Laporan & visualisasi data: Shaza Al Muzayen
Suntingan & Terjemahan: Sakina Mohamed
KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) – Seramai 361 wartawan telah dipenjarakan di seluruh dunia setakat 1 Disember 2024, menurut laporan tahunan terkini yang dikeluarkan oleh Committee to Protect Journalists (CPJ). Laporan ini memberikan gambaran global tentang penahanan wartawan dan merupakan jumlah kedua tertinggi pernah direkodkan sejak CPJ mula menjejaki kes sedemikian pada tahun 1992.
(CPJ ialah sebuah pertubuhan bebas tidak berasaskan keuntungan yang mempertahankan kebebasan media di peringkat global.)
Peningkatan ini didorong oleh tindakan keras rejim autoritarian, konflik, dan ketidakstabilan politik. China (50), Israel (43) dan Myanmar (35) muncul sebagai tiga negara utama yang paling ramai memenjarakan wartawan. Lain-lain negara dalam senarai 10 teratas termasuk Belarus (31), Rusia (30), Mesir (17), Eritrea (16), Iran (16), Vietnam (16), dan Azerbaijan (13).
“Angka ini sepatutnya menjadi peringatan buat kita semua,” kata Ginsberg dalam laporan itu. “Kebangkitan serangan terhadap wartawan lazimnya diikuti oleh pencabulan hak lain, termasuk hak untuk menerima dan menyampaikan maklumat, hak untuk berhimpun dan bergerak bebas, serta hak untuk membantah.”
Lebih 30 peratus daripada jumlah wartawan yang dipenjarakan di seluruh dunia datang dari Asia, dengan 111 orang menjadi mangsa penindasan di rantau ini.
Israel menyumbang hampir separuh daripada 108 wartawan yang dipenjarakan di Timur Tengah dan Afrika Utara. CPJ menegaskan kebimbangan global yang semakin meningkat terhadap penahanan tanpa sebab wartawan Palestin dan menggesa agar tindakan tegas diambil.
Pertubuhan itu menyatakan bahawa penahanan wartawan Palestin adalah sebahagian daripada usaha sistematik Israel untuk menghalang liputan tentang tindakannya di Gaza, selain melarang kemasukan wartawan asing.
Kerajaan Israel turut mengharamkan organisasi berita berpangkalan di Qatar, Al Jazeera, daripada beroperasi di Israel dan Tebing Barat, menggunakan undang-undang waktu perang yang membenarkan penutupan media asing atas alasan keselamatan.
Laporan itu menekankan bagaimana tuduhan kabur yang bersifat anti-negara – seperti keganasan dan ekstremisme – digunakan secara terang-terangan sebagai alat perundangan untuk membungkam perbezaan pendapat. Tuduhan seperti hasutan, fitnah, dan berita palsu juga sering digunakan untuk menekan wartawan. Lebih 60 peratus daripada wartawan yang dipenjarakan di seluruh dunia pada tahun 2024 berdepan dengan tuduhan tersebut, dengan mereka yang berada dalam komuniti terpinggir sering menjadi sasaran utama.
Walaupun angka penahanan di negara seperti Türkiye menurun, CPJ memberi amaran bahawa gangguan undang-undang, penapisan dan intimidasi masih menjadi ancaman serius terhadap media bebas di benua Afrika, Amerika Latin dan Eropah.
-- BERNAMA