Dari Rage Bait ke Parasocial:

Bicara Internet pada

2025

Laporan & data visualisasi: Shaza Al Muzayen
Editor: Sakina Mohamed
Reka laman: Ummul Syuhaida Othman

KUALA LUMPUR, 29 Jan, 2026 (Bernama) –  Pada tahun 2025, tiga penerbit kamus bahasa Inggeris paling berpengaruh masing-masing memilih Word of the Year (Perkataan Pilihan  Tahun Ini) yang berbeza. Menariknya, ketiga-tiga perkataan yang terpilih berkisar trend bahasa dalam talian.

Oxford University Press memilih rage bait, iaitu kandungan yang direka khusus untuk mencetuskan kemarahan demi klik.

Kamus Cambridge pula memilih parasocial, merujuk kepada ikatan sebelah pihak yang dirasai orang ramai terhadap selebriti, watak fiksyen, atau chatbot kecerdasan buatan (AI).

Merriam-Webster pula menobatkan slop, istilah yang menggambarkan kebanjiran kandungan digital berkualiti rendah yang dihasilkan secara besar-besaran, biasanya dengan bantuan AI.

Ketiga-tiga pilihan ini mencerminkan isu kandungan digital yang sering diperdebatkan pada tahun 2025: ekonomi perhatian yang mengganjari kemarahan, keintiman sebelah pihak yang dirasai terhadap watak digital dan penghasilan kandungan berkualiti rendah secara pukal, sehingga membuatkan khalayak semakin ragu terhadap kandungan dalam talian.

Bagi melihat sejauh mana istilah-istilah ini bergerak melangkaui halaman kamus, Garasi Bernama turut meneliti data Google Trends bagi tahun 2025.

Secara keseluruhan, minat carian global terhadap istilah slop mengatasi rage bait dan parasocial, dengan carian memuncak pada Disember. 

Istilah parasocial mencatat minat carian lebih tinggi berbanding “rage bait” pada separuh pertama tahun, namun rage bait mendahului pada separuh kedua 2025.

Word of the Year Kamus Oxford:

Rage bait

Oxford University Press memilih rage bait sebagai Word of the Year 2025, dan mentakrifkannya sebagai kandungan dalam talian yang sengaja direka untuk mencetuskan kemarahan atau kemarahan melampau, lazimnya bagi mendorong trafik atau penglibatan.

Pakar bahasa Oxford berkata istilah ini mencerminkan bagaimana platform dan pencipta kandungan mengeksploitasi reaksi emosi, sambil menyatakan bahawa penggunaan frasa tersebut meningkat tiga kali ganda sepanjang 12 bulan lalu berdasarkan data bahasa mereka.

Perkataan itu dipilih daripada senarai pendek tiga perkataan selepas undian awam selama tiga hari melibatkan lebih 30,000 peserta. Dua perkataan lain dalam senarai pendek ialah aura farming dan biohack.

Aura farming

Usaha membina imej awam yang mengagumkan atau berkarisma.

Biohack

Usaha mengoptimumkan prestasi fizikal atau mental, sering melalui gaya hidup, teknologi, atau penggunaan ubat dan suplemen.

Oxford turut menggambarkan rage bait sebagai “sepupu rapat” clickbait, tetapi dengan matlamat yang lebih khusus. 

Clickbait (umpan klik) merujuk kepada teknik pemasaran kandungan yang menggunakan tajuk, gambar, atau elemen sensasi yang keterlaluan dan mengelirukan untuk memancing perhatian pengguna agar mengklik pautan.

Rage bait (umpan amarah) pula bertujuan mencetuskan kemarahan dan polarisasi, dan ia subur kerana kebanyakan platform memberi ganjaran kepada penglibatan tinggi, termasuk penglibatan negatif.

Data carian Google Trends bagi istilah rage bait menunjukkan peningkatan minat bermula Julai 2025. Minat memuncak pada minggu 30 Nov hingga 6 Dis 2025, selari dengan pengumuman Oxford pada 1 Dis 2025 yang menamakan rage bait sebagai Word of the Year.

Oxford turut menggambarkan rage bait sebagai “sepupu rapat” clickbait, tetapi dengan matlamat yang lebih khusus. 

