Carian Google Cermin Kebimbangan Nelayan, Petani

Oleh & Visual Data: Shaza Al Muzayen | Editor: Sakina Mohamed | Pereka Web: Ummul Syuhaida Othman

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Terdapat lonjakan dalam carian Google berkaitan diesel dari Semenanjung Malaysia dalam beberapa minggu sebelum 10 Jun, 2024 – tarikh penyasaran subsidi diesel dilaksanakan.

Perkara ini tidaklah begitu mengejutkan. Namun, yang lebih menarik ialah kebanyakan carian itu datang dari negeri-negeri di utara dan pantai timur.

Ini mungkin kerana di wilayah utara dan pantai timur,  pertanian dan perikanan merupakan industri penting yang memberi kesan besar terhadap kehidupan masyarakat tempatan. Industri-industri ini juga amat bergantung pada penggunaan diesel.

Jentera pertanian, bot nelayan, dan kapal tunda semuanya memerlukan diesel untuk beroperasi. Sebarang kenaikan harga atau perubahan pada jumlah subsidi boleh memberi kesan langsung kepada kehidupan petani dan nelayan di komuniti ini.

Bernama meneliti trend carian Google sebulan sebelum pelaksanaan subsidi diesel bersasar (9 Mei – 9 Jun 2024) dan mendapati bahawa Pahang (100), Kelantan (94), Terengganu (90), Kedah (77), dan Perlis (76) mencatatkan minat carian tertinggi terhadap bahan api diesel.

Trend ini berterusan dalam minggu selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, dengan Kelantan (100), Kedah (95), Pahang (95), Perak (85), dan Terengganu (76) mendahului minat carian.

(Angka-angka ini menggambarkan tahap populariti sesuatu istilah carian dan bukan jumlahnya. Google menggunakan nilai 100 untuk menunjukkan kemuncak populariti istilah tersebut. Nilai 50 bermaksud istilah itu separuh popular.)

Kebimbangan mereka tercermin ini dalam kata kunci yang paling kerap digunakan untuk carian berkaitan minyak diesel.

Sebagai contoh, di Kelantan, carian untuk ‘Toyota Hilux’, kenderaan diesel paling popular di negara ini, melonjak dalam minggu-minggu sekitar pengumuman penyasaran subsidi diesel. Kenderaan ini biasanya digunakan peniaga kecil dan carian terhadap istilah ini mungkin cerminan kebimbangan mereka terhadap kos operasi kenderaan berkuasa diesel.

Kawasan utara dan pantai timur menempatkan 65.7 peratus nelayan Malaysia dan sebahagian besar populasi petani (68.2 peratus). Ini menjadikan diesel sebagai jenis bahan api yang penting di kawasan ini.

Anggaran Jabatan Pertanian pada tahun 2022 populasi petani terbesar di Semenanjung Malaysia berada di Kedah (66,886 orang).

Ini diikuti oleh Johor (64,501), Kelantan (50,765), Pahang (44,253), Perak (43,694), Selangor (20,966), Perlis (18,201), Terengganu (14,286), Pulau Pinang (8,741), Negeri Sembilan (8,474) dan Melaka (8,254).

Sementara itu, angka daripada Pejabat Pendaftar Persatuan Nelayan tahun 2021 menunjukkan bahawa Perak mempunyai bilangan nelayan terbesar (13,194). Ini diikuti oleh Johor (8,580), Kedah (8,022), Terengganu (6,586), Pulau Pinang (5,684), Kelantan (3,962), Selangor (3,732), Perlis (3,144), Pahang (2,638), Melaka (1,068) dan Negeri Sembilan (558).

Nelayan di kawasan ini juga merupakan penerima terbesar diesel bersubsidi, menyumbang 77.2 peratus daripada jumlah keseluruhan.


