Laporan & Visualisasi Data: Shaza Al Muzayen
Editor: Sakina Mohamed
KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Hampir 4,400 atlet dari seluruh dunia sedang bersaing di Sukan Paralimpik Paris 2024, yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September 2024.
Jumlah ini jauh lebih rendah berbanding 10,500 atlet yang menyertai Sukan Olimpik Paris 2024. Namun menariknya, lebih banyak acara dipertandingkan pada Sukan Paralimpik dengan 549 acara merangkumi 22 sukan.
Sebagai perbandingan, 329 acara telah dipertandingkan di Sukan Olimpik 2024 merangkumi 32 sukan.
Jumlah acara yang lebih tinggi ini berkemungkinan berpunca daripada sistem klasifikasi unik dalam setiap sukan Paralimpik, demi menggalakkan persaingan yang adil dan saksama bagi semua atlet. Atlet dikategorikan berdasarkan sejauh mana tahap kecacatan mereka memberi impak kepada prestasi dalam sukan mereka.
Negara-negara Asia Tenggara (SEA) menghantar sejumlah 184 atlet ke Sukan Olimpik 2024 di Paris 2024.
Bagi Sukan Paralimpik 2024 pula, jumlah atlet yang dihantar ialah 168.
Sama seperti pada Sukan Olimpik Paris, Thailand menghantar kontinjen terbesar dalam kalangan pasukan Asia Tenggara ke Paralimpik Paris, dengan 78 atlet. Bagi Sukan Olimpik 2024, mereka telah telah menghantar seramai 52 atlet.
Kontinjen Malaysia di Paralimpik 2024 adalah yang terbesar dihantar setakat ini, dengan 28 atlet bertanding dan dua jurumudi. Ini berbanding kontinjen Malaysia ke Olimpik 2024 yang terdiri daripada 26 atlet.
Pencapaian Malaysia dalam Paralimpik telah banyak meningkat semenjak penglibatan pertamanya dalam Sukan Paralimpik 1972 di Heidelberg, Jerman.
Negara telah memenangi tujuh pingat emas sepanjang perjalanan Paralimpiknya, dengan kemenangan terbaru diraih Cheah Liek Hou dalam acara perseorangan lelaki SU5 para-badminton.
Negara-negara SEA telah memenangi sejumlah 16 pingat pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Setakat 5 September 2024, atlet Paralimpik dari negara-negara SEA telah memenangi 36 pingat di Paris.
Thailand kini mendahului dengan lima emas, enam perak, dan tujuh gangsa. Ia diikuti oleh Singapura dengan dua emas dan satu perak.
Malaysia setakat ini memperoleh satu emas, satu perak, dan satu gangsa.
Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, dan Timor-Leste masih belum memenangi sebarang pingat di Paralimpik 2024 setakat ini.
-- BERNAMA