Pasukan Debat Malaysia Tempa Sejarah di Kejohanan Dunia

Education • Youth

By: SHAZA AL MUZAYEN

Aug 10, 2023

Pasukan debat kebangsaan negara yang mencipta sejarah apabila mara ke separuh akhir Kejohanan Debat Sekolah-Sekolah Sedunia (WSDC). Pasukan Malaysia telah mencapai kedudukan keempat daripada 64 pasukan yang bertanding. Pencapaian ini adalah kedudukan terbaik dunia bagi pasukan Malaysia setakat ini.

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) – Pasukan debat kebangsaan negara mencipta sejarah apabila mara ke separuh akhir Kejohanan Debat Sekolah-Sekolah Sedunia (WSDC) bulan lalu.

Pasukan yang terdiri daripada Arjun Gunalan, 18, Teioh Nuan Ning (18), Lee Yao Ming (17), Umar Fazlan Azri (18) dan Sim Yang Min (18), mengambil bahagian dalam acara 10 hari yang dianjurkan di Hanoi, Vietnam dari 18 Julai hingga 28 Julai.

"Kami telah mendambakan detik ini sejak sekian lama kerana sebelum ini pasukan Malaysia tewas di suku akhir WSDC empat tahun berturut-turut," kata ketua jurulatih Mai Mokhsein kepada Bernama dalam satu temu bual.

Pasukan Malaysia berdepan dengan saingan sengit dari England, New Zealand, Poland, Perancis, Jerman, Zimbabwe, Republik Czech dan Australia, namun kemenangan berpihak kepada mereka setiap kali.

Kemenangan berturut-turut itu berakhir jua apabila berdepan dengan bakal juara, pasukan Amerika Syarikat pada pusingan separuh akhir, sekaligus meletakkan kedudukan pasukan Malaysia di tempat keempat daripada 64 pasukan yang bertanding.

Pasukan Malaysia ketika bersiap-sedia untuk giliran berbahas. (Kredit: Vietnam WSDC 2023)

Pencapaian itu merupakan kedudukan terbaik dunia bagi pasukan debat Malaysia setakat ini.

“Tahun ini, kami menentang pasukan Zimbabwe di suku akhir – pasukan yang amat mantap dan dilihat sebagai “favourite underdog” kerana merupakan satu-satunya pasukan dari benua Afrika yang berjaya mara ke peringkat itu.

“Pada awalnya kami ingat pasukan kami dah menang, jadi kami terkejut bila ketua hakim umumkan undi telah dibelah bahagi empat ke tiga.

“Sebaik sahaja mereka mengesahkan empat undi diberikan kepada pasukan Malaysia, kami semua menangis. Bagi saya sebagai jurulatih, inilah detik yang amat membanggakan,” kata Mai, 33.

Dianggap sebagai kejohanan perbahasan antarabangsa paling berprestij, WSDC terbuka kepada pelajar berumur 14 hingga 19 tahun. Setiap negara yang mengambil bahagian dibenarkan menghantar satu pasukan yang terdiri daripada lima pembahas. WSDC tahun ini diadakan secara fizikal buat kali pertamanya setelah dilangsungkan secara maya sejak pandemik COVID-19, tiga tahun lalu.

Pasukan Malaysia turut meraih beberapa pencapaian membanggakan lain di WSDC.

Pasukan itu penerima anugerah Pasukan ‘Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua’ (ESL) Terbaik dengan penghargaan individu diberikan kepada tiga daripada lima ahli.

Umar bin Fazlan Azri dianugerahkan Pembahas ke-12 Terbaik Keseluruhan dan Pembahas ESL ke-7 Terbaik; Teioh Nuan Ning dianugerahkan Pembahas ke-14 Terbaik Keseluruhan dan Pembahas ke-9 ESL Terbaik Kesembilan, dan Arjun Gunalan dianugerahkan Pembahas ke-23 Terbaik Keseluruhan.

Umar Fazlan Azri ketika naik ke pentas untuk menerima anugerah Pembahas ke-12 Terbaik Keseluruhan (Kredit: Vietnam WSDC 2023)

Kejayaan yang dicapai bukanlah sesuatu yang diperoleh dengan mudah.

"Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa pelajar saya menghabiskan hampir seribu jam dalam latihan setiap tahun sebagai persediaan WSDC.

“Kami pada mulanya bermula dengan latihan dua kali seminggu (kira-kira empat jam setiap sesi) dan bertanding sebulan sekali. Kami tambahkan kekerapan latihan setiap bulan sehingga dalam dua bulan terakhir, kami berlatih setiap hari,” kata Mai.

Bagi kapten pasukan, Arjun, kejayaan yang dikecapi dilihat sebagai ganjaran hasil titik peluh dan pengorbanan selama tiga tahun.

“Mencapai separuh akhir adalah sesuatu yang tak pernah saya bayangkan berlaku memandangkan rekod prestasi Malaysia dalam acara debat tidak sehebat negara lain.

"Terasa kerdil dan terharu diri ini apabila diberi penghormatan untuk berdiri di pentas antarabangsa mewakili Malaysia.

“Saya masih di awang-awangan bila memikirkan kejayaan kami menempa sejarah dalam pencapaian debat negara. Ini sesuatu yang tidak mungkin tercapai tanpa sokongan jurulatih, rakan sepasukan, alumni WSDC Malaysia dan keluarga,” kata Arjun.

Bagi pembahas ketiga, Umar, pengalaman bertanding di WSDC antara momen paling bermakna dalam hidupnya.

“Salah satu detik paling menggembirakan ialah apabila saya diumumkan sebagai Pembahas ke-12 Terbaik Keseluruhan di dunia. Masa kecil dahulu, saya bukanlah begitu pandai bercakap jadi kejayaan ini membuatkan saya sedar betapa jauhnya perjalanan yang telah ditempuhi sejak sekolah rendah dahulu.

"Ia membuktikan bahawa saya boleh cemerlang sebagai ahli individu dalam pasukan. Sorakan ahli pasukan dan penonton apabila saya ke pentas untuk menerima anugerah cukup memotivasikan,” katanya.

Arjun dan Umar yang baru sahaja menamatkan pengajian di sekolah menengah akan memulakan pengajian di universiti pilihan masing-masing tidak lama lagi. Kedua-duanya bersemangat untuk terus berdebat secara kompetitif di peringkat universiti dan berharap dapat melatih pembahas generasi seterusnya bagi pasukan Malaysia.

Sebelum WSDC 2023, pasukan Malaysia hanya berjaya mara sehingga ke suku akhir pada tahun 2015, 2020, 2021 dan 2022.

Ketua jurulatih Mai berharap untuk terus membangunkan bakat bagi pasukan Malaysia.

“Kami akan meneruskan usaha membangunkan litar perbahasan di Malaysia dan membuka permohonan untuk menyertai pasukan debat kebangsaan 2024 September ini.

“Semua butiran boleh didapati di laman web kami dan semua saluran media sosial kami,” katanya.

-- BERNAMA