Clickbait (umpan klik) merujuk kepada teknik pemasaran kandungan yang menggunakan tajuk, gambar, atau elemen sensasi yang keterlaluan dan mengelirukan untuk memancing perhatian pengguna agar mengklik pautan.

Rage bait (umpan amarah) pula bertujuan mencetuskan kemarahan dan polarisasi, dan ia subur kerana kebanyakan platform memberi ganjaran kepada penglibatan tinggi, termasuk penglibatan negatif.

Data carian Google Trends bagi istilah rage bait menunjukkan peningkatan minat bermula Julai 2025. Minat memuncak pada minggu 30 Nov hingga 6 Dis 2025, selari dengan pengumuman Oxford pada 1 Dis 2025 yang menamakan rage bait sebagai Word of the Year.

Minat carian tertinggi bagi rage bait dicatat di Filipina, Jamaica dan Nigeria, dengan beberapa negara Asia dan Afrika turut tersenarai dalam 15 teratas. Malaysia berada di kedudukan ke-13 daripada 15 negara dengan minat tertinggi terhadap istilah ini pada tahun 2025.

Breakout queries berkaitan rage bait menunjukkan bagaimana istilah itu digunakan untuk menggambarkan pelbagai situasi sepanjang 2025. Sebahagian carian didorong oleh pengumuman Oxford, termasuk “rage bait oxford”. Ada juga yang menggunakannya dalam perbualan hubungan harian seperti “rage bait questions for bf”, selain carian berkaitan meme seperti “dog rage bait meme”.

(Carian yang lebih popular berbanding yang lain dan mengalami peningkatan mendadak di Google dinamakan breakout queries.)

Word of the Year Kamus Cambridge:

Parasocial

Kamus Cambridge pula menamakan parasocial sebagai Word of the Year 2025, dan mentakrifkannya sebagai keintiman yang dirasai seseorang terhadap individu terkenal yang tidak mereka kenali, watak fiksyen, atau chatbot kecerdasan buatan (AI).

Konsep ini bermula pada tahun 1956, apabila ahli sosiologi Donald Horton dan R. Richard Wohl memperkenalkan istilah “interaksi parasosial”. Ia digunakan untuk menerangkan bagaimana media massa ketika itu membolehkan khalayak membina rasa keintiman sebelah pihak dengan tokoh awam.

Walaupun istilah ini telah lama digunakan, Cambridge berkata tahun 2025 menyaksikan perhatian yang meningkat terhadap hubungan parasosial sebelah pihak dengan selebriti, pempengaruh dan chatbot AI, sekali gus mendorong peningkatan minat dan carian terhadap istilah tersebut.

Antara carian tinggi yang dikesan Cambridge melalui platformnya ialah:

Jun 2025

Penstrim YouTube IShowSpeed menyekat seorang peminat yang membuat bebenang hantaran yang membimbangkan mengenai hubungan peribadinya yang baru sahaja berakhir. Peminat itu menggelarkan dirinya sebagai “number 1 parasocial”.

Julai 2025

xAI memperkenalkan peringkat langganan chatbot Grok dengan teman bergaya anime, mencetuskan kritikan bahawa reka bentuk tersebut boleh menggalakkan keterikatan parasosial yang tidak sihat.

Ogos 2025

Sekumpulan 44 peguam negara di Amerika Syarikat menulis kepada 13 syarikat di sebalik chatbot AI, memberi amaran bahawa mereka boleh dipertanggungjawabkan sekiranya gagal menyediakan perlindungan bagi melindungi kanak-kanak bawah umur daripada hubungan parasosial chatbot yang memudaratkan.

Ogos 2025

Liputan media mengenai reaksi peminat terhadap pengumuman pertunangan Taylor Swift dengan Travis Kelce.

Cambridge berkata parasocial dipilih seiring dengan perubahan bahasa lain berkaitan internet dan AI yang menonjol sepanjang 2025. Antara perkataan dalam senarai pendek ialah pseudonymisation dan memeify.

Pseudonymisation

Proses di mana pengecam peribadi seperti nama atau alamat emel digantikan dengan kod atau label yang tidak mendedahkan secara langsung pemilik data tersebut.

