2024 Tahun Berdarah Bagi Wartawan, Lapor CPJ

Laporan & Visualisasi Data: Shaza Al Muzayen | Editor: Sakina Mohamed | Pereka Web: Ummul Syuhaida Othman

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) – Sekurang-kurangnya 124 wartawan dan petugas media terbunuh sepanjang tahun 2024, menjadikannya tahun paling berdarah sejak Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) mula menjejaki data lebih tiga dekad lalu.

Hampir 70 peratus daripada mangsa (82 orang) adalah rakyat Palestin yang gugur di tangan tentera Israel sepanjang perang Israel-Gaza, menurut laporan tahunan terbaharu CPJ tentang pembunuhan petugas media.

(CPJ ialah sebuah pertubuhan bukan untung bebas yang mempertahankan kebebasan media di peringkat global.)

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CPJ, Jodie Ginsberg, ini merupakan zaman paling berbahaya untuk menjadi wartawan dalam sejarah CPJ.

“Kesan perang di Gaza ke atas wartawan adalah sesuatu yang belum pernah dilihat dalam sejarah. Ia mencerminkan kemerosotan ketara norma global dalam kepentingan melindungi wartawan di zon konflik.

“Namun Gaza bukan satu-satunya lokasi berisiko. Data kami menunjukkan nyawa wartawan dalam ancaman di seluruh dunia,” katanya mengulas dapatan laporan tersebut.

Angka kematian pada 2024 mengatasi rekod tertinggi sebelumnya iaitu 113 orang pada tahun 2007, semasa kemuncak perang di Iraq. Ketika itu 51 wartawan dan pekerja media terbunuh.

Daripada 124 kematian direkodkan tahun lepas, 82 berlaku di Gaza dan tiga di Lubnan, manakala baki 36 pembunuhan berlaku di 16 negara lain.

Sudan dan Pakistan mencatatkan jumlah kedua tertinggi dalam kalangan negara paling berbahaya buat pekerja media, masing-masing dengan enam kematian. Mexico dan Myanmar turut mencatatkan tahun berdarah bagi media, dengan lima wartawan dibunuh di Mexico dan tiga lagi dibunuh oleh tentera Myanmar. Di Iraq, peningkatan operasi ketenteraan terhadap kumpulan Kurdish mengakibatkan kematian wartawan pertama sejak 2020.

Ramai Dibunuh Israel

Menurut rekod CPJ, seramai 85 wartawan dan pekerja media yang dibunuh Israel pada 2024. Ini menjadikannya jumlah pembunuhan tahunan tertinggi oleh suatu negara dalam tempoh lebih tiga dekad.

Antara 82 wartawan Palestin yang terbunuh di Gaza termasuk Ahmed Abu Skheil, 25, dan adiknya Zahraa Abu Skheil, 22. Kedua-duanya maut dalam pengeboman sekolah oleh Israel pada 9 November 2024.

Awal tahun itu, tiga sepupu mereka yang juga wartawan - Mohamed El Sayed Abu Skheil, 33, Tarek Al-Sayed Abu Sakhil, 31, dan Mohammed Adel Abu Skheil, 24 - turut terbunuh dalam serbuan tentera Israel ke atas Kompleks Perubatan Al-Shifa.

Wartawan termuda yang dikenal pasti oleh CPJ sebagai mangsa ialah wartawan bebas dan jurugambar Palestin, Hassan Hamad, 18 tahun. Beliau terbunuh akibat serangan dron Israel pada 6 Oktober 2024 ketika membuat liputan di Gaza Utara.

Di Lubnan, tiga pengamal media terbunuh akibat serangan udara Israel pada 25 Oktober 2024. Ghassan Najjar, 48, Wissam Qassim (umur tidak diketahui), dan Mohammed Reda, 55, maut dalam serangan ke atas sebuah kawasan yang menempatkan 18 wartawan dari pelbagai organisasi media.

"Pembunuhan" Wartawan

CPJ menyatakan sekurang-kurangnya 24 wartawan telah disasarkan secara langsung kerana menjalankan tugas, dan mengklasifikasikan kematian mereka sebagai “pembunuhan”.

(Suatu kematian diklasifikasikan sebagai pembunuhan oleh CPJ hanya jika terdapat bukti kukuh bahawa kematian itu berkait secara langsung dengan tugas wartawan tersebut.)

Hampir separuh daripada pembunuhan yang berlaku pada 2024 didalangi Israel , dengan tujuh daripadanya di Gaza dan tiga di Lubnan.

Antara mangsa di Gaza termasuk wartawan Al Jazeera Arabic, Ismail Al Ghoul, 27, dan rakan wartawan bebasnya, Rami Al Refee, 26. Mereka terbunuh dalam serangan dron Israel ke atas kereta yang mereka naiki ketika meninggalkan kem pelarian Al Shati, Bandar Gaza, pada 31 Julai 2024.

Pembunuhan lima wartawan pada 26 Disember iaitu Ayman Al Gedi, 28, Fadi Hassouna, 22, Faisal Abu Al Qumsan, 27, Ibrahim Sheikh Ali, 38, dan Mohammed Al-Ladaa, 23, juga diklasifikasikan sebagai pembunuhan. Mereka terbunuh dalam serangan ke atas kenderaan media yang diparkir di luar Hospital Al-Awda, Gaza Tengah.

CPJ turut menyiasat 20 lagi kes di mana wartawan dipercayai disasarkan secara langsung oleh Israel. Sekiranya dapat dibuktikan, kes sedemikian akan dikategorikan sebagai jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa.

Baki 14 kes pembunuhan wartawan yang disahkan CPJ berlaku di Myanmar, Pakistan, Haiti, Iraq, India, Mexico, Mozambique dan Sudan.

Laporan itu turut menonjolkan peningkatan membimbangkan dalam serangan dron bersasar. Daripada 10 pembunuhan di Gaza, empat dilakukan menerusi serangan dron Israel.

Turut disebut adalah kemungkinan serangan serupa berlaku ke atas wartawan di Iraq dan Syria. Ini peningkatan mendadak berbanding tahun 2023, yang hanya mencatatkan satu kematian disyaki akibat dron di Gaza serta tiga kecederaan berkaitan dron di Gaza, Rusia dan Ukraine.

Peningkatan Pembunuhan Wartawan Bebas

Seramai 43 wartawan bebas terkorban pada tahun 2024, menjadikan mereka antara kumpulan paling berisiko dalam kalangan pengamal media. Jumlah ini mengatasi rekod tertinggi sebelum ini iaitu 17 orang pada tahun 2023.

Daripada jumlah ini, 31 adalah wartawan bebas Palestin di Gaza. Ramai antara mereka menjadi pemberita bebas setelah organisasi media masing-masing musnah dalam peperangan. CPJ menekankan bahawa liputan mereka sangat penting buat media antarabangsa kerana Israel menghalang kemasukan wartawan asing bebas ke Gaza, kecuali lawatan terhad yang dikawal tentera.

-- BERNAMA