Laporan & visualisasi data: Shaza Al Muzayen
Suntingan & Terjemahan: Sakina Mohamed
KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Malaysia antara negara yang mencatatkan kebimbangan tertinggi terhadap kehilangan pekerjaan akibat kecerdasan buatan (AI), demikian dapatan tinjauan Ipsos Predictions 2025 di 33 negara.
Hampir 73 peratus responden dari Malaysia percaya AI akan menyebabkan kehilangan peluang pekerjaan yang ketara, berbanding purata global iaitu 65 peratus.
Walaupun AI terus mencorak revolusi digital dan merubah lanskap dunia, kesannya terhadap pasaran pekerjaan masih mencetus perdebatan di peringkat global, demikian yang dapat diunjurkan daripada jawapan 23,271 responden dari 33 negara.
Peningkatan purata global hanyalah satu peratus berbanding tahun lalu, namun ia tetap menggariskan kebimbangan berterusan mengenai impak AI terhadap mata pencarian.
Indonesia mencatatkan kebimbangan tertinggi terhadap kehilangan pekerjaan akibat AI, dengan 85 peratus responden percaya AI akan memberi kesan negatif terhadap peluang pekerjaan di negara itu.
Sebagai negara dengan tenaga buruh terbesar di Asia Tenggara, Indonesia mempunyai lebih daripada 142 juta pekerja. Sebahagian besar tenaga buruh ini tertumpu di kawasan metropolitan dalam sektor perkhidmatan, kewangan, dan teknologi.
Automasi dijangka menggantikan sehingga 23 juta pekerjaan di Indonesia menjelang 2030. Pekerjaan yang melibatkan tugas rutin seperti pekerja sokongan guaman, operator mesin, dan pegawai gaji adalah yang paling terdedah kepada risiko automasi.
Namun, sehingga 46 juta pekerjaan dipercayai akan diwujudkan dalam tempoh yang sama. Ini termasuk 10 juta peluang dalam bidang pekerjaan yang belum pernah wujud.
Peluang ini, bagaimanapun, menuntut perubahan besar dalam kemahiran tenaga kerja, dengan tumpuan yang lebih kepada pendidikan tinggi dan latihan lanjutan. Jika diurus dengan bijak, automasi mampu merangsang produktiviti dan keluaran dalam negara kasar Indonesia, menggariskan peri pentingnya dasar yang tepat dan pelaburan dalam pendidikan serta latihan kemahiran baharu (reskilling).
Negara lain yang mencatatkan kebimbangan tinggi termasuk Filipina (81 peratus), Colombia (74 peratus), dan Türkiye (72 peratus).
Namun, di sebalik kerisauan yang diutarakan, ramai juga yang optimis tentang kehadiran AI.
Tinjauan itu mendedahkan bahawa 43 peratus responden menjangkakan AI akan mencipta peluang pekerjaan baharu, dengan optimisme tertinggi dilihat di China (77 peratus).
Reaksi positif dari China mungkin berpunca daripada kehidupan masyarakatnya yang sudah bersebati dengan teknologi. Daripada penggunaan biometrik untuk pembayaran barangan runcit hinggalah kepada penerapan teknologi rumah pintar, pengguna China kelihatan menerima sepenuhnya kehadiran teknologi dalam kehidupan mereka.
Sektor AI domestik China yang disokong inisiatif kerajaan pula telah berkembang secara eksponen. Negara itu mempelopori penyelidikan akademik berkaitan AI, walaupun Amerika Syarikat (AS) kekal di hadapan dalam penghasilan produk daripada penyelidikan. China juga semakin setara dengan AS dalam pembangunan AI generatif dan model bahasa raya.
Negara lain yang optimis terhadap penciptaan pekerjaan melalui AI termasuk Indonesia (74 peratus), Thailand (71 peratus), Türkiye (67 peratus), dan Malaysia (65 peratus).
Potensi AI dalam penjanaan pekerjaan sememangnya tinggi, namun pihak berwajib perlu berhemah dalam pengurusannya. Ini termasuk memastikan manfaatnya dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, dengan tiada yang tercicir akibat penerapan teknologi dalam pembangunan ekonomi.
-- BERNAMA