Teks & Grafik: Shaza Al Muzayen
Editor: Sakina Mohamed
21 Oktober 2026 (Bernama) -- Visualisasi menerusi NASA’s Eyes on the Earth ini menunjukkan perubahan kepekatan karbon monoksida (CO) di Asia Tenggara dari 14 Ogos hingga 20 Oktober 2026.
Kebakaran hutan dan tanah gambut membebaskan CO, iaitu gas tidak berwarna atau berbau yang boleh kekal di atmosfera selama berminggu-minggu serta dibawa angin merentasi jarak yang jauh. Saintis sedang memantau gas ini untuk memahami bagaimana pencemaran merebak ke kawasan lain yang jauh dari lokasi kebakaran.
Menjelang akhir Ogos, kepekatan CO yang lebih tinggi semakin ketara di Kalimantan, Sarawak dan Sabah. Sepanjang September, kawasan berwarna jingga dan merah semakin meluas merentasi Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei. Menjelang Oktober, kawasan ini turut meliputi Papua New Guinea, selatan Filipina dan utara Australia.
Warna yang digunakan NASA mewakili purata kepekatan CO bagi tempoh tiga hari pada paras tekanan atmosfera 500 milibar, iaitu kira-kira 5.5 km dari aras laut. Warna jingga dan merah menunjukkan kepekatan lebih tinggi, manakala biru dan ungu menunjukkan kepekatan lebih rendah.
Bagaimanapun, bacaan ini tidak menggambarkan secara langsung kualiti udara di permukaan bumi, risiko kesihatan atau tahap ketebalan jerebu.
Karbon monoksida terhasil apabila bahan api tidak terbakar sepenuhnya. Selain kebakaran hutan dan tanah gambut, gas ini turut berpunca daripada asap ekzos kenderaan, jentera dan aktiviti perindustrian.
Menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat, pendedahan kepada CO pada kepekatan tinggi boleh mengurangkan bekalan oksigen kepada organ penting, termasuk jantung dan otak.
Individu yang menghidap penyakit jantung amat terdedah kepada kesannya apabila kepekatan CO di luar bangunan meningkat, walaupun untuk tempoh yang singkat.
Keracunan CO yang serius boleh menyebabkan pening, kekeliruan, kehilangan kesedaran dan kematian, khususnya apabila gas ini terkumpul dalam ruang tertutup.
Explainer ini turut disiarkan dalam laman Instagram kami.