Memeify

Menjadikan sesuatu peristiwa, imej atau individu sebagai “meme”, iaitu kandungan yang tersebar pantas dalam talian, lazimnya dalam bentuk jenaka, imej atau video pendek.

Cambridge turut menyorot perkataan lain dan perubahan makna yang dikesan sepanjang tahun, termasuk glazing, bias, stanning, vibey, breathwork, dan doom spending.

Glazing

Pujian atau sanjungan berlebihan yang kedengaran tidak ikhlas, khususnya oleh chatbot AI, dan boleh dilihat sebagai cara menampung jawapan yang lemah.

Bias

Digunakan dalam fandom K-pop untuk merujuk kepada individu yang menjadi keghairahan tumpuan seseorang peminat.

Vibey

Digunakan untuk menggambarkan sesuatu tempat yang mempunyai suasana yang baik.

Breathwork

Merujuk kepada teknik pernafasan terkawal yang bertujuan memberi manfaat fizikal dan mental.

Doom spending

Berbelanja wang yang tidak dimiliki untuk berasa lebih positif ketika tempoh kebimbangan atau ketidaktentuan.

Minat carian Google bagi istilah “parasocial” pada 2025 menunjukkan peningkatan bermula Jun 2025, dengan carian memuncak pada minggu 16 hingga 22 Nov 2025, iaitu minggu yang sama Cambridge mengumumkan pada 18 Nov 2025 bahawa “parasocial” sebagai Word of the Year.

Minat carian Google bagi istilah “parasocial” pada 2025 menunjukkan peningkatan bermula Jun 2025, dengan carian memuncak pada minggu 16 hingga 22 Nov 2025, iaitu minggu yang sama Cambridge mengumumkan pada 18 Nov 2025 bahawa “parasocial” sebagai Word of the Year.

Minat carian tertinggi bagi “parasocial” dicatat di Singapura, Jamaica dan Filipina. Secara keseluruhan, Amerika Utara dan Asia merangkumi bahagian terbesar negara dalam senarai 15 teratas, dengan Malaysia berada di kedudukan ke-12 pada tahun 2025.

Breakout query berkaitan “parasocial” menunjukkan istilah ini merentas bahasa sepanjang 2025, dengan carian maksud dalam bahasa Belanda (“parasocial betekenis”), Hindi (“parasocial meaning in Hindi”), dan Vietnam (“parasocial nghĩa là gì”). Carian berkaitan muzik turut muncul, termasuk “parasocial freestyle kai angel”.

Word of the Year Kamus Merriam-Webster’s:

Slop

Pilihan Word of the Year Merriam-Webster pula adalah slop. Perkataan yang telah lama wujud ini diberi makna baharu dalam talian, iaitu kandungan digital berkualiti rendah yang dihasilkan dalam kuantiti besar dengan menggunakan AI generatif.

Dalam menjelaskan pilihan tersebut, Merriam-Webster menggambarkan “banjir” slop era AI sebagai merangkumi video dan imej iklan yang pelik atau janggal, berita yang kelihatan palsu, serta buku tulisan AI berkualiti rendah. Ia menambah bahawa peningkatan penggunaan istilah ini mencerminkan kesedaran awam yang semakin tinggi terhadap lambakan bahan yang dihasilkan tanpa banyak usaha yang kini beredar dalam talian.

Perkataan ini juga mempunyai makna lama. Entri kamus Merriam-Webster merangkumi maksud seperti “lumpur lembut” dan sisa makanan haiwan, yang menjelaskan mengapa istilah ini sejak lama membawa konotasi sesuatu yang tidak menyenangkan atau kurang bernilai.

Perkataan lain yang menonjol dalam data carian Merriam-Webster bagi 2025 termasuk:

Gerrymander

Melukis semula sempadan kawasan pilihan raya secara strategik bagi memihak kepada kepentingan sesebuah parti politik. Merriam-Webster mengaitkan popularitinya dengan pertikaian persempadanan semula di Amerika Syarikat pada 2025.

Touch grass

Ungkapan yang mengajak seseorang meninggalkan aktiviti dalam talian dan kembali berpijak di dunia sebenar. Carian meningkat selepas satu rayuan awam yang mengulangi frasa ini pada September 2025.

