Mengejar Emas: Perjalanan Malaysia di Olimpik dan Paralimpik

Sports • Paralympics

Laporan & Visualisasi Data: Shaza Al Muzayen

Editor: Sakina Mohamed

Sep 9, 2024

Laporan & Visualisasi Data: Shaza Al Muzayen

Editor: Sakina Mohamed

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Sejarah pencapaian Malaysia di Sukan Olimpik dan Paralimpik boleh dikatakan agak membanggakan.

Atlet Olimpik Malaysia telah memenangi sejumlah 15 pingat sejak penampilan sulung negara pada Sukan Olimpik Melbourne 1956 - lapan perak dan tujuh gangsa.

Majoriti pingat disumbangkan sukan badminton dengan 11 pingat (enam perak dan lima gangsa). Ini termasuk pingat Olimpik pertama negara yang dihadiahkan (Datuk) Razif dan (Datuk Seri) Jalani Sidek pada Barcelona 1992. Pasangan adik-beradik itu membawa pulang pingat gangsa dalam acara beregu lelaki.

Dua pingat terbaru yang dimenangi oleh Malaysia di Olimpik Paris juga melalui badminton.

Pasangan beregu lelaki badminton, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, telah meraih gangsa di Paris selepas menewaskan pasangan Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen. Pingat seterusnya, juga gangsa, disumbangkan oleh Lee Zii Jia selepas menewaskan Lakshya Sen dari India dalam perlawanan tiga set yang berlangsung selama 71 minit.

Namun, kilauan emas masih menjadi impian pasukan Olimpik Malaysia masih belum tercapai setakat ini.

Berbeza pula kisahnya dengan atlet Paralimpik Malaysia yang telah menunjukkan prestasi lebih cemerlang dalam acara masing-masing.

Sejak penampilan pertama Malaysia di Paralimpik Heidelberg 1972, atlet Paralimpik negara telah memenangi sejumlah 21 pingat – lapan emas, enam perak, dan tujuh gangsa.

Pingat Paralimpik pertama Malaysia dibawa pulang Mariappan Perumal yang memenangi gangsa di Paralimpik Seoul 1988 dalam acara angkat berat.

Seterusnya pasukan Paralimpik negara meraih emas pertama mereka di Rio 2016 menerusi usaha Muhammad Ziyad Zolkefli. Beliau menduduki tempat teratas dalam acara lontar peluru lelaki F20 (masalah intelektual), dengan catatan rekod dunia ketika itu sejauh 16.84 meter.

Paralimpik Rio 2016 juga menyaksikan Malaysia memenangi dua lagi pingat emas.

Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi membawa pulang emas dalam acara 100 meter lelaki T36 (kecacatan fizikal), manakala pingat emas Datuk Abdul Latif Romly diraih menerusi kemenangan dalam acara lompat jauh lelaki T20 (masalah pembelajaran).

Paralimpik Paris 2024 telah menambah lima lagi pingat kepada koleksi pingat Paralimpik Malaysia.

Pingat pertama Malaysia di Paris, gangsa, dimenangi oleh pelari pecut Eddy Bernard dalam acara 100 meter lelaki T44 (kecacatan fizikal). Bintang badminton para, Cheah Liek Hou, menghadiahkan Malaysia pingat kedua yang juga emas pertama di Paris selepas menewaskan Suryo Nugroho dari Indonesia dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal).

Bintang angkat berat negara, Bonnie Bunyau Gustin, memastikan namanya terukir dalam sejarah apabila beliau bukan sahaja membawa pulang pingat emas kedua Malaysia di Paris, malah mencatatkan rekod dunia bagi angkatan seberat 232kg.

Muhammad Ziyad Zolkefli pula mengubati kekecewaan di Tokyo 2020 dengan membawa pulang perak dalam acara lontar peluru lelaki F20 (masalah intelektual).

Pelengkap koleksi pingat Malaysia di Paralimpik Paris 2024 Malaysia  disumbangkan Datuk Abdul Latif Romly apabila beliau memenangi perak dalam acara lompat jauh lelaki T20 (masalah intelektual).

-- BERNAMA