, penggunaan diesel bersubsidi meningkat daripada 6.1 bilion liter kepada 10.8 bilion liter, manakala penggunaan diesel komersial tanpa subsidi menurun lebih dua bilion liter setiap tahun.

Bagi menangani peningkatan kes ketirisan dan penyeludupan diesel, KPDN melancarkan Ops Tiris tahun lalu. Ops Tiris 1.0 dan 2.0 telah dijalankan dari 1 Mac – 31 Disember 2023 dengan 15,927 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara di stesen minyak, pemborong, pengeluar, kuari, pos kawalan dan premis lain.

Sebanyak 877 kes ketirisan dan penyeludupan diesel dikenal pasti dalam tempoh itu, dengan 6,441,118 liter diesel bernilai RM14.2 juta dirampas.

Ops Tiris 3.0 yang sedang berlangsung menyaksikan peningkatan usaha penguatkuasaan oleh KPDN. Dari 1 Januari 2024 hingga 19 Oktober 2024, pemeriksaan di bawah Ops Tiris 3.0 hampir dua kali ganda berbanding Ops Tiris 1.0 dan 2.0 tahun lalu (meningkat daripada 15,927 kepada 30,634 pemeriksaan). 

Hasilnya, 1,561 kes penyelewengan diesel telah dikenal pasti - peningkatan sebanyak 78 peratus berbanding 2023. Jumlah diesel yang dirampas juga lebih banyak, dengan sejumlah 13.8 juta liter diesel bersubsidi bernilai lebih RM31 juta dirampas.

Data diperoleh melalui siaran media KPDN serta laporan berita oleh Bernama dari 2022-2024.

Pelaksanaan subsidi diesel bersasar adalah diharapkan dapat membantu mengurangkan aktiviti haram ini daripada terus berlaku di negara ini. Setakat ini, langkah ini menunjukkan keberkesanan.

Bernama sebelum ini melaporkan pada 14 Julai bahawa kerajaan berjaya mengelak ketirisan diesel bernilai lebih RM250 juta dalam tempoh sebulan sejak penyasaran subsidi bahan api itu dilaksanakan 10 Jun lalu.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh, turut memaklumkan Dewan Rakyat pada 16 Julai bahawa terdapat penurunan sebanyak 27 peratus dalam jualan runcit diesel pada minggu pertama pelaksanaan subsidi bersasar. Terdapat juga peningkatan dalam jualan diesel komersial (44 peratus) dan penurunan sebanyak 24 peratus dalam jualan diesel di sempadan.

Beliau juga menyebut bahawa perbandingan data Ops Tiris dari 20 hari sebelum subsidi bersasar bermula dan 20 hari selepas ia dilaksanakan menunjukkan penurunan sebanyak 78 peratus dalam ketirisan diesel dan penurunan 87 peratus dalam rampasan diesel.

BUDI MADANI

Sepanjang tempoh dari 9 Mei – 9 Jun 2024, carian dari Malaysia berkaitan ‘diesel fuel’ (minyak diesel) turut menyebabkan istilah carian lain meningkat.

Bantuan tunai BUDI MADANI diberikan pada hari sama ketika subsidi diesel bersasar dilaksanakan. Maka, tidak hairanlah 10 breakout queries pada tempoh tersebut banyak berkaitan dengan program bantuan tunai ini.

Breakout queries teratas dalam tempoh itu ialah ‘Budi’, ‘Madani Diesel’, ‘Budi Madani’, ‘Budi Madani Diesel’, ‘Subsidi Diesel Madani’, ‘Subsidi Diesel Budi Madani’, ‘柴油 津贴 (Elaun Diesel)’, ‘Harga Diesel Semasa’, ‘Permohonan Subsidi Diesel’ dan ‘Diesel Naik Harga’.

Trend carian ini mendedahkan minat tinggi mengenai program BUDI MADANI.

BUDI MADANI memperkenalkan bantuan diesel melalui inisiatif BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi. BUDI Individu merupakan bantuan RM200 sebulan kepada individu Malaysia yang layak dan memiliki kenderaan diesel milik sendiri. BUDI Agri-Komoditi menyalurkan bantuan sebanyak RM200 sebulan kepada petani kecil dan pekebun komoditi yang layak. Tiada tarikh akhir untuk mendaftar bagi bantuan ini.

The 10 breakout queries

Bantuan Subsidi Diesel
Shell Fleet Card
Harga Diesel Sebelum dan Selepas
Wira Diesel
Lori Rigid
Diesel Fuel Subsidy Malaysia
Fleet Card
Diesel Fuel Subsidy
KPDN
SKDS

Hampir 300,000 pemilik kenderaan diesel milik sendiri di Semenanjung Malaysia layak menerima bantuan di bawah BUDI Individu. Sementara itu, hampir 400,000 petani kecil dan pekebun komoditi layak menerima bantuan di bawah BUDI Agri-Komoditi. Setakat 19 Jun 2024, Kementerian Kewangan telah meluluskan 100,000 permohonan bantuan untuk BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi.

Minggu selepas pelaksanaan subsidi diesel bersasar, iaitu bagi tempoh 10 -16 Jun, menunjukkan carian lebih tinggi mengenai fleet card diesel.

Sepuluh breakout queries ketika tempoh itu ialah ‘Bantuan Subsidi Diesel’, ‘Shell Fleet Card’, ‘Harga Diesel Sebelum dan Selepas’, ‘Wira Diesel’, ‘Lori Rigid’, ‘Diesel Fuel Subsidy Malaysia’, ‘Fleet Card’, ‘Diesel Fuel Subsidy’, ‘KPDN’ dan ‘SKDS’.

Fleet card diesel adalah sebahagian daripada inisiatif Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di bawah program MySubsidi Diesel KPDN. Kad ini membolehkan syarikat pengangkutan darat dan logistik yang layak membeli diesel bersubsidi di stesen minyak. Setakat ini, hanya 33 jenis kenderaan yang layak untuk SKDS.

Menurut Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, lima syarikat minyak (BHPetrol, Caltex, Petron, Petronas dan Shell) yang mengambil bahagian dalam pengedaran kad melalui SKDS akan membantu mengeluarkan sejuta fleet card supaya bekalan kad yang berterusan tersedia bagi SKDS 2.0 (Fasa I dan II).

Sejumlah 165,897 fleet card telah dikeluarkan kepada syarikat yang layak. Setakat 14 Julai, 248,887 permohonan subsidi diesel untuk kenderaan di bawah inisiatif SKDS telah diluluskan.

Walau bagaimanapun, data terkini daripada KPDN menunjukkan bahawa pendaftaran kenderaan yang layak untuk SKDS masih tidak memuaskan dengan hanya kira-kira 259,000 daripada 410,000 kenderaan didaftarkan.

-- BERNAMA

Mengenai Data

Data yang dikumpulkan dalam artikel ialah melalui
Google Trends dan ianya tepat setakat 9 Julai 2024. Google Trends menyepadankan data carian untuk memudahkan perbandingan antara istilah. Keputusan carian disepadankan dengan waktu dan lokasi pertanyaan. Data Google Trends mencerminkan carian yang dilakukan di Google setiap hari, tetapi juga boleh mencerminkan aktiviti carian yang tidak teratur, seperti carian automatik atau pertanyaan yang mungkin berkaitan dengan percubaan untuk spam hasil carian Google.