Menurut Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), nelayan di Perak merupakan penerima diesel bersubsidi paling banyak pada tahun 2021 (3,823), diikuti Selangor (1,535), Kelantan (1,477), Kedah (1,121), Terengganu (1,008), Pahang (847), Perlis (616), Johor (571), Pulau Pinang (410), Melaka (81) dan Negeri Sembilan (24).

Minat tinggi terhadap diesel selepas pelaksanaan penyasaran subsidi menekankan peranan penting bahan api ini dalam kesejahteraan ekonomi penduduk negeri pesisir pantai. Sistem pengangkutan, operasi perniagaan, dan industri penting seperti perikanan dan pertanian di negeri-negeri ini kesemuanya amat bergantung pada bahan api yang mampu milik.

Menyedari kebimbangan ini, kerajaan terus meneruskan bantuan kepada nelayan melalui LKIM dengan mengekalkan harga diesel bersubsidi pada RM1.65 seliter.

Nelayan yang ingin menikmati harga diesel bersubsidi ini perlu mengimbas kad pengenalan mereka sebelum mengisi bahan api itu dan turun ke laut. Ini memastikan hanya nelayan yang berdaftar dengan LKIM akan menerima diesel bersubsidi. Langkah ini membantu mengurangkan kos operasi mereka, sekaligus memastikan harga ikan yang stabil di pasaran dan memastikan kelestarian industri perikanan.

Dalam pembentangan Bajet 2025 baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan untuk terus menyediakan diesel bersubsidi bagi nelayan.

Sementara itu, program BUDI MADANI memperkenalkan bantuan bahan api diesel melalui inisiatif BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi, mencerminkan usaha lebih luas kerajaan untuk menyokong sektor yang terjejas.

BUDI Individu menyediakan bantuan RM200 sebulan kepada rakyat Malaysia yang layak dan memiliki kenderaan peribadi berasaskan diesel. BUDI Agri-Komoditi pula memberikan bantuan RM200 sebulan kepada petani kecil-kecilan dan pekebun kecil yang layak.

Hampir 300,000 pemilik kenderaan peribadi berasaskan diesel di Semenanjung Malaysia layak menerima bantuan di bawah BUDI Individu, manakala hampir 400,000 petani kecil-kecilan dan pekebun kecil layak menerima bantuan di bawah BUDI Agri-Komoditi. Setakat 19 Jun 2024, Kementerian Kewangan telah meluluskan 100,000 permohonan bantuan untuk BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi.

Namun, permohonan daripada petani kecil untuk BUDI Agri-Komoditi masih rendah.

Menurut Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, sehingga 20 September, kerajaan telah menerima lebih daripada 66,000 permohonan daripada petani kecil untuk inisiatif ini, dengan 10,000 daripadanya merupakan permohonan rayuan. Angka ini jauh lebih rendah daripada anggaran 214,000 petani kecil di negara ini yang layak menerima bantuan tunai bulanan.

Penyasaran subsidi diesel telah membantu mengurangkan penjualan diesel bersubsidi sebanyak 30 peratus setakat Oktober. Ini telah menjimatkan kerajaan lebih daripada RM600 juta sebulan, seperti yang didedahkan semasa pembentangan Bajet 2025 pada 18 Oktober.

Perdana Menteri Anwar semasa membentangkan bajet turut mengumumkan bahawa subsidi bahan api untuk RON 95, petrol yang disubsidi secara besar-besaran, akan dimansuhkan menjelang pertengahan tahun 2025.

-- BERNAMA

Mengenai Data

Data yang dikumpulkan dalam artikel ialah melalui
Google Trends dan ianya tepat setakat 9 Julai 2024. Google Trends menyepadankan data carian untuk memudahkan perbandingan antara istilah. Keputusan carian disepadankan dengan waktu dan lokasi pertanyaan. Data Google Trends mencerminkan carian yang dilakukan di Google setiap hari, tetapi juga boleh mencerminkan aktiviti carian yang tidak teratur, seperti carian automatik atau pertanyaan yang mungkin berkaitan dengan percubaan untuk spam hasil carian Google.