Oleh: Shaza Al Muzayen
Gambar Oleh: ISIS Malaysia
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Malaysia berada pada titik kritikal dalam menghadapi cabaran yang semakin meningkat disebabkan kecerdasan buatan generatif (GenAI), perubahan dinamik perdagangan global, krisis iklim yang semakin memuncak, dan tuntutan populasi yang semakin menua.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan baru-baru ini di PRAXIS 2024 menekankan kepentingan menangani isu-isu ini menjelang negara mencapai status pendapatan tinggi.
"Solusi dasar awam yang inovatif hasil daripada kerjasama pelbagai pihak perlu untuk penerapan nilai MADANI seperti kelestarian, kesaksamaan dan keterangkuman (inclusivity)," katanya dalam ucapan maya di persidangan tersebut.
Kesemuan tema ini menjadi fokus PRAXIS 2024, persidangan dasar awam utama yang dianjurkan Institut Kajian Strategik & Antarabangsa (ISIS) Malaysia di sini pada 13 dan 14 Ogos.
Isu-isu ini yang bakal membentuk keutamaan strategik negara menjadi semakin penting untuk ditangani dalam persediaan Malaysia mempengerusikan ASEAN pada 2025.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang menyampaikan ucapatama pada persidangan tersebut menekankan kepentingan tindakan serantau dalam menangani trend mega global.
Katanya walaupun Pelan Induk Industri Baru 2030 menetapkan laluan yang jelas untuk membina ketahanan industri Malaysia, integrasi serantau turut memainkan peranan penting dalam mendepani isu utama seperti keselamatan tenaga ASEAN, digitalisasi, dan ketahanan perdagangan, industri, dan ekonomi.
"Malaysia bercadang untuk memberi tumpuan kepada semua ini dan lebih banyak lagi semasa mempengerusikan ASEAN. Ini untuk memastikan Visi ASEAN 2045 yang fokus kepada komuniti ekonomi serantau yang inklusif dan lestari," katanya.
Dalam ucaptama susulan, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong menekankan perlunya Malaysia memimpin dalam era digital.
"Untuk memenuhi aspirasi ini, kita mesti terus mengenal pasti kemahiran masa hadapan dan memberi tumpuan kepada penyesuaian semula dan peningkatan kemahiran tenaga kerja kita bagi memenuhi tuntutan ekonomi digital, sekaligus memastikan kumpulan bakat kita kekal relevan dan kompetitif," katanya.
Pengerusi ISIS Malaysia, Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah, menarik perhatian kepada peranan ISIS Malaysia sebagai badan pemikir Perdana Menteri, dengan mandat autonomi yang membolehkannya memberikan pandangan kritikal dan konstruktif mengenai perkara yang relevan secara strategik.
"Walaupun kita tidak dapat meramal masa hadapan, sesuatu yang kita mampu buat ialah perancangan. Jadi, harapan kita ialah PRAXIS 2024 dapat memacu pemikiran kritikal terhadap keutamaan dasar yang mendesak ini," katanya.
Dianjurkan setiap tahun sejak 2011, persidangan tahun ini diadakan di Kuala Lumpur pada 13 dan 14 Ogos.
Bertemakan Policies for a Better Tomorrow, persidangan ini mengumpulkan penggubal dasar, sektor swasta, masyarakat sivil dan pihak akademik untuk meneroka penyelesaian kepada beberapa isu paling mendesak negara.
Topik utama termasuk menyesuaikan masa depan kerja Malaysia dengan GenAI; menyeimbangkan peraturan platform media sosial dengan pertimbangan kebebasan bersuara; meneroka teknologi pengurangan karbon yang baru muncul untuk mencapai sifar bersih; dan mengintegrasikan penjagaan kesihatan dan sosial untuk populasi yang menua.
-- BERNAMA