Kempen MyPELINDUNG Tingkat Kesedaran Kesihatan COVID-19

Health • COVID-19

By: Shaza Al Muzayen

Aug 22, 2024

By: Shaza Al Muzayen

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) – Dunia kini berdepan dengan varian COVID-19 yang baru dengan bilangan mutasi tinggi, maka semakin penting bagi rakyat Malaysia meningkatkan pengetahuan kesihatan mereka.

Pemenang Anugerah Oscar Tan Sri Seri Michelle Yeoh baru-baru ini berkongsi pengalaman beliau melawan virus tersebut semasa pelancaran kempen kesihatan pendidikan awam, MyPELINDUNG.

"Saya sendiri telah dijangkiti COVID-19 dua kali. Kali pertama saya dijangkiti ialah pada 2021 dan nasib saya tidak baik kerana ia ketika tayangan perdana filem saya, Everything Everywhere All at Once, di Los Angeles.

"Kali kedua saya dijangkiti pada awal tahun ini, tetapi hanya mengalami selesema ringan – ia datang dan pergi dengan sangat cepat. Sekiranya saya tidak menerima vaksin dan suntikan booster, kesan yang dialami mungkin lebih teruk," kata pelakon berusia 61 tahun tersebut semasa pelancaran kempen MyPELINDUNG pada 17 Ogos.

Tan Sri Michelle Yeoh berkongsi pengalaman peribadi beliau melawan virus COVID-19 di majlis pelancaran kempen MyPELINDUNG di The Grounds, MAHSA Avenue, pada 17 Ogos lepas. (Kredit: Hafzi Mohamed – BERNAMA)

Kempen itu bertujuan membimbing masyarakat Malaysia supaya menjadi lebih berpengetahuan demi  mengurangkan ancaman COVID-19 di negara ini. Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan vaksinasi dan menggalakkan pesakit mendapatkan rawatan COVID-19 dengan segera.

Ini turut merangkumi usaha menghapuskan mitos berkaitan virus COVID-19, proses vaksinasi, dan mengatasi keraguan mengenai penerimaan dos galakan.

Kempen MyPELINDUNG memberi tumpuan khusus kepada kumpulan berisiko tinggi iaitu mereka yang berusia 60 tahun ke atas, penghidap penyakit kronik seperti kanser dan diabetes, atau mereka yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat seperti seperti merokok.

Kempen ini hasil kerjasama bersama antara Persatuan Kawalan Jangkitan dan Penyakit Berjangkit Malaysia (MyICID), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), dan Pfizer Malaysia.

Turut hadir semasa pelancaran adalah Pengerusi Kebangsaan PBSM Tunku Temenggong Kedah Datuk Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Norhayati Rusli, Presiden MyICID Dr Shaharudeen Kamaludeen, Presiden NCSM Datuk Dr Saunthani Somasundaram dan Pengarah Kumpulan Negara Pfizer Malaysia, Pakistan, dan Brunei, Luksanawan Tangpaibool.

-- BERNAMA