Skrip & Visualisasi Data: Shaza Al Muzayen
Editor: Sakina Mohamed
Pereka Web: Ummul Syuhaida Othman
KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Sukan Paralimpik Paris 2024 telah melabuhkan tirainya!
Negara-negara Asia Tenggara (SEA) di Sukan Paralimpik tahun ini menunjukkan prestasi cemerlang, memenangi sejumlah 53 pingat (11 emas, 22 perak dan 20 gangsa).
Malaysia telah meningkatkan kedudukan di carta pingat Paralimpik keseluruhan setelah memenangi lima pingat di Paris (dua emas, dua perak dan satu gangsa), dan kini berada di tempat kedua di belakang Thailand. Malaysia kini memiliki 21 pingat Paralimpik.
Sebelum Sukan Paralimpik Paris 2024, Malaysia berada di tempat ketiga di belakang Thailand dan Indonesia.
Thailand kekal di kedudukan teratas selepas para atletnya memenangi 30 pingat di Paris. Kini dengan jumlah 117 pingat, Thailand menjadi negara SEA dengan prestasi terbaik di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Indonesia jatuh ke tempat ketiga setelah memenangi 14 pingat di Paris (satu emas, lapan perak dan lima gangsa), menjadikan jumlah keseluruhan pingat mereka 41. Walaupun Indonesia memenangi lebih banyak pingat berbanding Malaysia, jumlah emas mereka lebih sedikit (Malaysia memiliki lapan emas berbanding tujuh emas Indonesia).
Brunei, Kemboja, dan Timor-Leste masih belum memenangi sebarang pingat di Sukan Paralimpik.
-- BERNAMA
Explainer ini turut disiarkan dalam laman Instagram kami.