KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Hari ini, genap setahun sejak Israel melancar serangan besar-besaran (genosid) ke atas Gaza.
Ketika article ini ditulis, Israel dilaporkan telah membunuh 41,909 rakyat Palestin di Gaza dan mencederakan 97,303 orang. Lebih 10,000 rakyat Palestin dianggarkan hilang atau masih tertimbus di bawah runtuhan.
Hampir 70 peratus daripada mereka yang terbunuh di Gaza adalah wanita dan kanak-kanak.
Kanak-kanak di Gaza mangsa paling terkesan dalam genosid yang berterusan ini.
Setahun lalu, jurucakap Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, James Elder, telah menyifatkan Gaza sebagai "tanah perkuburan bagi ribuan kanak-kanak". Laporan yang datang dari Gaza semenjak itu membuktikan kebenaran kata-katanya.
Kini, setakat 6 Oktober 2024, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan bahawa 16,927 kanak-kanak telah terbunuh.
Ini termasuk 710 orang bayi di bawah umur setahun.
Jumlah kanak-kanak yang kehilangan anggota badan di Gaza juga semakin meningkat. Badan amal Save the Children melaporkan bahawa lebih daripada 1,000 kanak-kanak di Gaza terpaksa melalui amputasi satu atau lebih anggota badan. Lagi menghibakan, kebanyakan pembedahan ini dilakukan tanpa sebarang ubat bius.
Sistem penjagaan kesihatan Gaza juga semakin kritikal.
Daripada 36 hospital di Gaza, 17 dalam keadaan separuh berfungsi. Selebihnya tidak lagi beroperasi.
Petugas perubatan juga menjadi sasaran, dengan 986 orang disahkan terkorban.
Harga setiap laporan berita dari Gaza amat tinggi kerana ramai wartawan Palestin yang menjalankan tugas itu telah membayar dengan nyawa mereka sendiri. Setakat ini, perang Israel ke atas Gaza telah meragut nyawa 175 wartawan.
Hak asasi dan maruah penduduk Gaza yang dicabuli Israel ketika hidup turut dicabuli setelah mati. Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, lapan daripada 60 tanah perkuburan di seluruh Gaza telah dimusnahkan Israel, manakala 11 lagi dalam keadaan separuh musnah.
Sistem pendidikan di Gaza turut terjejas dengan teruk akibat perang berterusan, sehinggakan ramai yang merujuk keadaan ini sebagai 'scholasticide.'
Istilah ini pertama kali diperkenalkan oleh Profesor Karma Nabulsi semasa perang Israel ke atas Gaza pada tahun 2009 (Operasi Cast Lead). 'Scholasticide' merujuk kepada “penghapusan sistematik institusi pendidikan Palestin oleh Israel dengan tujuan menghalang tradisi pembelajaran di Palestin.”
Setakat hari ini, 625,000 pelajar di Gaza tidak mendapat akses kepada pendidikan formal.
Sebanyak 493 daripada 564 sekolah di Gaza perlu dibina semula sepenuhnya atau pembaikpulihan menyeluruh. Kesemua 12 universiti di Gaza juga telah dimusnahkan.
-- BERNAMA