Melawan Ucapan Benci Terhadap Pendatang & Pelarian Di Malaysia

Human Rights • Refugee

By: Fahmi Abdul Aziz

Jun 20, 2023

By: Fahmi Abdul Aziz

Artikel ini sempena Hari Pelarian Sedunia yang disambut pada 20 Jun setiap tahun, bagi merai serta menyantuni pelarian di seluruh dunia.

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) – Majoriti rakyat Malaysia mempunyai tanggapan negatif terhadap pendatang dan pelarian, demikian pandangan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

“Rasa kebencian terutama ketika memuncaknya pandemik COVID-19 mencemar nilai yang sering kita uar-uarkan sebagai sebuah masyarakat majmuk,” kata beliau sewaktu pelancaran ‘Kit Panduan’ (Toolkit) untuk Ahli Parlimen, bertujuan mempromosikan naratif bagi membalas ucapan kebencian terhadap pendatang serta pelarian di Malaysia.

Menurut beliau, penyebaran maklumat palsu dan kebencian menerusi platform media sosial amat dibimbangi dan terus menjadi masalah sehingga hari ini.

“Sekiranya kita tidak menangani isu ini sekarang, pencabulan hak asasi manusia dan kemerosotan nilai dalam masyarakat kita mungkin berpanjangan,” kata beliau dalam ucapan alu-aluan di majlis pelancaran di Bangunan Parlimen pada 8 Jun lepas.

Kit Panduan atau ‘Toolkit’ dilancarkan oleh Ahli Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia (APHR), secara perkongsian dengan pejabat Speaker of Dewan Rakyat.

Antara yang terkandung dalam Toolkit berkenaan adalah penjelasan mengenai kebencian ucapan dan kepentingan membalas dengan memberi cadangan strategi yang mungkin dapat digunakan oleh wakil rakyat untuk mempromosikan naratif positif mengenai pendatang dan pelarian, di Parlimen dan di kawasan Parlimen masing-masing.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid menyatakan beliau berharap Toolkit itu akan turut digunakan oleh rakan Ahli Parlimen yang lain apabila mereka berurusan dengan isu pelarian serta pendatang.

“Saya juga berharap dengan adanya Toolkit ini, ia juga memberi idea serta panduan bahasa yang digunakan di samping matlamat serta naratif yang kita ingin capai.

“Namun kita tak bolehlah membuat andaian reaksi Ahli Parlimen lain, masa yang akan menentukan. Cuma kita perlu menaruh harapan dan fokus yang positif sahaja. Hakikatnya, dengan Toolkit ini boleh menjadi kayu pengukur tentang apa aspirasi kita.

“Kita juga boleh jangkakan komen negatif dan tak boleh lari daripada pengkritik. Persoalannya jika kita berdepan dengan aspek negatif itu, bagaimana kita hendak membalasnya?

“Proses ini akan berterusan, ia akan memakan masa tetapi kita perlu mulakan langkah ini,” beliau memberitahu Bernama dalam satu temu bual.

Syerleena, yang juga ahli APHR, percaya Speaker Dewan Rakyat dapat membantu dengan memastikan semua Ahli Parlimen mematuhi panduan dalam Toolkit berkenaan.

“Saya sudah melihat reaksi positif dan respons beliau. Beliau adalah seorang Speaker yang adil, dan amat fokus tentang apa yang betul dan salah, jadi tiada masalah.

“Apabila Speaker bersikap demikian, saya optimis orang lain akan mengikut jejak langkah beliau,” katanya.

Menurut Syerleena, bahasa yang digunakan ke atas pendatang sering berbaur diskriminasi dan mencetuskan persekitaran permusuhan yang menjejaskan maruah serta hak mereka.

“Sebagai Ahli Parlimen atau wakil rakyat, kenyataan awam serta tindakan kita boleh mempengaruhi dan membuat perubahan. Prejudis yang teruk serta salah tanggapan adalah antara punca utama ucapan kebencian, ditambah kenyataan yang tidak berasas dibuat oleh personaliti yang berpengaruh seperti ahli politik, malahan juga pempengaruh media sosial,” katanya.

Beliau menambah, migrasi telah berlaku berkurun lamanya tetapi pendatang serta pelarian di negara ini masih dipersalahkan untuk pelbagai masalah, daripada kehilangan pekerjaan kepada jenayah.

“Menurut kajian yang dijalankan pada tahun 2019, sekitar 83 peratus responden Malaysia percaya pedatang dan pelarian menjadi punca peningkatan kadar jenayah.

“Bagaimanapun, bukti impak migrasi ke atas jenayah menunjukkan sebaliknya. Bukti menunjukkan kenaikan 100,000 pekerja pendatang di Malaysia mengurangkan kadar jenayah sebanyak 9.9 peratus.

“Malangnya, wacana atau diskusi politik di Malaysia sering menggambarkan pendatang dan pelarian sebagai ancaman kepada keselamatan negara dan berbahaya terhadap kemajuan sosial dan ekonomi jangka panjang,” katanya.

Pengerusi APHR Malaysia Wong Chen yang turut berucap pada pelancaran itu berkata, Toolkit berkenaan adalah berdasarkan kajian tinjauan professional yang diperolehi APHR daripada Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian di Malaysia di samping rundingan dengan ramai ahli APHR yang berkhidmat dalam masyarakat sivil.

Turut hadir di pelancaran Toolkit itu ialah Penyelia Residen Bangsa-Bangsa Bersatu di Malaysia, Singapore, dan Brunei Darussalam, Karima El Korri.

Menurut Karima, Toolkit itu sebagai peringatan tentang besarnya kuasa yang ada di tangan Ahli Parlimen dalam mendokong hak asasi manusia serta membentuk naratif yang boleh menyatukan masyarakat Malaysia.

“Ahli Parlimen mampu mempengaruh dasar awan dan membentuk wacana mengenai hak asasi manusia, tolak ansur, perpaduan serta keterangkuman,” katanya.

Beliau menambah, sebagai penggubal undang-undang, Ahli Parlimen juga boleh berusaha untuk menambah baik rangka kerja perundangan dan menggubal langkah yang berkesan untuk membendung ucapan kebencian.

Karima turut menekan satu kajian yang baharu dijalankan oleh Pejabat Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Asasi Manusia yang menghasilkan beberapa penemuan yang menarik.

“Meskipun ada terdapat rasa bimbang tentang kebudayaan serta implikasi lain migrasi, sebanyak 52 peratus rakyat Malaysia percaya pendatang memberi sumbangan positif kepada masyarakat dan ekonomi negara ini.

“Sebanyak 63 peratus bersetuju bahawa komuniti menjadi lebih kuat apabila semua orang menyokong sementara kira-kira 68 peratus berada di atas pagar.

“Rakyat Malaysia bertindak dengan baik terhadap tokoh yang mereka percaya. Untuk itu, jika mereka percaya dengan Ahli Parlimen, mereka akan bertindak secara positif dan memastikan pandangan mereka dibuat berdasarkan keadaan itu,” katanya.

--  BERNAMA