Performative

Sesuatu yang dilakukan demi tontonan, bagi membentuk persepsi orang lain dan bukan atas keikhlasan.

Tariff

Cukai atau duti yang dikenakan kerajaan ke atas barangan import, dan kadangkala eksport. Peningkatan carian dikaitkan dengan perbahasan awam apabila pentadbiran Trump mula melaksanakan tarif yang dijanjikan pada awal 2025.

Six seven (6 7)

Sorakan slanga Generasi Alpha yang sengaja kabur dan sering digunakan sebagai jenaka atau mengusik orang dewasa, yang berasal daripada lirik lagu dan meme viral.

Conclave

Mesyuarat tertutup kardinal Roman Katolik bagi memilih paus baharu. Carian melonjak selepas acara sebenar dan oleh minat bagi filem Conclave.

Lake Chargoggagoggmanchauggagoggchaubunagungamaugg (Tasik Webster)

Lake Chargoggagoggmanchauggagogg-chaubunagungamaugg (Tasik Webster)

Nama tasik di Massachusetts yang melonjak dalam senarai carian selepas muncul dalam cabaran ejaan permainan Roblox.

Dalam Google Trends, minat carian terhadap “slop” kekal agak stabil sepanjang 2025, berlegar di paras pertengahan sekitar 50 bagi sebahagian besar tahun. Minat memuncak pada minggu 14 hingga 20 Dis 2025, selari dengan pengumuman Merriam-Webster pada 14 Dis 2025 yang menamakan “slop” sebagai Word of the Year.‍

(Angka ini mencerminkan populariti, bukan jumlah carian. Google menggunakan nilai 100 bagi menunjukkan kemuncak populariti sesuatu istilah. Nilai 50 bermaksud istilah itu separuh kurang popular.)

Dalam Google Trends, minat carian terhadap “slop” kekal agak stabil sepanjang 2025, berlegar di paras pertengahan sekitar 50 bagi sebahagian besar tahun. Minat memuncak pada minggu 14 hingga 20 Dis 2025, selari dengan pengumuman Merriam-Webster pada 14 Dis 2025 yang menamakan “slop” sebagai Word of the Year.

(Angka ini mencerminkan populariti, bukan jumlah carian. Google menggunakan nilai 100 bagi menunjukkan kemuncak populariti sesuatu istilah. Nilai 50 bermaksud istilah itu separuh kurang popular.)

Minat carian tertinggi bagi “slop” dicatat di Indonesia, Denmark dan Myanmar, dengan sebahagian besar senarai 15 teratas terdiri daripada negara Asia dan Eropah. Malaysia tidak tersenarai dalam 15 teratas, berada di kedudukan ke-20 pada 2025.

Breakout queries berkaitan “slop” menunjukkan istilah ini muncul merentas sub-budaya dalam talian dan keresahan berkaitan AI. Sebahagian carian berkait dengan slanga permainan seperti “roblox retro slop”, manakala yang lain merujuk kepada usaha menapis kandungan AI berkualiti rendah, termasuk sambungan pelayar “slop evader”.

Carian breakout turut merangkumi nama pembantu AI seperti “meta ai” dan “qwen ai”. Satu lagi istilah yang muncul ialah “slop squatting”, digunakan untuk menggambarkan risiko rantaian bekalan perisian apabila penyerang mengambil kesempatan ke atas nama pakej yang “dihalusinasi” AI dengan memperlakukannya sebagai pakej hasad.


-- BERNAMA

Mengenai Data‍

Sebahagian data yang dikumpulkan dalam artikel ini ialah melalui Google Trends pada 18 Jan, 2026. Google Trends menyepadankan data carian untuk memudahkan perbandingan antara istilah. Keputusan carian disepadankan dengan waktu dan lokasi pertanyaan. Data Google Trends mencerminkan carian yang dilakukan di Google setiap hari, tetapi juga boleh mencerminkan aktiviti carian yang tidak teratur, seperti carian automatik atau pertanyaan yang mungkin berkaitan dengan percubaan untuk spam hasil carian Google.