
Laporan dan visualisasi data: Shaza Al Muzayen
Editor: Sakina Mohamed
KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) – Dengan perang antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran yang masih belum menunjukkan tanda reda, perhatian kembali tertumpu kepada Selat Hormuz. Siapa penyalur utama minyak mentah melalui laluan strategik itu, dan ke mana ia disalurkan?
Selat Hormuz terletak antara Iran dan Oman, menghubungkan Teluk Parsi dengan Teluk Oman serta Laut Arab. Ia merupakan antara laluan sempit minyak paling kritikal di dunia, serta cukup luas dan dalam untuk menampung kapal tangki minyak terbesar.
Pada separuh pertama 2025, kira-kira 20.9 juta tong minyak sehari melalui selat tersebut. Ini sekitar satu perlima penggunaan cecair petroleum global dan suku daripada perdagangan minyak laut dunia.
Data Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA) menunjukkan aliran minyak mentah dan kondensat melalui selat itu tertumpu dalam kalangan sekumpulan kecil pengeluar di rantau Teluk dari 2020 hingga separuh pertama 2025.
Arab Saudi secara konsisten mencatat bahagian terbesar mengikut negara asal. Menjelang separuh pertama 2025, negara itu menghantar sekitar 5.6 juta tong sehari melalui selat berkenaan, diikuti Iraq sebanyak 3.3 juta tong sehari dan Emiriah Arab Bersatu sebanyak 2.1 juta tong sehari.
Data sama turut menunjukkan aliran eksport Iran meningkat ketara, daripada 0.4 juta tong sehari pada 2020 kepada hampir 1.6 juta tong sehari pada separuh pertama 2025, walaupun jumlah Arab Saudi kekal jauh lebih tinggi secara keseluruhan.
Dari sudut permintaan, EIA menganggarkan 89 peratus minyak mentah dan kondensat yang melalui Selat Hormuz disalurkan ke pasaran Asia pada separuh pertama 2025.
China, India, Jepun dan Korea Selatan kekal sebagai destinasi utama, dengan gabungan 74 peratus daripada keseluruhan aliran melalui selat tersebut dalam tempoh berkenaan.
Trend ini berterusan daripada 2020 hingga 2024, apabila empat pasaran Asia itu turut mendominasi sebagai destinasi utama.
China kekal sebagai destinasi terbesar sepanjang tempoh itu, menerima lebih banyak minyak mentah dan kondensat berkaitan Selat Hormuz berbanding pasaran lain. Menjelang separuh pertama 2025, jumlah itu mencecah sekitar 5.4 juta tong sehari.
-- BERNAMA