Gaza: 3 Tahun Genosid Israel yang Masih Berterusan

Palestine • Google
Oct 7, 2026

Teks & Grafik: Shaza Al Muzayen
Editor: Sakina Mohamed

‍

7 Oktober 2026 (Bernama) -- Google baru-baru ini mengemas kini imej satelit Gaza yang boleh diakses orang ramai. Imej-imej ini memperlihatkan kesan perang genosid Israel di Gaza.

‍

Tiga tahun selepas perang bermula pada 7 Okt 2023, seluruh kawasan kejiranan musnah menjadi runtuhan. Rumah, hospital dan tanah pertanian turut rosak atau musnah.

‍

Garasi Bernama menggunakan imej satelit di Google Earth untuk membandingkan beberapa kawasan di selatan, tengah dan utara Gaza sebelum perang dengan keadaannya ketika perang berlangsung.

‍

Dalam penilaian yang dilaporkan pada Ogos 2026, Pusat Satelit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan kira-kira 82 peratus struktur di Gaza telah rosak atau musnah.

‍

Jumlah itu melebihi 200,000 struktur, dan kira-kira dua pertiga daripadanya dinilai telah musnah.

‍

Sejak “gencatan senjata” diisytiharkan pada Oktober 2025, jumlah struktur yang musnah meningkat lagi sebanyak 9 peratus.

‍

Kemusnahan itu turut meninggalkan timbunan runtuhan yang sangat besar untuk dibersihkan.

‍

Pada September 2025, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan terdapat 61 juta tan runtuhan di Gaza.

‍

Agensi itu memberi amaran bahawa kira-kira 15 peratus daripadanya boleh membawa risiko pencemaran yang agak tinggi akibat asbestos, sisa industri atau logam berat jika bahan berbahaya tidak diasingkan sejak awal kerja pembersihan.

‍

Pada masa yang sama, jumlah rakyat Palestin yang terbunuh dan cedera terus meningkat.

‍

Angka terbaharu yang dilaporkan menunjukkan lebih 74,000 rakyat Palestin terbunuh di Gaza sejak Oktober 2023, manakala lebih 175,000 lagi cedera.

‍

Daripada jumlah itu, lebih 1,400 orang terbunuh dan lebih 5,000 cedera sejak “gencatan senjata” pada Oktober 2025.

‍

Imej satelit yang digunakan dalam video ini dirakam pada waktu yang berbeza.

‍

Imej bagi selatan Gaza dirakam pada 2026, manakala imej bagi Gaza tengah dan utara masing-masing berasal dari 2025 dan 2024.

‍

Imej yang baru dimasukkan ke Google Earth juga tidak semestinya baru dirakam. Ada yang mungkin telah dirakam beberapa bulan, malah beberapa tahun, sebelum ia tersedia di platform itu.

‍

Imej-imej ini hanya menunjukkan keadaan pada waktu ia dirakam. Kemusnahan atau perubahan yang berlaku selepas itu mungkin belum kelihatan.

‍

Label bagi kemudahan awam juga mungkin masih tertera pada peta, tetapi itu tidak bermakna tempat berkenaan masih utuh atau masih digunakan.

‍

Explainer ini turut disiarkan dalam laman Instagram kami.

‍